25 Jul 2011

Kelantan Dahului Perkenal Hari Hiburan Islam


Kelantan pertahan hiburan berkonsep Islam


KOTA BHARU, 24 Julai: Sebelum ini orang ramai tidak pernah disajikan dengan program hiburan berkonsep Islam, sehingga generasi muda lebih terdedah kepada hiburan diimport dari barat.

Kesannya budaya hiburan dimanifestasikan dalam kehidupan rakyat Malaysia lebih terarah kepada unsur-unsur negetif.

Menyedari kepincangan itu kerajaan Kelantan sejak 20 tahun lalu berusaha merintis hiburan berkonsep Islam untuk dihidangkan kepada rakyat.

Pelbagai usaha dilakukan bagi melahirkan hiburan berkonsep baru yang lebih mementingkan nilai timur dan agama.

Kini program itu mulai subur dan berupaya menarik minat generasi muda.

Persembahan diadakan mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan 1998, di antara kriterianya mengasingkan penonton lain jantina dan artis perempuan tidak dibenarkan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, kerajaan Kelantan berusaha membawa perubahan dengan memperkenalkan hiburan berkonsep Islam.

”Ini untuk memastikan rakyat sentiasa mengamalkan Islam sebagai Ad-Deen. Program-program hiburan berbentuk Islam sudah acap kali diadakan di sini.

”Dan menjelang Ramadan ini program tayangan filem Dalam Mihrab Cinta dan Bicara Selebriti pula akan diadakan di Balai Islam Lundang,” katanya di sini.

Tayangan filem Dalam Mihrab Cinta akan diadakan pada jam 9 pada 29 Julai ini.

Manakala malam keesokannya pula program Bicara Selebriti bertajuk ”Indahnya HidayahMU” akan menampilkan pensyarah USM, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin selebriti tanah air, Wardina Safiyyah, pemuzik, Sham Kamikaze dan pendakwah, Ustaz Hasrizal Jamil.

Amin Idris iaitu selebriti TV Al-Hijrah akan bertindak sebagai moderator.

Program berkenaan dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Ash Har Travel & Tours Sdn Bhd dan Al-Quds Travel Sdn Bhd.

Ahmad Baihaki yang Adun Pasir Tumbuh berkata, program berkenaan dilihat berupaya memberi ketenangan, mendidik jiwa dan merapatkan tautan hati generasi muda dengan Allah SWT.

Tiada ulasan: