19 Jan 2011

Isu Pembesar Suara: JAKIM Dan Mufti Perak Tak Sependapat

Mufti Perak: Pembesar suara selain untuk azan tak perlu

KUALA LUMPUR, 19 Jan — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria juga berkata pengurusan masjid atau surau tidak perlu menggunakan pembesar suara selain untuk tujuan azan, tetapi menegaskan pihak berkuasa tidak perlu mewujudkan garis panduan yang baru.

Kata beliau, hanya untuk tujuan azan yang perlu menggunakan pembesar suara manakala bacaan-bacaan lain tidak perlu.

“Hanya azan sahaja yang gunakan pembesar suara, yang lain tidak perlu. Bacaan lain hanya gunakan (pembesar suara) dalam masjid sahaja.

“Tak usahlah nak ganggu orang lain, lagipun tak disuruhkan dalam Islam gunakan pembesar suara selain azan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Tambah Harussani, peraturan supaya pembesar suara digunakan hanya untuk azan juga tidak perlu kerana ia garis panduan sudah sedia ada.

“Saya ingat ia (peraturan) sudah ada, cuma kita tidak laksanakan.

“Apa-apa pun bagi saya, hanya azan sahaja yang gunakan pembesar suara. Yang lain tidak perlu,” katanya.

Sebelum ini bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berpendapat umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan selain azan, yang dibuat melalui pembesar suara supaya tidak mengganggu orang luar dan juga mereka dalam masjid.

Kontroversi isu azan timbul selepas seorang peguam bukan Islam mempertikaikan bunyi azan yang terlalu kuat sehingga mengganggunya.

Namun peguam tersebut, Ng Kian Nam yang juga ahli MCA memohon maaf secara terbuka kepada semua umat Islam atas kesilapannya meminta laungan azan sebuah masjid berhampiran kediamannya di kawasan Bukit Kerinchi di sini diperlahankan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata isu azan tersebut telah dipolitikkan oleh pihak tertentu.

Beliau juga mencadangkan supaya semua rakyat di negara ini menghormati antara satu sama lain demi menjaga keharmonian negara.

“Azan berkumandang untuk memanggil orang Islam bersolat, jadi ia bukan masalah dan bukan isu.

“Ketika saya di Amerika dulu, ketika azan orang Islam di sana tidak menggunakan pembesar suara kerana tidak mahu mengganggu orang lain.

“Macam kita di Malaysia begitu juga, kita kena menghormati antara satu sama lain. Jangan sampai mengganggu mereka,” katanya.

Nik Mustapha juga kecewa apabila isu azan tersebut telah dipolitikkan kerana pemimpin-pemimpin melihat ia dari sudut politik.

“Kenapa nak jadikan isu? Kenapa nak dipolitikkan?

“Kalau lihat dari sudut politik maka ia jadi isu politik, dulu perkara seperti ini tidak pernah berlaku pun.

“Jadi kenapa nak bincangkan perkara ini? Apa yang penting kita menghormati antara satu sama lain, menghormati adat resam. Yang penting hidup dalam keadaan harmoni, saya tidak faham kenapa ia dipolitikkan,” katanya dengan nada kecewa.

Dalam satu surat bertarikh 20 Disember 2010 kepada Jabatan Perdana Menteri, Ng, meminta supaya tindakan diambil bagi memperlahankan bunyi azan di Masjid Al-Ikhlasiah di Bukit Kerinchi itu kerana didakwa mengganggu tidurnya.

Ekoran itu, Perkasa dan Pekida telah mengadakan protes di pekarangan masjid berkenaan bagi mengecam tindakan Ng yang dikatakan telah menyentuh sensitiviti umat Islam.

Ng berkata beliau tidak berniat untuk menyinggung perasaan umat Islam di negara ini berhubung isu itu serta berharap isu itu tidak disensasikan lagi. -tmi


Jakim: Syor hadkan penggunaan pembesar suara melampau, berniat jahat

KUALA LUMPUR, 19 Jan — Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menyifatkan sebarang cadangan agar mengehadkan penggunaan pembesar suara di masjid hanya kepada tujuan azan sebagai “melampau” dan berniat jahat.

