4 Mei 2011

P.Pinang Naikkan Elaun Bilal, Siak 80 Peratus

George Town: Kira-kira 800 bilal dan siak di negeri ini akan menerima kenaikan elaun sebanyak 80 peratus mulai 1 Jun ini.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mansor Othman (gambar) berkata kenaikan itu melibatkan peruntukan daripada kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).

Beliau berkata dengan kenaikan itu, kira-kira 400 bilal yang ketika ini menerima elaun sebanyak RM180 sebulan akan menerima RM324 sebulan, manakala elaun bagi kira-kira 400 siak akan dinaikkan kepada RM360 sebulan daripada RM200 sebulan.

"Keputusan untuk menaikkan elaun bilal dan siak ini dibuat pada mesyuarat MAIPP dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bahagian agama Islam minggu lepas," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.

Mansor berkata kerajaan negeri akan menanggung 70 peratus daripada perbelanjaan berkenaan yang berjumlah kira-kira RM2.3 juta manakala MAIPP pula menanggung 30 peratus kos terbabit, berjumlah hampir RM985,000. -BERNAMA

1 ulasan:

sam1430 berkata...

Syabas atas keperihatinan kerajaan negeri P.Pinang kpd umat Islam di sana. Dlm Umngok, ada pulak jawatan 'Penggerak Masjid', yg kuasanya lebih besar dr Imam2 yg dilantik Pejabat Agama Negeri. Siapa agaknya yg mentadbir negeri ? Kerajaan negeri ke Umngok ?