9 Apr 2011

Nazri Dibidas Para Peguam, Polis Masih Belum Tahan Datuk T

Video seks: Peguam, pakar gesa Kabinet kubur idea tubuh suruhanjaya

Beberapa peguam membidas Datuk Seri Nazri Aziz yang mengesyorkan agar diadakan suruhanjaya diraja siasatan bagi mengenal pasti identiti si pelaku dalam video seks didedahkan “Datuk T” bulan lalu — yang didakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim — atas alasan elemen pelacuran.

Peguam-peguam yang dihubungi mempertahankan bahawa pelacuran bukan haram di Malaysia meskipun melanggan seks boleh dikenakan tuduhan dan menteri itu dicabar membuktikan alasan beliau.

Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee mengecam kenyataan Nazri, yang dikatakan tidak bermutu dan pertubuhan itu turut membantah penubuhan suruhanjaya hanya kerana satu klip video aksi seks.

“Jika ada kesalahan jenayah, maka ia seharusnya disiasat sebagai kes jenayah,” kata beliau kepada The Malaysian Insider menjawab kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, semalam.

Nazri mahukan satu suruhanjaya diraja siasatan diadakan untuk menentukan sama ada wujudnya aksi pelacuran dalam video seks yang didedahkan oleh “Datuk T” 21 Mac lalu, didakwa membabitkan Anwar yang merupakan Ketua Umum Pakatan Rakyat.

Malah menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, suruhanjaya tersebut juga perlu menentukan sama ada lelaki yang terlibat dalam aksi seks itu adalah Anwar, yang juga Ketua Umum PKR.

Anwar telah pun menafikan yang beliau adalah lelaki dalam rakaman hitam putih 21 minit itu, yang dipertontonkan kepada media pada 21 Mac lalu.

Kemudian sedutan klip 107 saat disebarkan menerusi dunia siber awal minggu lalu.

“Pelacuran adalah haram di Malaysia. Jika anda terlibat atau anda membantu dan bersubahat dalam (kerja-kerja) pelacuran, anda menaungi pelacur untuk tujuan seks, ini satu jenayah,” kata Nazri kepada The Malaysia Insider semalam.

“Suruhanjaya diraja akan menentukan identiti lelaki dalam video dan wanita yang dia adakan hubungan seks, sama ada dia itu adalah pelacur,” kata beliau lagi.

Dalam kenyataan susulan, Lim juga menekankan bahawa tiada peruntukan jelas berkaitan dengan elemen pelacuran.

“Pelacuran itu sendiri bukan satu kesalahan jenayah,” kata Lim.

Beliau mengakui ada beberapa peruntukan dalam undang-undang yang membolehkan mereka yang menawarkan seks bagi tujuan seks didakwa.

Sebagai contoh kata beliau, Seksyen 372A Kanun Keseksaan menyediakan peruntukan bagi tindakan ke atas mereka yang hidup hasil daripada atau perdagangan persundalan. Lim menambah, di bawah Akta Inkuiri Suruhanjaya 1950, Yang di-Pertuan Agong akan mempertimbangkan budi bicara baginda dalam menubuhkan suruhanjaya siasatan yang difikirkan mempunyai kepentingan awam.

Sehubungan Lim menasihatkan Kabinet agar menolak idea Nazri sambil berkata, suruhanjaya diraja bagi isu semasa membuang masa dan sumber, yang boleh digunakan untuk mengatasi krisis pendatang haram di Sabah, menyiasat dakwaan rasuah membabitkan Ketua Menteri Sarawak dan yang terbaru kematian di pejabat SPRM.

“Kabinet mesti beri keutamaan kepada masalah-masalah lebih besar dan penting, yang dihadapi institusi-institusi negara berbanding tingkah laku zina seseorang individu, (dalam kes ini) didakwa (melibatkan) seorang ahli politik,” kata beliau.

Andrew Khoo yang mengetuai jawatankuasa hak asasi manusia Majlis Peguam juga bersetuju dengan pandangan Lim.

“Penubuhan suruhanjaya diraja adalah untuk kepentingan negara dan saya tidak bercakap mengenai individu yang tidak memegang jawatan kerajaan,” katanya ketika dihubungi.

Khoo menekankan bahawa pada masa-masa lalu kerajaan hanya memutuskan penubuhan suruhanjaya diraja untuk menyiasat apabila dakwaan yang dibangkitkan berkaitan dengan sikap dan tingkah laku di pihak kerajaan.

“Dalam suruhanjaya mengenai (kes) VK Lingam, isunya berkaitan sikap tidak berat sebelah dalam bidang kehakiman. Dalam kes (bekas setiausaha agung MIC) DP Vijendran, beliau merupakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat pada ketika itu,” kata Khoo.

“Di sini, persoalannya ialah 'institusi kerajaan yang mana telah dikompromi?' Jawapannya tiada. Jadi, mengapa kita perlu mengadakan siasatan sebegitu?” tambah Khoo.

Beliau juga menimbulkan persoalan mengapa perlu diberikan layanan khas dalam kes video seks sedangkan ada undang-undang untuk menangani isu berkenaan.