Beliau menegaskan masjid dan surau bukan tempat bersolat sahaja, tetapi turut diadakan pelbagai aktiviti yang berfaedah untukn masyarakat.

“Untuk hadkan pembesar suara kepada azan sahaja adalah cadangan yang melampau dan berniat jahat.

“Masjid dan surau bukan hanya tempat bersolat, banyak lagi aktiviti berfaedah lain yang dijalankan di masjid dan surau,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Justeru, beliau berkata pihaknya akan mengarahkan semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan supaya meneruskan amalan pembesar suara seperti biasa.

“Jakim akan arahkan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan teruskan amalan biasa sejak sebelum merdeka.

“Jika ada aduan nada speaker (pembesar suara) terlalu perlahan kami akan arahkan ditinggikan pada kadar munasabah,”
katanya.

Wan Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria supaya hanya azan sahaja yang menggunakan pembesar suara manakala bacaan lain tidak perlu.

Asri berpendapat umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan selain azan, yang dibuat melalui pembesar suara supaya tidak mengganggu orang luar dan juga mereka dalam masjid.

Harussani menyifatkan tindakan pengurusan masjid menggunakan pembesar suara selain azan di masjid hanya akan mengganggu ketenteraman orang lain terutamanya orang bukan Islam.

Kontroversi isu azan timbul selepas seorang peguam bukan Islam mempertikaikan bunyi azan yang terlalu kuat sehingga mengganggunya.

Namun peguam tersebut, Ng Kian Nam yang juga ahli MCA memohon maaf secara terbuka kepada semua umat Islam di negara ini atas kesilapannya meminta laungan azan sebuah masjid berhampiran kediamannya di kawasan Bukit Kerinchi di sini diperlahankan.

Dalam satu surat bertarikh 20 Disember 2010 kepada Jabatan Perdana Menteri, Ng, meminta supaya tindakan diambil bagi memperlahankan bunyi azan di Masjid Al-Ikhlasiah di Bukit Kerinchi itu kerana didakwa mengganggu tidurnya.

Ekoran itu, Perkasa dan Pekida telah mengadakan protes di pekarangan masjid berkenaan bagi mengecam tindakan Ng yang dikatakan telah menyentuh sensitiviti umat Islam.

Ng berkata beliau tidak berniat untuk menyinggung perasaan umat Islam di negara ini berhubung isu itu serta berharap isu itu tidak disensasikan lagi. -TMI


Ulasan GB

Kalau ikut pendapat JAKIM, maka konklusinya, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria itu "melampau" dan berniat jahat.

Dan jika ikut pendapat Mufti Perak, semasa khutbah Jumaat pun tak perlu pembesar suara.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Asik asik garis panduan lama lama islam pun ke garis...terguris tergiris...Malangnya tiada lagi Sadina Abu Bakar & Sadina Umar di zaman ini...kalau ada tahu lah langit ini rendah ke tinggi

Tanpa Nama berkata...

GB,sila lihat balik kenyataan mufti perak di atas...ulasan awak tak betul tuu


“Hanya azan sahaja yang gunakan pembesar suara, yang lain tidak perlu. Bacaan lain hanya gunakan (pembesar suara) dalam masjid sahaja.

Tanpa Nama berkata...

Bagi sesetengah isu, bengong juga orang awam dibuatnya. Mana satu nak dipakai atau jadi ikutan. sama ada oleh orang Islam atau kafir.

lim penang berkata...

Laungan azan bertujuan untuk memanggil orang bersolat, patut dikuatkan kerana laungan digunakan ketika memanggil atau mengajak. Bagi ceramah atau kuliah memadailah dengan pembesar suara dalaman sahaja.

Tanpa Nama berkata...

Sebenarnya, isu ni kecik je cuma yang jadi besar bila ada arahan kepada pihak masjid supaya memperlahankan azan. Sapa yang keluarkan arahan tu? Dulu kata PAS tunduk kpd DAP tapi sekarang, dengan laporan/rungutan dari seorang ahli MCA yang tidak mewakili MCA, mudah saja arahan ini dikeluarkan... Sekarang sapa yang tunduk pada KAFIR?