13 Jul 2011

BERS✔H: Parti Saadat Turki Nyatakan Sokongan, Bantah Tindakan Polis Malaysia

Naib Presiden Parti Saadat Turki, Prof. Dr. Arif Ersoy menyifatkan perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu sebagai munasabah kerana rakyat berhak menyatakan tuntutan mereka untuk pilihan raya yang bersih dan adil.

Beliau berkata, rakyat hanya mahukan tuntutan mereka didengari dan kerajaan Malaysia seharusnya melayani tuntutan tersebut kerana rakyat merupakan 'tuan' kepada negaranya.

"Rakyat hanya mahukan kebebasan dan pilihan raya yang adil. Kerajaan Malaysia seharusnya mendengar tuntutan mereka ini.

"Untuk sesebuah kerajaan itu memastikan mereka dapat memberikan perkhidmatan yang baik, mereka seharusnya tahu apa yang dimahukan rakyat.

"Sebab itu kadang-kadang rakyat perlu keluar beramai-ramai untuk menzahirkan suara hati secara terbuka," kata beliau ketika ditemui di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini semalam.

Beliau yang juga setiausaha agung Pusat Kajian Ekonomi dan Sosial – (Ekonomik ve Sosyal Arastirmalar Merkezi-Esam) hadir ke Ibu Pejabat PAS dan bertemu dengan Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Beliau juga sempat berbual dengan Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang berada di Terengganu melalui telefon bagi bertanya khabar khususnya selepas dibebaskan setelah ditahan semasa perhimpunan Bersih 2.0.

Mengulas lanjut mengenai perhimpunan Bersih 2.0, beliau yang sempat menyaksikan beberapa insiden tangkapan peserta oleh polis sangat tidak bersetuju dengan tindakan tersebut.

Katanya, tindakan polis itu sangat tidak 'gentleman' dalam sebuah negara demokrasi.

"Saya minta maaf kerana terpaksa menyatakan begini. Sikap polis terhadap peserta itu sangat tidak 'gentleman' dan itu bukan undang-undang negara demokrasi dan rakyat Malaysia sangat baik dan peramah jadi tidak harus diperlakukan begitu,"
katanya yang ke Malaysia kerana menghadiri seminar antarabangsa di Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai pembentang kertas kerja.

Tambahnya, beliau yakin Malaysia mempunyai masa depan yang cerah dan semuanya akan berjalan secara lebih teratur jika rakyat tidak terlalu diberikan tekanan.

"Saya harap proses demokrasi di Malaysia akan dibaikpulih. Semakin baik proses demokrasi itu, semakin senang sesebuah negara diurus.

"Lebih mudah untuk menguruskan negara yang rakyatnya diberikan kebebasan dan negara akan menjadi susah apabila rakyat diberikan tekanan yang kuat," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sangat berbesar hati untuk mendengar pelbagai pandangan daripada PAS dan mengakui mengenali secara rapat Ustaz Hadi melalui beberapa seminar antarabangsa yang dihadiri.

"Sebelum ini kita menjemput pimpinan PAS ke Turki untuk mendengar pandangan kami tapi sekarang saya datang untuk dengar pandangan PAS tapi masa tidak begitu tepat tapi akan datang kami nak dengar banyak pandangan dari PAS tentang pelbagai perkara," katanya.

Pada Mei 2009, Ustaz Hadi pernah menghadiri Kongres Antarabangsa Komuniti Muslim ke-18 (18th International Congress of Muslim Communities) yang dianjurkan oleh Esam di Istanbul, Turki. -HD