13 Jul 2011

BERS✔H 2.0: Kisah Seorang Paderi Yang Turut Menyertai Himpunan Aman

Saya seorang paderi, malah seorang paderi perempuan.

Walaupun saya tidak pernah menyertai perhimpunan sebelum ini, namun saya amat prihatin terhadap senario negara. Lebih-lebih lagi, negara kita seakan-akan keparahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kemarahan meruap-ruap dalam hati saya. Maka saya mula mempertimbangkan sama ada turun ke jalan raya atau tidak kali ini.

Demi masa depan negara, dan supaya saya tidak kesal kemudian, maka saya mengambil keputusan untuk turut serta. Ia berlaku dua minggu sebelum tarikh perhimpunan berlangsung. Hati saya tidak tenang sejak itu.

Saya meronta-ronta dalam hati saya. Ketakutan, kontradiksi bergelut dalam diri saya.

Ini kerana identiti saya. Sekumpulan artis berada di bawah jagaan saya. Mereka juga tersentuh dengan keadaan sedemikian, namun mungkin ada yang menganggap mereka tidak sesuai untuk hadir aktiviti sedemikian kerana identiti mereka sebagai orang awam. Dan mungkin ada yang menganggap saya sebagai seorang paderi, hanya perlu menasihat agar mereka berdoa dalam rumah.

Namun demikian, selain identiti sebagai artis, mereka adalah warga sivil negara ini juga, dan mereka bertanggungjawab untuk mempertahankan negara ini.

Air mata saya mengalir...

Dalam dilema sedemikian, saya berdiam diri ketika berdepan dengan mata mereka yang mahu mendapatkan jawapan daripada saya. Saya tidak menggalakkan secara langsung, tapi juga tidak menghalang secara terbuka. Di samping itu, saya mendidik mereka, berkongsi dengan mereka senario dalam negara kita. Apa itu BERSIH 2.0? Apakah lapan tuntutan tersebut? Apakah tujuan perhimpunan tersebut...

Saya berharap mereka akan memahami sepenuhnya, menggunakan kematangan diri untuk menilai dan membuat keputusan, sama ada hadir atau tidak.

Sehingga sehari sebelum perhimpunan, dua orang artis menyatakan keputusan mereka untuk menyertai. Dan saya pun mendedahkan hasrat saya untuk hadir. Mereka agak terkejut, kerana paderi yang tidak menunjukkan pendirian pada hakikatnya sudah bersedia untuk berdepan dengan apa yang mungkin berlaku.

Pada hakikatnya, saya bukannya berani, saya juga ketakutan.


Malam sebelum perhimpunan, hati saya tidak tenang. Tak lena tidur saya. Ketika saya berdoa untuk tanah air yang mana saya lahir dan membesar, air mata saya mengalir. Hati saya berat sekali.

Saya bangun dari tidur pada jam 5 pagi, 9 Julai. Saya bersembahyang, mendoakan agar perhimpunan aman ini berjalan dengan lancar.

Pelan A,B, C

Pada jam 9 pagi, saya bersarapan dengan dua orang artis, sambil berbincang bagaimana menembusi sekatan ke dalam bandar, malah kami mempunyai pelan A, B, dan C! Akhirnya kami mengambil pelan A, masuk ke bandar dengan kereta, dan pergi ke rumah seorang kawan yang berdekatan dengan Stadium Merdeka.

Tanpa diduga, polis memberi laluan kepada kami. Hallelujah! Tuhan mendengar doa kami!

Kami memasuki sebuah bandar yang sepi, lancar, dan dingin. Rasanya cukup pelik.

Orang ramai menyuntik semangat

Kami singgah di rumah kawan sehingga kira-kira jam 1 tengah hari, kemudian bertolak dengan resah dan gelisah. Kami tiba di bangunan Chan See Shu Yuen (bertentangan dengan Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor), mendapati jalan memasuki Stadium Merdeka telah disekat dengan dawai besi, dan beberapa orang polis, pemerhati dari Majlis Peguam berada di situ. Kami tidak nampak orang ramai di situ.

Kira-kira 20 minit kemudian, hujan turun dengan lebat. Pada ketika inilah kami nampak kumpulan orang berganding tangan berjalan dari arah Masjid Negara dan Jalan Petaling menuju ke arah kami. Walaupun orang tidak ramai di pihak kami, namun hati saya disuntik semangat setelah nampak mereka. Kami menyambut mereka dengan tepukan.

Tiba-tiba saya menjadi cemas pula. Saya memanjangkan leher saya untuk melihat apa yang berlaku, walaupun dengan ini saya yang berteduh di bawah jambatan akan dibasahi hujan.

Namun, tiba-tiba mereka berhenti, dipercayai dihalang polis. Saya nampak ramai orang berganding tangan dalam air hujan yang mencurah. Hati saya panas, dan mengeluh, apa yang telah kita lakukan? Mengapa negara ini bertindak sedemikian terhadap rakyat jelatanya?

Sejenak kemudian, mereka bergerak lagi ke depan dengan perlahan-lahan, dan akhirnya berdiri di hadapan dawai besi. Kini, polis juga berganding tangan menjadi satu barisan, bersemuka dengan peserta demonstrasi. Jarak mereka adalah dekat, boleh menyentuh satu sama lain jika menghulurkan tangan. Mujur kedua-dua pihak berjaya mengawal diri, dan tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.

