28 Feb 2011

PRK Merlimau: UMNO BN Terdesak Guna Taktik Ugutan Kepada Pengundi

PAS mendakwa Barisan Nasional (BN) menggunakan kekerasan dalam kempen pilihan raya kecil DUN Merlimau dengan “mengugut” pengundi di kawasan itu agar tidak mengundi parti Islam itu Ahad ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Datuk Halim Abdul Rahman berkata, pihaknya mendapat aduan daripada pengundi bahawa Umno mula menggunakan pendekatan “mengugut” sejak semalam.

Tambah beliau, ia dibuat melalui kempen rumah ke rumah dan juga dalam ceramah-ceramah yang dianjurkan BN.

“Ada pihak tertentu dari Umno yang ugut pengundi supaya tak undi PAS, mereka cakap kalau undi PAS semua peruntukan akan ditarik balik.

“Itu adalah satu ugutan cara jahat supaya orang undi Umno, wang peruntukan itu duit rakyat kenapa mesti nak tarik?,”
katanya pada sidang media di Markas PAS di sini.

Halim yang juga Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya PAS Merlimau berkata, pengundi di DUN Merlimau perlu membuat perubahan dengan memilih calon PAS Yuhaizat Abdullah.

Tegas Halim, BN masih mengamalkan pendekatan “mengugut” kerana terdesak untuk mendapatkan sokongan pengundi di Merlimau yang majoritinya orang Melayu.

“BN gunakan kempen rumah ke rumah, ada pihak tertentu dari Umno ugut penduduk dan kita jangka ini akan berterusan sampai hari pengundian.

“BN masih main kotor, pilihan raya kecil tidak ubah (kerajaan negeri) Melaka, kalau PAS memang kerajaan (negeri) tak jatuh,” katanya.


Tambah Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu, PAS akan melancarkan skuad kamera untuk mengawasi pergerakan kempen BN.

“Kita akan gerakkan skuad kamera yang mana mereka akan ikut kempen BN agar kita dapat bukti,” katanya.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara calon BN Roslan Ahmad, ahli jawatankuasa Umno Jasin dan Yuhaizat, Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad berkata Umno turut menggunakan pendekatan “mengugut” pengundi Melayu dalam kempen pilihan raya kecil itu.

“Umno buat sebab nak serang PAS dan PKR, tujuan sebab nak ambil sokongan orang Melayu.

“Ini adalah perkara yang mereka hendak jadikan alat supaya Umno-BN terus dapat sokongan orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata selama ini Umno yang menyebabkan orang Melayu terpinggir jika hendak dibandingkan dengan kaum-kaum lain.

“Umno guna Melayu untuk ratah Melayu tapi kita Pakatan Rakyat tak nafikan orang Melayu adalah kaum pribumi dan semua pihak juga akui ini.

“Tapi Umno telah gunakan itu untuk letakkan orang Melayu berada dalam keadaan bahaya dan mereka tuduh Pakatan Rakyat dengan menggambarkan orang Melayu di Pulau Pinang,” katanya.

Tambah Idris, Pakatan Rakyat memberi jaminan akan membela dan mempertahankan nasib orang Melayu selain menjaga hak kaum lain di negara ini.

“Patut Umno rasa malu kerana sebabkan orang Melayu tertinggal, siapa yang jadikan orang Melayu merempat?

“PAS-Pakatan Rakyat lebih bijak menjaga orang Melayu daripada Umno, kerana kita berpegang kepada Islam dan menjaga semua kaum lain,” katanya. -TMI

1 ulasan:

adeq berkata...

salam.x apa kita akan ugur BN dan sekutu dengan kemenangan PAS di sana.InshaAllah jika diizinkan.