13 Jun 2011

Pilihanraya Turki : Parti AKP Pimpinan Erdogan Menang Selesa

Ankara — Parti Keadilan dan Kesejahteraan (AKP) Turki pimpinan Perdana Menteri Turki Tayyip Erdogan memperolehi kemenangan selesa buat kali ketiga berturut-turut tetapi perlu mendapatkan konsensus parti pembangkang untuk meminda perlembagaan negara itu.

Gambar: Perdana Menteri Turki Tayyip Erdogan dengan ditemani isterinya Emine Erdogan melambai ke arah penyokong mereka di ibu pejabat Parti AK, Ankara, semalam. — Foto Reuters

Erdogan, yang menjadikan Turki Muslim sebagai antara negara yang sedang melalui pertumbuhan pesat di dunia dan mengakhiri kitaran penggulingan kuasa tentera, memperoleh 50 peratus undi di Parlimen dalam pilihan raya yang diadakan semalam.

Keputusan itu, yang dijangka merangsang pasaran kewangan hari ini, bermakna Parti AK perlu berganding dengan parti-parti lain bagi meminda perlembagaan yang telah ditulis 30 tahun lalu ketika pemerintahan tentera.

“Perlembagaan baru memerlukan konsensus dan dialog dengan parti-parti lain dan juga keseluruhan masyarakat,” kata Cengiz Aktar, seorang profesor di Universiti Bahcesehir di Istanbul, kepada Reuters.

“Kita akan lihat sama ada Erdogan bersedia untuk yang ini dengan majoriti yang diperolehnya atau akan pergi sendiri untuk meletakkan pandangannya ke atas Turki - dalam keadaan di mana kita akan ada satu situasi yang sukar,” kata beliau.

Keputusan semalam adalah yang terbaik sejak Parti AK berkuasa sejak 2002 tetapi tidak cukup dua pertiga untuk memanggil referendum berhubung perlembagaan baru.

Keputusan awal dengan mengambil kira 99.8 peratus undi yang sudah dihitung, Parti AK memperoleh 49.9 peratus undi atau 325 kerusi, kurang lima kerusi daripada jumlah yang diperlukan untuk memanggil plebisit.

Pada Parlimen lalu, ia menguasai 331 daripada 550 kerusi yang diperuntukkan.

Pengkritik bimbang Erdogan, yang terkenal dengan reputasinya tidak suka pertentangan pendapat, kemungkinan akan menggunakan kemenangan bagi memperkukuhkan kedudukan beliau, membataskan kebebasan dan mendakwa penentangnya.

Tetapi dalam ucapan kemenangan di Ankara beliau berjanji akan bekerjasama dengan pesaing politiknya.

“Rakyat memberikan kami mesej untuk membina perlembagaan baru menerusi konsensus dan perundingan.

“Kami akan membincangkan soal perlembagaan baru dengan parti-parti pembangkang. Perlembagaan baru ini akan memenuhi tuntutan keamanan dan keadilan,” kata beliau. — Reuters

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tahniah, gOLONGAN islam yang diberi peluang di Turki boleh melaksanakan amanah dengan baik. Di harapkan rakyat Malysia jua berlaku perubahan.

Tanpa Nama berkata...

TAHNIAH TAHNIAH TAHNIAH, INSYAALLAH PAS JUGA MENUJU PUTRAJAYA