3 Jan 2011

Khalid: Majlis Angkat Sumpah Tidak Akan Diadakan

Khalid: Khusrin dilarang hadir mesyuarat kerajaan negeri

Saya telah mengadap DYMM Sultan Selangor hari ini bagi membincangkan isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

DYMM Sultan Selangor telah berpandangan bahawa Baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Ini kerana kuasa itu telah ditarik balik pada 1993 iaitu selepas krisis Perlembagaan berlaku yang mana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa persekutuan.

DYMM Sultan Selangor mencadangkan supaya kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA untuk mencari penyelesaian terbaik. Saya mengucapkan terima kasih kepada DYMM Sultan atas nasihat dan pandangan baginda.

Justeru itu, demi kebaikan Negeri Selangor dan menjunjung titah Tuanku, Kerajaan negeri akan menulis surat kepada SPA bagi membincangkan semula calon yang layak, sesuai dan berkebolehan untuk mengisi jawatan tersebut.

Sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan SPA, maka kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Ini bermakna majlis angkat sumpah di hadapan Menteri Besar tidak akan diadakan dan Khusrin Munawi tidak akan hadir pada sebarang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor sebagai ex-officio.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan mencadangkan kepada Speaker untuk mengadakan sidang Dewan Negeri Selangor tergempar bagi meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang Negeri kepada Sultan dan Menteri Besar.

*Kenyataan media oleh Abdul Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor.


DUN tergempar bagi kembalikan kuasa Sultan

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan mengadakan sidang dewan undangan negeri tergempar bagi meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan mereka melantik setiausaha kerajaan negeri, penasihat kewangan dan penasihat undang-undang.

Keputusan itu diambil setelah perjumpaan Khalid dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Mestika, Shah Alam, hari ini di mana baginda bertitah beliau tidak mempunyai kuasa untuk menerima ataupun menolak perlantikkan yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

“Ini kerana kuasa itu telah ditarik balik pada 1993 iaitu selepas krisis perlembagaan berlaku yang mana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa persekutuan, kata Khalid pada sidang media yang penuh sesak dengan kehadiran wartawan.

Menurut Khalid, Baginda mencadangkan kepada kerajaaan negeri bagi membincangkan perkara berkenaan dengan SPA untuk mencari “jalan penyelesaian yang terbaik”.

"Sultan Selangor mencadangkan supaya kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA untuk mencari penyelesaian terbaik. Saya mengucapkan terima kasih kepada DYMM Sultan atas nasihat dan pandangan baginda.

Calon yang layak

"Justeru, demi kebaikan Negeri Selangor dan menjunjung titah Tuanku, Kerajaan negeri akan menulis surat kepada SPA bagi membincangkan semula calon yang layak, sesuai dan berkebolehan untuk mengisi jawatan tersebut," katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau tidak akan menghadiri upacara mengangkat sumpah oleh Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri yang baru yang dijadualkan pada 6 Januari ini.

"Sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan SPA, maka kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Ini bermakna majlis angkat sumpah di hadapan Menteri Besar tidak akan diadakan dan Datuk Khusrin Munawi tidak akan hadir pada sebarang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor sebagai ex-officio," katanya lagi.

Sehingga kini, Khalid belum berjumpa dengan Khusrin meskipun bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor itu melaporkan dirinya hari ini. -mk


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

style la khalid! tp lu jgn ckp je lbeh.kang da same mcm umngok plk.kmbalikan blk 'the power of Sultan!' yela,wpn sultan ni mcm kayu,tp penting beb

Tanpa Nama berkata...

Inlah salah satu hasil/kesan daripada perbuatan/tindakan Mahathir terhadap raja-raja Melayu.