28 Apr 2011

Video Seks: Kenyataan Anwar Akan Dirakam Hari Ini

Polis rakam kenyataan Anwar Hari Ini

Seorang pegawai dari ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman akan merakam kenyataan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok berhubung laporan polisnya berkaitan video seks yang ditayangkan di Hotel Carcosa Seri Negara, bulan lalu.

Ini adalah kali kedua Anwar akan memberi kenyataan berhubung perkara tersebut.

Kenyataan pertama Anwar dirakamkan bulan lalu apabila beliau membuat laporan polis selepas video yang memaparkan aksi seks seorang lelaki, ditayangkan di hotel mewah itu pada 21 Mac lalu.

Menurut kenyataan parti itu petang semalam, kenyataan Anwar akan dirakamkan oleh 'DSP Shanmugamoorthy' pada jam 2.30 petang di ibu pejabat PKR di Tropicana, Petaling Jaya.

Satu sidang akhbar akan diadakan oleh Anwar selepas kenyataannya dirakamkan, kata kenyataan itu. -mk


Klip video seks terus belenggu Anwar

Klips video seks terus membelenggu Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim, apabila beliau diminta polis untuk merakamkan kenyataan tambahan pada hari esok (hari ini), di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat di Merchant Square. Sementara itu, bahagian kedua klip video seks selama 1 minit dan 47 saat telah dimuatkan ke dalam laman internet, Youtube, tengahari tadi.

Bagaimanapun, klip video kedua yang dinamakan "Papa Nurul Izzah Part II" ini telah dialihkan dari Youtube, pada kira-kira jam 6.45 petang tadi. Bahagian pertama dengan masa yang sama, iaitu 1 minit 47 saat telah dimuatkan ke dalam Youtube pada 4 April 2011, selepas penayangannya kepada media pada 21 Mac 2011 di Seri Carcosa Negara.

Keluarga Anwar termasuk isterinya Wan Azizah Wan Ismail, anak sulungnya Nurul Izzah Anwar dan bapa mertuanya Wan Ismail telah mengadakan sidang media pada 5 April, menafikan bahawa pelaku dalam video tersebut adalah Anwar Ibrahim, setelah menontonnya.

Dalam satu kenyataan tadi, PKR memaklumkan kepada media bahawa "pasukan penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah memohon untuk merakamkan kenyataan tambahan daripada Anwar Ibrahim berhubung laporan polis beliau pada 22 Mac 2011 di IPD Dang Wangi ke atas individu-individu yang bertanggungjawab menayangkan rakaman video lucah di Carcosa Seri Negara. Individu-individu ini juga telah mengedarkan kenyataan bertulis kepada para wartawan dengan fitnah bahawa Anwar merupakan individu di dalam video lucah tersebut serta mengugut beliau supaya bersara dari politik."

Kenyataan Anwar akan dirakamkan oleh DSP Shanmugamoorthy pada hari Khamis (28 April 2011), jam 2.30 petang di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, Petaling Jaya. Satu sidang media akan diadakan oleh Anwar sebaik kenyataan beliau selesai dirakamkan. -MR




Tiada ulasan: