13 Jul 2011

Sokong BERS✔H Dengan Pakai Kuning Setiap Sabtu

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 hari ini mencadangkan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk memakai pakaian berwarna kuning setiap Sabtu untuk menunjukkan sokongan secara berterusan dalam usaha mereformasikan proses pilihan raya di negara ini.

Cadangan itu dikemukakan oleh Pengerusinya, Datuk Ambiga Sreenevasan pada satu sidang media di ibu negara hari ini.

"Sehingga reformasi pilihan raya dilakukan, kita meminta rakyat memakai warna kuning setiap hari Sabtu. Tak kiralah baju, atau sarung tangan atau apa-apapun yang berwarna kuning," kata beliau.

Sabtu lalu, puluhan ribu rakyat Malaysia hadir berhimpun untuk menyokong tuntutan reformasi pilihan raya tersebut di pusat bandar Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, kerajaan pusat dan polis bertindak ganas dalam menyuraikan mereka dan seolah-olah cuba 'melenyapkan' perkara tersebut di media arus perdana.

Lapan tuntutan tersebut adalah pembersihan senarai undi, reformasi undi pos, penggunaan dakwat kekal, kempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, memperkukuh institusi awam, menghentikan rasuah pilihan raya dan menghentikan politik kotor.

Ambiga turut menyambut baik tawaran untuk berbincang dengan Pemuda Umno mengenai sistem pilihan raya di Malaysia.

Menurut Ambiga, ia satu perkara yang sihat dan menyatakan Bersih bersedia menjemput sesiapa sahaja untuk mengadakan perbincangan terbuka termasuk Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) mengenai tuntutan mereka.

"Kami bersedia untuk berbincang dan berdebat secara terbuka dengan sesiapa pun. Saya rasa ia perkara yang sihat," kata beliau.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam twitternya menjemput Bersih untuk berdebat mengenai tuntutan tersebut.

Khairy turut menyatakan beliau dijadualkan mengadakan dialog bersama SPR dalam masa dua minggu dan menyatakan ianya lebih berkesan dari apa yang dilakukan Bersih.

Khairy pada hari sama dengan Bersih, memimpin 500 pemuda Umno yang dinamakan Patriot berarak sejauh 200 meter di Bukit Bintang bagi membantah himpunan Bersih 2.0. -tvsnews







1 ulasan:

acoy2348 berkata...

sokong pada setiap hari sabtu kita namakan HARI BERSIH, KEADILAN RAKYAT, PEMANGKIN UMMAH...yg menyokong pakai baju warna kuning pada setiap hari sabtu sehingga SPRM menunaikan segala 8 perkara yg dtuntut oleh BERSIH 2.0...