Kawal diri

Pada ketika ini, hujan semakin lebat, semua orang basah kuyup dibuatnya. Namun kita terus melaungkan slogan. Ada yang memakaikan baju kuningnya. Kita hanya mahu menunjukkan kuasa rakyat.

Pada masa itu, saya berhubung dengan kawan saya yang berada di Hospital Tung Shin. Beliau berkata keadaan di sana sangat sengit. Gas pemedih mata dan meriam air berkimia dilepaskan. Saya amat gelisah dan tidak berhenti mendoa. Malah ada seketika kawan yang berada di hujung talian panggilan sana menjerit, kemudian talian putus. Hati saya menjunam, hanya mendoakan agar ini tidak berlaku apa-apa terhadapnya. Hati saya lega apabila beliau memanggil balik untuk melaporkan bahawa dirinya selamat.

Demikianlah yang berlaku di tempat saya berada pada 9 Julai. Hati saya terkapai-kapai. Cemas, lega, kemudian resah... Hanyut tenggelam mengikut perkembangan yang berlaku. Tiada rempuhan, tiada bahasa kesat dikeluarkan di tempat saya berkumpul, malah seorang pemimpin mengulangi peringatan bahawa perhimpunan ini adalah aman.

Ada masanya sesetengah yang berdoa, dan kami pun menyertai bersama. Biarlah kita serah kepada Tuhan untuk menentukan. Hati saya kembali damai. Semoga Tuhan bersama kita untuk berdepan dengan segala ini.

FRU muncul untuk menangkap orang ketika kami bersedia untuk bersurai. Keadaan menjadi cemas ketika itu. Artis saya menarik saya untuk menyeberangi jalan. Kasut saya rosak pada saat-saat itu. Tapi saya tidak peduli, berlari untuk meninggalkan tempat kejadian. Mujur kami tidak ditangkap. Tercungap-cungap kami dibuatnya. Perhimpunan BERSIH 2.0 berakhir dalam suasana cemas berbaur ghairah.

Hati saya masih tersentuh

Setelah kembali ke rumah, saya melayari laman internet. Gambar, tulisan, klip video yang dimuatnaikkan ke laman internet tetap menyentuh hati saya. Rupa-rupanya tempat saya berada kemungkinan tempat yang paling "aman". Tiada gas pemedih mata dan meriam air berkimia, dan tiada keganasan yang berlaku.

Namun, saya tetap marah apabila mendapati keganasan berlaku di tempat perhimpunan yang lain. Mereka hanyalah rakyat jelata tanpa senjata, mengapa dilayan sebegini? Apakah polis tidak mempunyai saudara-mara atau adik-beradik? Bagaimana mereka sampai hati untuk menggunakan kekerasan sedemikian?

Untuk saya, tujuan perhimpunan ini bukan sahaja menyedarkan masyarakat Malaysia, malah menarik tumpuan seluruh dunia. Ini perhimpunan aman, tiada kereta yang dibakar, tiada kedai yang dirompak, tiada seorang pun anggota polis dicederakan, tiada orang yang menangguk di air keruh. Yang ada semangat tolong-menolong ketika berdepan dengan serangan tanpa simpati. Kita mengawal diri dengan baik. Bukankah ini makna sebenarnya Satu Malaysia?

Sebagai seorang paderi, saya gembira apabila mengetahui ramai penganut kristian yang hadir dalam perhimpunan. Saya harap lebih ramai penganut kristian akan tampil ke depan, mencintai negara kita dengan tindakan kita!

Di sini saya ingin merakamkan penghargaan kepada dua orang artis yang bersama saya. Keberanian mereka, semangat patriotik mereka, telah diterjemahkan kepada tindakan, bersama menyaksikan sejarah ini. Semua pejuang yang berani, dari semua kaum, terima kasih kerana keberanian anda, membubuh tanda noktah yang sempurna dalam perhimpunan ini, semoga Tuhan memberkati anda semua! -MR

*Tulisan di atas disedut, disunting dan diterjemah daripada catatan seorang pembaca MerdekaReview, edisi bahasa Cina, yang menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011.

Kenangan



1 ulasan:

Tn. Hafizan berkata...

erm...dlm tulisan tersebut ad kate, polis xde adik beradik/saudara-mara kan..bagi pendapat saya juga,peserta2 demontrasi bersih ni xde saudara-mara dan adik-beradik yang kerja polis/penguatkuasa ke?...jgn hanya menyalahkan pihak berkuasa..semua orang ada salah...dalam hal besar cmni harus difikir2kan..bukan hanya kepentingan satu@dua orang saja, tetapi berjuta2 rakyat Malaysia akan dapat akibat baik dan buruknya..xkesian ke pada saudara-mara polis dan penguatkuasa terepaksa berkawal dan menjaga keselamatan negara?..peserta demontrasi ramai, xsemua yang dapat dikawal sikap mereka...ada yang kaki pukul, kaki gaduh dll...dan ad yang baik2..betul2 mahukan keamanan...so fikir-fikir sejenak, renung-renungkan dan selamat beramal..