16 Mac 2011

Logi Nuklear: Najib Dan Muhyiddin Patut Tanya Mahathir

Lebih Baik Tidak Bina Loji Kuasa Nuklear - Dr M

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendiriannya bahawa Malaysia tidak perlu memiliki sebuah loji tenaga nuklear. -illustrasi malaysiakini

"Anda tahu pandangan saya tentang hal ini. Kita tidak begitu arif mengenai reaksi bahan ini," katanya kepada pemberita bila ditanya tentang pandangannya berhubung loji seumpama itu.

Dr Mahathir berkata radiasi yang bocor dari loji tenaga nuklear Jepun yang terjejas akibat tsunami setelah gempa dengan kekuatan magnitud 9.0, menyokong pandangannya itu.

"Sebaik saja dihidupkan, ia menjadi radioaktif. Orang tidak tahu bagaimana untuk mengendali bahan buangannya," katanya.

Dr Mahathir menarik perhatian ketika beliau menjadi perdana menteri, kerajaan telah memutuskan empat strategi bahan bakar iaitu minyak, gas, arang batu, hidro, dan "tidak termasuk nuklear".

"Kita sudahpun mempunyai pengalaman buruk dengan nuklear. Saya tidak tahu apakah orang sedar tentang hal itu," katanya.

Ditanya apakah beliau akan menyarankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak membina loji tenaga nuklear, Dr Mahathir berkata, "Saya bukan penasihat. Sebab itu saya gunakan blog."


Malaysia bercadang membina dua loji seumpama itu yang masing-masing akan menjana kuasa 1,000 megawatt dengan loji pertama sedia untuk beroperasi pada 2021 dan yang kedua setahun kemudian.

Ia adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk mengimbangi bekalan tenaga.

Dr Mahathir ditemui pemberita selepas melancarkan Bangunan Lestari Kumpulan EMKAY, di sini. -- BERNAMA

Tiada ulasan: