
Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa, berkata bomoh berusia 43 tahun yang juga dikenali Kak Mah bersama suaminya, diperlukan bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Walaupun tidak mempunyai butiran lengkap pengenalan diri Kak Yah, kita, sudah menjejaki alamat tetap suaminya Norhisham Mustafa, 33, di Kampung Parit Air, Rantau Panjang, Kelantan,” katanya di sini, semalam.
Dalam kejadian Khamis lalu, seorang pemuda berusia 26 tahun yang dipercayai mengalami gangguan mental dihantar bapanya ke rumah bomoh itu untuk berubat kira-kira jam 8 malam dan bomoh wanita itu kemudian memaklumkan mangsa terkena sihir buatan orang.

Melihatkan mangsa tidak sedarkan diri, Kak Yah berhelah dengan meminta keluarga membawa pemuda itu ke Pusat Kesihatan Gong Balai, Marang, kononnya untuk menghilangkan keletihan akibat rawatan tetapi ketika tiba di klinik itu pada jam 12.30 pagi, pegawai kesihatan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.
Jamshah berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bomoh terbabit diminta menghubungi balai polis berdekatan atau menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, Asisten Superintendan Mohd Adli Mat Daud di talian 013-4398633 atau 09-6182222. -BH

Tiada ulasan:
Catat Ulasan