Penduduk Kg Teluk Ipil Diserang Beluncas

Nibong Tebal: Penduduk Kampung Teluk Ipil di sini, hidup dalam kebimbangan berikutan serangan ulat bulu dikenali 'ulat beluncas' yang berkubu di atas dua pokok berembang di tepi Sungai Kerian sejak sebulan lalu.

Gambar: PENDUDUK meninjau pokok berembang yang menjadi punca ulat menyerang Kampung Teluk Ipil, Nibong Tebal. Gambar kecil ulat beluncas sepanjang antara tiga hingga lima sentimeter

Selain penghuni empat rumah berhampiran pokok itu, orang ramai yang lalu lalang di bawah pokok berkenaan turut menjadi mangsa apabila mereka mengalami gatal badan akibat terkena tahi dan bulu ulat berkenaan yang berterbangan.

Penunggang motosikal dari Teluk Ipil yang menghala Tanjung Berembang dan sebaliknya perlu melalui laluan yang terletak di bawah pokok berembang itu.

Kanak-kanak yang terkena ulat bulu itu juga mengalami bintik-bintik di badan dan ini dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan mereka.

Ketika ini, penghuni empat rumah berkenaan menggunakan penyembur serangga untuk membunuh ulat bulu yang merayap di celah pintu, tingkap dan dinding serta di dalam rumah.

Difahamkan, ulat sepanjang tiga hingga lima sentimeter itu berkubu di atas pokok berembang untuk makan daun sehingga menyebabkan kedua-dua pokok berkenaan hanya tinggal ranting.

Sebelum ini, ulat bulu hanya menyerang daun pokok berembang tetapi selepas kehabisan daun, ulat berkenaan memasuki rumah serta melekat di pakaian yang disidai di ampaian.


Seorang penduduk, Mohd Faizal Ahmad, 31, berkata kemunculan ribuan ulat bulu sejak sebulan lalu itu membimbangkan penduduk kerana mulai memasuki rumah setelah kehabisan daun berembang.

"Apa yang membimbangkan serangan ulat bulu boleh mendatangkan gatal," katanya yang 'mati akal' bagaimana untuk mengatasi masalah itu.

Siti Robiah Ismail, 50, berkata dia bersama ahli keluarganya serta penduduk terpaksa menghapuskan ulat bulu itu sendiri dengan penyembur racun serangga, tetapi usaha itu sia-sia kerana jumlahnya semakin banyak.

"Saya yang tengah masak kuih untuk dijual pun habis rosak apabila ulat bulu memasuki bahan rencah yang ingin digunakan," katanya.

Luahan itu disokong jirannya, Hindon Yasin, 65, yang berkata disebabkan serangan ulat bulu dia terpaksa menutup rapat pintu dan tingkap rumah sepanjang hari.

"Ketika mahu tidur pun tilam dipenuhi ulat bulu. Kami paling kesian kepada kanak-kanak kerana gatal-gatal seluruh badan,” katanya. -bh

0 comments:

View Comments/Post a Comment




Tajuk-tajuk Terbaru di Kelab GB: