28 Apr 2011

Penggal Parlimen Capai 3 Tahun, Tiada Pilihanraya Kecil Selepas Ini

Penggal Parlimen Genap Tiga Tahun, Tiada Lagi Pilihan Raya Kecil Parlimen

KUALA LUMPUR: Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen tidak perlu diadakan selepas Khamis memandangkan penggal Parlimen ke-12 ini telah mencapai tempoh mandat tiga tahun, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

"Selepas tarikh itu, sekiranya berlaku kekosongan kerusi yang disebabkan oleh kematian atau penyandangnya hilang kelayakan, maka PRK (pilihan raya kecil) tidak diadakan," katanya kepada BERNAMA pada Rabu.

Beliau berkata perkara itu adalah sejajar dengan Artikel 54(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa suatu PRK hanya perlu diadakan dalam tempoh tiga tahun sebelum tamat sesi Parlimen sepertimana yang termaktub di dalam undang-undang.

Tarikh 28 April ialah hari pertama Dewan Rakyat bersidang selepas pilihan raya umum ke-12 pada 2008. Mandat kerajaan sekarang akan berakhir pada April 2013.

Abdul Aziz bagaimanapun berkata tempoh akhir bagi mengadakan PRK untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah berbeza, bergantung kepada tarikh kali pertama DUN berkenaan bersidang selepas pilihan raya umum lepas.

"Sepertimana Parlimen, PRK juga tidak boleh lagi diadakan bagi DUN dalam tempoh dua tahun sebelum mandat yang diberikan kepada kerajaan berakhir, kecuali ada keperluan khas" katanya.

Keperluan khas itu termasuklah jika berlaku situasi di mana kerajaan pusat atau negeri tidak lagi mempunyai majoriti di dalam Dewan Rakyat atau DUN, menyebabkan kerajaan sedia ada hilang kelayakan untuk memerintah negara atau negeri.

"Jika speaker memaklumkan kepada SPR situasi di mana kerajaan sedia ada tidak boleh lagi membentuk kerajaan kerana hilang majoriti dalam dewan, PRK boleh diadakan.

"Tetapi setakat ini situasi ini tidak pernah berlaku. Walaupun di Dewan Rakyat kerajaan tidak mempunyai majoriti dua pertiga, tetapi masih mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan," katanya.

Selepas pilihan raya umum ke-12 pada 2008, sebanyak 16 PRK telah dijalankan, iaitu empat bagi kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN, membabitkan kos lebih RM11 juta.

Perincian perbelanjaan bagi setiap pilihan raya kecil ialah

Permatang Pauh (RM409,000),
Kuala Terengganu (RM325,416),
Bukit Gantang (RM460,971),
Bukit Selambau (RM318,000),
Batang Ai (RM391,700),
Penanti (RM514,600),
Manik Urai (RM548,003),
Permatang Pasir (RM461,367.93),
Bagan Pinang (RM449,485),
Hulu Selangor (RM1.2 juta),
Sibu (RM1 juta),
Batu Sapi (RM1.290 juta),
Galas (RM1.047 juta),
Tenang (RM1.1 juta),
Merlimau (RM755,000) dan
Kerdau (RM915,000).

Ditanya persediaan SPR untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, Abdul Aziz berkata badan itu belum bersedia sepenuhnya sekiranya pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat ini.

"Pilihan raya umum ini perkara serius, banyak benda yang perlu kita sediakan, kita harap tidaklah diadakan secara mengejut-mengejut.

"Kita perlukan masa. Pilihan raya umum bukan perkara main-main, ia perkara serius dan banyak yang perlu kita lakukan," katanya tanpa menjelaskan maksud 'masa terdekat'.

Bagaimanapun beliau meminta masyarakat umum tidak membuat sebarang spekulasi mengenai tarikh pilihan raya umum memandangkan kerajaan masih mempunyai banyak masa sebelum tempoh mandatnya berakhir.

"Kerajaan sekarang ada tempoh dua tahun lagi sebelum mandat berakhir pada April 2013, biarlah kerajaan sekarang mentadbir negara, mereka ada lima tahun," katanya.

3 ulasan:

Ismi Azraf berkata...

Kalau ada adun meninggal dunia 1 tahun sebelum mandat tamat ia agak menyusahkan , sebaiknya parti memilih wakil rakyat yang sihat untuk mengelakkan kebarangkalian kematian, selepas itu tawakal sajelah(sebab kematian bukan saja berpunca dari sakit).

Smartphone : Risiko "privasi" pengguna terdedah.

Tanpa Nama berkata...

nampaknya kena tunggu tahun 2013 lah... kena cari katak lompat baru boleh menukar kerajaan!!

Tanpa Nama berkata...

nampaknya SPR dah sehati dan sejiwa dengan BN?