2 Mac 2011

PAS Melaka Serah Bukti Kepada SPRM

Timbalan Pesuruhjaya I Pas Melaka, Adly Zahari (gambar): semalam memberi keterangan selama kira-kira tiga jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan Majlis Agama Islam Melaka (Maim).

Adly berkata, beliau berbuat demikian antara jam 9 pagi hingga 12 tengah hari berkaitan laporan yang dibuatnya kepada pihak berkenaan 23 Februari lalu.

“Saya telah menyerahkan segala bukti penggunaan wang zakat sebanyak RM13.85 juta untuk membina bangunan MAIM dan penyerahan hak milik tanah Maim kepada satu syarikat walaupun tempoh perjanjian telah tamat.

“Ini termasuk bukti penjualan tanah lot 105 dan 106 kepada pihak ketiga oleh syarikat berkenaan dan mengapa Maim masih tidak mengambil tindakan terhadap syarikat itu kerana secara jelas kontraktor berkenaan tidak melaksanakan projeknya,” katanya pada sidang media di Markas Induk Pas Taman Muhibbah di sini, semalam.

Menurutnya, SPRM telah berjanji akan menyiasat secara telus dakwaan itu.

“Kita berharap SPRM dapat kotakan janjinya kerana saya akan sentiasa akan menghubungi mereka mengenai perkembangan siasatan itu. Projek pembangunan secara usahasama dengan syarikat itu gagal kerana pihak berkenaan dikatakan mengingkari perjanjian dengan tidak membina kompleks Maim sehingga tamat tempoh perjanjian pada Jun 2004.

Kegagalan penguatkuasaan perjanjian projek usaha sama itu mengakibatkan Maim mendahulukan wang zakat untuk membina kompleks bangunannya. -SH


Tiada ulasan: