31 Mei 2011

Kerajaan Rampas Subsidi Rakyat Untuk Kepentingan IPP

Shah Alam: Kenaikan mendadak tarif elektrik sebanyak 7.12 peratus oleh Putrajaya akan menyebabkan kadar inflasi melonjak dalam tempoh tiga bulan, kata Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli.

Beliau berkata peningkatan itu sepatutnya boleh dikekang jika kerajaan menyemak semula pemberian subsidi kepada Penjana Tenaga Bebas (IPP), namun ini tidak dilakukan dan sekali lagi rakyat terpaksa menanggung akibatnya, tambah beliau.

"Sepatutnya subsidi untuk IPP patut diuruskan (terlebih dahulu). Rundingan dengan IPP penting untuk mengurangkan bayaran elektrik yang dikenakan supaya TNB boleh jual elektrik kepada rakyat pada kadar yang berpatutan dan pada masa yang sama tidak terlalu bergantung kepada subsidi gas untuk mengekalkan tarif elektrik," kata beliau.

Kerajaan melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air hari ini mengumumkan purata tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak 2.23 sen kilowatt sejam atau 7.12 peratus kepada 33.54 sen kw sejam daripada 31.31 sen kw sejam, berkuatkuasa Rabu ini.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Peter Chin dalam kenyataannya mendakwa ianya sebahagian daripada proses merasionlisasikan subsidi yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Beliau mendakwa langkah itu hanya memberi kesan kepada 25 peratus pengguna domestik yang menggunakan lebih daripada 300 kw elektrik sebulan.

Rafizi menegaskan rakyat bukan sahaja berdepan dengan kenaikan harga bil elektrik tetapi harga barangan juga akan naik akibat peningkatan kos elektrik dalam sektor perindustrian.

Pelajar universiti yang menyewa rumah dengan kelengkapan komputer dan penghawa dingin juga akan terbeban memandangkan tenaga elektrik digunakan secara komprehensif.

Rafizi berkata dakwaan bahawa mereka yang menggunakan 300 kilowatt ke bawah terkecuali daripada kenaikan harga itu tidak relevan kerana purata penggunaan elektrik sesebuah keluarga khususnya di bandar melebihi jumlah itu.

Beliau menambah purata bil elektrik bagi sebuah keluarga lebih RM200 sebulan dan mereka akan terpaksa membayar lebih susulan kenaikan tarif yang diumumkan hari ini.

Justeru, Rafizi mahukan kerajaan pusat untuk memberi tumpuan serius kepada mengkaji subsidi yang diberikan kepada IPP.

"Kerajan harus fokus kepada perjanjian dengan IPP kerana perjanjian itu merupakan punca semua masalah tarif elektrik di Malaysia ini. Mereka yang telan subsidi gas, dapat banyak untung sebab paksa harga mahal kepada TNB. Tapi kerajaan ambil jalan hukum rakyat dan hukum TNB," katanya lagi.

Dalam pada itu ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata polisi yang sering bertukar-tukar berhubung IPP mencetuskan kemusykilan terhadap layanan kerajaan kepada rakyat.

"Pada tahun 2007, Menteri Tenaga ketika itu Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik telah berjanji dan menyatakan secara terbuka kalau subsidi gas dihentikan kepada IPP, ianya tidak akan memberi kesan kepada tarif elektrik.

"Maka pada saya, pengumuman kenaikan tarif elektrik ini perlu diperincikan tentang siapa yang akan terkesan, bagaimana mekanisme itu terjadi, dan saya takut kalau ianya menjadi satu lagi sandiwara kepada Umno-Barisan Nasional untuk menjustifikasi kenapa akhirnya mereka terpaksa memotong subsidi RON95,"katanya. -tvsnews




1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

IPP didahulukan,rakyat dibelakangkan.Itu dasar Najib.