24 Mei 2011

[Video] Negara Eropah Terancam, Letusan Gunung Berapi Iceland Sebabkan Ruang Udara Ditutup

Reykjavik(Iceland): Sebahagian ruang udara Greenland ditutup semalam ekoran debu ledakan gunung berapi di Iceland.

Gambar: SEBUAH pesawat ringan terbang berhampiran kepulan debu daripada letusan gunung berapi Grimsvotn berdekatan kawasan glasier Vatnajokull di tenggara Iceland hari ini. Syarikat penerbangan mula membatalkan jadual ke Britain atas dasar keselamatan berikutan kejadian itu. - Foto REUTERS

Jurucakap penguasa ruang udara Greenland, Naviair, Cik Helle Kogsbell, berkata langkah itu diambil kerana debu dari gunung berapi Grimsvoetn, yang meletup lewat Sabtu lalu, telah mula merebak ke wilayahnya.

Denmark negara pertama selain Iceland yang telah menutup ruang udaranya ekoran letupan gunung berapi itu.

Namun, penguasa penerbangan Iceland semalam berkata ia berharap dapat membuka semula lapangan terbang utama negara itu lewat semalam.

'Keadaan nampak lebih baik hari ini (semalam) dan kami berharap dapat membuka semula lapangan terbang Keflavik hari ini atau malam ini (semalam). Kami kurang pasti waktunya tetapi sekurang-kurangnya kami sedang meninjau kemungkinan itu,' kata jurucakap penguasa penerbangan, Cik Hjordis Gudmundsdottir.

Pihak berkuasa negara-negara Eropah lain pula sedang memantau keadaan di tengah-tengah kebimbangan letupan terbaru itu akan menjejas penerbangan di serata benua itu, sebagaimana berlaku tahun lalu.

Pakar keselamatan Eropah telah memberi amaran debu itu boleh merebak ke Scotland hari ini, sebelum sampai di Britain dan Perancis serta Sepanyol dua hari kemudian.

Pengendali lapangan terbang Norway, Avinor, pula semalam berkata ia telah menghentikan penerbangan antara Norway dengan Svalbard di Arctic.

'Awan debu akan sampai ke ruang udara perairan yang memisahkan Norway dengan Svalbard. Oleh itu, tiada penerbangan ke atau dari Svalbard hari ini (semalam),' kata jurucakap Avinor, Encik Ove Narvesen.

Letupan gunung berapi Eyjafjallajoekull di Iceland pada 14 April tahun lalu menyebabkan ruang udara Eropah ditutup enam hari dan 100,000 penerbangan dibatalkan kerana kebimbang debunya boleh merosakkan enjin pesawat.

Kerugian pembatalan itu mencapai AS$1.7 bilion ($2.1 bilion).

Seorang pakar geologi di Universti Iceland, Encik Magnus Tumi Gudmundsson, berkata sukar meramalkan bila letupan gunung berapi Grimsvoetn akan berhenti. -- Bloomberg, Reuters, AFP.


Tiada ulasan: