30 Mei 2011

Lelaki Malaysia Ke Sambas Untuk Nikah Lagi

Kuching: Serendah RM18 ($7.36).

Dengan hantaran itu, lelaki dari Malaysia boleh berkahwin dengan gadis negara jiran yang tinggal di kawasan Sambas, Kalimantan Barat, melalui kegiatan dikenali sebagai 'nikah siri'.

Kegiatan ini kebanyakannya dicari oleh lelaki yang mahu berkahwin dua, tiga atau empat, dengan menggunakan orang tengah bagi melicinkan kemasukan mereka bagi urusan pernikahan di kampung terpencil itu.

Tinjauan mendapati daerah Paloh, yang terletak sekitar 80 kilometer dari Sambas, menjadi tumpuan lelaki Sarawak mencari isteri baru kerana kedudukannya berhampiran sempadan.

Mereka hanya perlu membayar sekitar RM1,000 bagi orang tengah menguruskan persiapan, termasuk mencari gadis Sambas, yang sanggup menjadi isteri dengan hantaran serendah 50,000 Rupiah ($7.36).

Dianggarkan lebih 10 rumah di Kampung Sekura, Paloh, terletak paling hampir dengan sempadan Semantan (Malaysia) dan Paloh (Indonesia), dibina suami dari Malaysia, yang hanya pulang menemui isteri dan anak di seberang pada cuti hujung minggu.

Kegiatan yang dikenali penduduk jiran sebagai 'nikah siri' atau 'nikah buah tangan' ini popular di kalangan keluarga gadis yang tidak segan silu membenarkan anak mereka berkahwin walaupun sebagai isteri kedua, ketiga atau keempat.

Ketua Kantor Urusan Agama Sambas, Encik Karlan Hanafi, berkata 'nikah siri' bermula dikesan berlaku di kalangan masyarakat Islam di situ sejak 1990-an selepas Bahagian Urusan Agama Indonesia memperketatkan urusan perkahwinan.

Beliau berkata pihaknya percaya wujud sindiket menawarkan lelaki Malaysia berkahwin dengan gadis Indonesia tanpa perlu melalui proses ketat antara pihak berkuasa agama kedua-dua negara.

'Nikah siri ini mudah kerana upacara akad nikah boleh diadakan di mana saja. Malah, boleh di kampung berdekatan sempadan Indonesia-Malaysia tanpa pengetahuan kami.

'Cuma perlu persetujuan keluarga dengan dinikahkan ketua atau imam kampung, selain bapa gadis juga boleh melakukannya tanpa melalui pejabat urusan agama,' katanya.

Sementara itu, seorang bekas kakitangan awam di Kuching, yang mahu dikenali sebagai Abang Bakar, 59 tahun, berkata beliau mempunyai isteri kedua di Paloh dan isteri ketiga di Kartiasa, selain isteri pertama di Kuching.

Menurut beliau, taraf kehidupan rendah, selain kecantikan gadis desa menarik perhatian ramai lelaki Malaysia berkahwin secara diam-diam.

'Wanita Indonesia ini berasal dari kampung. Layanan yang diberikan mereka memang baik. Malah, kehidupan desa menyebabkan mereka berdikari, taat kepada suami serta boleh dipercayai.

'Setiap bulan, saya memperuntukkan antara RM1,200 hingga RM1,500 untuk dihantar kepada keluarga di sana dan ia lebih daripada mencukupi kerana taraf kehidupan di Sambas sangat rendah,' jelasnya.

Namun, bagi Cik Nursheila Bujang, 48 tahun, pengalaman bernikah siri dengan suami berasal dari Serian, Kuching, hanya membawa penderitaan.

Beliau diceraikan suaminya apabila tidak mengizinkannya berkahwin buat kali ketiga bersama seorang lagi wanita Indonesia.

'Ketika berkahwin, saya tidak mengetahui akan menjadi isteri kedua,' katanya. -- BM.

Tiada ulasan: