5 Jan 2011

Wak Khusrin Sedar Diri, Takkan Masuk Mesyuarat Exco Selagi Tak Angkat Sumpah

Khusrin tidak mahu hadir mesyuarat Exco selagi tak angkat sumpah

KUALA LUMPUR, 5 Jan — Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, Datuk Mohd Khusrin Munawi menegaskan, beliau tidak akan menghadiri mana-mana mesyuarat termasuk mesyuarat mingguan Exco pagi ini selagi tidak mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Kata Khusrin, sebagai penjawat awam beliau akan bertindak mengikut undang-undang yang sedia ada.

“Saya ingat selagi saya tidak angkat sumpah di hadapan Menteri Besar, saya tidak boleh masuk dalam (menghadiri) mesyuarat. Angkat sumpah itu adalah untuk menyimpan rahsia, jadi saya tidak akan masuk dan saya juga tidak dimaklumkan mengenainya.

“Saya ikut undang-undang, kalau tidak angkat sumpah simpan rahsia itu, saya tidak akan masuk,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider pagi ini.

Mesyuarat Exco hari ini akan diadakan pada pukul 10 pagi. Ia mesyuarat pertama sejak Khusrin memulakan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.

The Malaysian Insider difahamkan Menteri Besar yang akan menghadap Sultan Selangor pagi ini akan mempersembahkan permintaan agar majlis angkat sumpah taat setia esok membabitkan Khusrin ditangguhkan.

Perkara itu disahkan oleh beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang dihubungi semalam dan difahamkan ia antara perkara yang diputuskan pada pertemuan wakil rakyat-wakil rakyat perikatan itu petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad yang mengesahkan perkara itu antara lain berkata, beliau difahamkan Khalid akan membawa permintaan tersebut apabila menghadap Sultan pada pertemuan rutin pagi ini.

Khalid dijangka menghadap Sultan sekitar 9 pagi.

“Memang ia antara permintaan yang akan dibawa oleh Tan Sri Menteri Besar. Selain itu Datuk Khusrin juga tidak dijemput hadir mesyuarat Exco pagi ini,” kata beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor.

Kata beliau, permintaan itu akan dipersembahkan bagi membolehkan isu semasa diselesaikan.

Kerajaan negeri memutuskan untuk memboikot kesemua majlis membabitkan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru dan majlis angkat sumpah simpan rahsia tidak akan dijalankan sehingga pertikaian itu selesai.

Ini termasuklah sehingga pindaan perlembagaan negeri yang dijadual untuk diadakan minggu keempat bulan ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang semalam, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, majlis angkat sumpah taat setia oleh Khusrin akan tetap diadakan esok.

“Pada majlis tersebut juga akan diadakan upacara angkat sumpat taat setia penjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Selangor dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, pelantikan dan angkat sumpah Ahli Dewan Diraja Selangor, pelantikan dan angkat sumpah Jaksa Pendamai Selangor, pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Selangor dan pelantikan Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Selangor.

“Semua upacara diadakan pada satu masa adalah untuk menjimatkan masa dan kewangan,” kata Munir.

Berikutan pelantikan itu, katanya, Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru hendaklah mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam prosiding Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Dewan Undangan Negeri setelah mengangkat dan menandatangani sumpah simpan rahsia di hadapan Menteri Besar.

Dalam kenyataan pagi ini, Khusrin juga berkata, walaupun berhadapan dengan sambutan “dingin” tugas yang diterima harus dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

“Saya akan lakukan kerja dengan sebaik mungkin, tidak kisah apa orang lain henak buat.

“Terpulang kepada mereka apa nak buat, saya tiada kuasa nak halang. Selagi tidak terima arahan ditukar saya akan tetapkan teruskan kerja saya di sini,” kata Khusrin.

Sejak Khusrin diumumkan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri, kerajaan negeri Selangor pimpinan Khalid tidak bersetuju dengan pelantikan itu, yang diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan minggu lalu.

Dengan meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri akan dikembalikan kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.

Khalid juga berkata majlis angkat sumpah Setiausaha Kerajaan Negeri di hadapan Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri akan ditunda sehingga keputusan dicapai pada sidang khas Dewan Undangan Negeri.

Khusrin yang juga bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor secara rasmi memulakan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri kelmarin.

Pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor esok, tetapi majlis esok sekadar istiadat dan bukan sesuatu yang wajib di bawah perlembagaan negeri.

Khusrin perlu mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapan Menteri Besar. -TMI

Ulasan GB

Khusrin sedar bahawa jika dia meneruskan juga rancangan untuk hadir mesyuarat exco sebelum mengangkat sumpah, ia amat besar risiko untuk dirinya.

Kita tunggu episod selanjutnya.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ala
dalam meeting nanti
cakap omputih je

Tanpa Nama berkata...

Sadar pun diri.

Tanpa Nama berkata...

Tak cakap pun orang tahu. Kalau tahu malu, tolak jelah pelantikan itu jika sebenarnya jujur dengan rakyat dan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sekarang.. Jangan banyak songel dan ngomel wak.. orang maikin benci dan meluat nanti.. Berenti sahaja.

Tanpa Nama berkata...

Sampai bila wak nak jd talibarut umno utk memecah belah org melayu di selangor & sedarlah perangai wak sekarang ini lebih teruk dr sikitul dizaman penjajahan serta kalau dh tau org tak suka letak jawatan je la @pun wak nak tanggung keluarga dgn duit gaji free je tanpa perlu bertugas