Sehubungan itu kata beliau, idea agar diadakan suruhanjaya diraja bagi kes video seks perlu dikuburkan segera kerana jika tidak akan ada cadangan seumpama itu bagi setiap perkara pada masa-masa mendatang.

Pakar undang-undang jenayah, Cheow Wee juga berpandangan sedemikian.

Cheow berkata beliau tidak boleh percaya bagaimana Nazri boleh mengesyorkan idea sedemikian agar diadakan suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan tidak berasas kononnya seorang ahli Parlimen melanggan pelacuran.

Malah kata beliau, adalah terlalu awal untuk diadakan sebuah suruhanjaya diraja di peringkat sekarang memandangkan pihak polis belum melengkapkan siasatan mereka.

“Jenayah apa yang mereka mengadu? Adakah mereka mengatakan salah bagi dua pihak yang bersetuju untuk mengadakan seks? Atau Anwar tidak boleh mengadakan seks? Atau tindakan itu melibatkan pertukaran wang?

“Kita juga tidak tahu adanya (elemen) pelacuran dalam video ini. Dan, jika ia adalah Anwar, dan adakah dia mengadakan seks dengan orang lain?” kata beliau yang turut mengambil bahagian dalam suruhanjaya diraja yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock ketika disiasat SPRM dua tahun lalu.

“Ia berkaitan dengan isu moral dan etika kerana ahli-ahli Parlimen dan menteri diharap akan menunjukkan moral yang tinggi, tetapi anda tidak perlukan suruhanjaya diraja bagi tujuan itu,” kata Cheow sambil menambah, isu semasa ini dimanipulasikan kerana kepentingan politik.

Sebaliknya kata beliau, polis seharusnya menyiasat sama ada wujud kesalahan jenayah membabitkan “Datuk T” yang mengakui terlibat dalam rakaman video seks berkenaan. -TMI


Kabinet arah polis kenal pasti individu dalam video

Kabinet mengarahkan polis melakukan siasatan rapi bagi mengenal pasti siapa sebenarnya individu yang terdapat dalam klip video seks yang dikatakan membabitkan pelaku mirip pemimpin pembangkang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Beliau berkata, penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat klip video seks itu pula hanya akan dilakukan sekiranya ramai pihak mempertikaikan hasil siasatan polis itu nanti.

“Polis sudah menyiasat dan membuat keputusan klip video itu adalah tulen, jadi kita mahu polis siasat dan membuat keputusan siapa yang terbabit (dalam klip video itu).... kita jangka siasatan itu boleh selesai dalam tempoh terdekat.

“Tiada guna hanya memastikan video itu tulen jika tidak dapat mengenal pasti siapa individu dalam klip video itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pertanian Parlimen Padang Rengas dekat sini semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, menyokong cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes itu selepas pembangkang sepakat menolak cadangan penubuhannya.

Nazri berkata, beliau membangkitkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja pada mesyuarat Kabinet pagi semalam tetapi kerajaan membuat keputusan untuk menunggu hasil siasatan polis terlebih dulu.

“Oleh kerana polis sedang melakukan penyiasatan dan rangka kerjanya juga merangkumi semua aspek selain ketulenannya, adalah lebih baik kita menunggu hasil siasatan itu,” katanya.

Beliau berkata, jika orang ramai berpuas hati dengan hasil siasatan polis itu, maka tidak perlu sebarang penubuhan jawatankuasa siasatan lain ditubuhkan.

Sebaliknya jika ramai mempertikaikannya, baru ditubuhkan Suruhanjaya Diraja selepas ia mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong.

Katanya, penubuhan Suruhanjaya Diraja boleh dilakukan terhadap semua aspek membabitkan kepentingan awam sama seperti penubuhan bagi menyiasat kes kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock serta klip video membabitkan pelaku mirip peguam V K Lingam. -BH


Ulasan GB

Sebenarnya kabinet sendiri tidak yakin bahawa orang di dalam video itu adalah Anwar. Jika mereka yakin sudah pasti cadangan Nazri untuk penubuhan Suruhanjaya itu telah diterima.

Mereka khuatir seandainya mereka tidak dapat membuktikan bahawa figura itu adalah Anwar, yang akan teruk menerima kesan ialah UMNO BN sendiri.

Kini untuk mengurangkan bebanan, mereka menyatakan "tunggu laporan polis".

Polis sudah ada pasukannya, yang kita tidak tahu apa tujuan yang sebenar pasukan itu dibentuk. Keraguan ini timbul apabila KPN membuat pengumuman video seks itu, berdasarkan penelitian pakar-pakar, adalah tulen. Tidak disebut siapa pakar-pakar itu dan bagaimana video seks yang penuh penipuan itu dikatakan asli.

Katakanlah ia tulen, tetapi bagaimana pelakun di dalam? Aslikah atau tiruankah?

Kita tidak terperanjat nanti jika polis membuat kenyataan lagi, bahawa, Anwar dikenalpasti sebagai pelakon di dalam video itu.

Polis tergamak melakukannya seperti mereka tergamak menggadaikan integriti dan kredibiliti dengan tidak lansung menahan Datuk T.


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Buat le suruhanjaya... Anwar pun dah setuju..