8 Feb 2011

Segalanya Diserahkan Kerana Cintanya Kepada Pemuda Bangla Itu

Singapura - CINTA memang buta - tidak kenal bangsa, perbezaan umur dan adat istiadat.

Cinta juga menyebabkan Cik Salbiah (bukan nama sebenar) rela berkorban apa saja termasuk dengan penuh rela menyerahkan satu-satunya 'berlian' yang dimilikinya kepada Kamal, seorang pemegang permit kerja asal Bangladesh.

Tetapi, cinta yang tidak bertepi itu menyebabkan Cik Salbiah, 56 tahun, akhirnya meraba-raba apabila kekasihnya, 25 tahun, atau separuh lebih muda daripadanya, dihantar pulang ke negara asal.

Kamal dihantar pulang kerana melanggar peraturan imigresen - tinggal lebih lama daripada tempoh yang dibenarkan.

Ibarat layang-layang putus tali, Cik Salbiah kadang-kadang menangis tidak berlagu kerana masih mengharapkan kekasihnya itu akan kembali ke sini dan mendirikan mahligai bahagia.

Telah dua kali Cik Salbiah merayu kepada pihak berkuasa agar Kamal dibenarkan kembali bekerja ke sini dengan beliau sendiri sanggup menjadi penaja (sponsor) tetapi rayuannya itu ditolak.

Beliau membuat rayuan setelah mendapatkan nasihat Encik Jamaludin Mohd Ibrahim, pemilik firma khidmat mengisi borang, J.M.I On-Line Save Form Writer.

'Saya amat sayangkannya kerana dialah yang telah mengambil 'berlian' saya itu ketika kami terlanjur. Memang saya menyesal kerana memberi segala-galanya kepadanya.

'Saya berdoa sekiranya memang Kamal ditakdirkan menjadi suami saya, saya reda dan berharap dia akan kembali ke Singapura dan mengambil saya sebagai isterinya satu hari nanti,' kata Cik Salbiah yang pernah hampir 30 tahun bekerja dalam sektor pengeluaran.

Ditemui di pejabatnya, yang menempel di sebuah kedai gambar di Blok 14 Beach Road, Encik Jamaludin menyatakan bahawa Cik Salbiah mungkin menjadi mangsa pekerja Bangladesh yang cuba berpaut di hati wanita yang sunyi dan rapuh.

Encik Jamaludin menasihatkan Cik Salbiah supaya melupakan Kamal yang sukar kembali ke sini kerana rekod kesalahan imigresennya.

Beliau pernah mengendalikan beberapa kes seumpama itu sebelum ini.

Menyingkap hubungannya dengan jejaka Bangladesh itu, Cik Salbiah menyatakan Kamal mengetuk hatinya apabila kali pertama mereka bertemu pada 2009.

Namun, perhubungannya diketahui pihak keluarga yang tidak sama sekali merestui cinta mereka berdua.

Selain meminggirkannya, Cik Salbiah juga mendakwa anggota keluarganya telah mengambil puluhan ribu dolar daripada simpanannya mungkin untuk mengelak daripada 'dicukur' kekasihnya itu.

'Saya hidup seorang diri dan ketika itu Kamal mengisi kekosongan hati saya. Mulanya saya panggil dia anak dan dia panggil saya mak cik. Tetapi, lama-kelamaan timbul perasaan sayang.

'Macam mana tak gitu kerana dialah yang membasuh dan melipat pakaian saya. Dia juga menyiapkan sarapan dan makanan setiap hari.

'Perasaan sayang itu kemudian membawa kami tidur bersama. Kami dah hidup macam suami isteri sehinggalah Kamal sendiri menyerah diri kerana sedar kesalahannya itu,' tambah Cik Salbiah.

Menurutnya lagi, selepas Kamal pulang ke Bangladesh tahun lalu, mereka bukan saja saling berhubungan melalui telefon, malah beliau pernah beberapa kali menghantar wang kepada kekasihnya itu.

'Satu kali $500 dan kali kedua lebih $3,000 kerana dia kata bapanya meninggal dunia... itu yang saya ingat,' tambah Cik Salbiah sambil menyatakan beliau semakin sangsi akan kejujuran Kamal untuk memperisterikannya kerana jejaka itu enggan memberi alamatnya di Bangladesh.

Selepas diberitahu peraturan ketat mengenai perkahwinan pemegang permit kerja dengan rakyat Singapura, Cik Salbiah termangu-mangu hampa dengan hanya menyatakan 'tak apalah!'

Baginya, cinta seberang dengan Kamal itu bak ditelan pahit dibuang sayang. -BHS

Tiada ulasan: