31 Dis 2010

Suami Saman HUSM 8 juta - Doktor Tertinggal Kain Kapas Dalam Rahim Akibatkan Kematian Isteri

HUSM disaman RM8j didakwa jadi punca kematian isteri

MUSA (kanan) berbincang bersama Mohd Syukran di Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU: Seorang penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), semalam memfailkan saman RM8 juta terhadap Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan dua yang lain berikutan kematian isterinya di hospital berkenaan selepas melahirkan anaknya, September lalu.

Musa Abdul Kadir, 47, diwakili peguam Mohd Syukran Mohd Nordin dari firma Tetuan Rosnelilm Yusoff & Co memfail writ saman di Pendaftar Mahkamah Tinggi, dekat sini, kira-kira jam 10 pagi.

Musa yang juga plaintif pertama turut mewakili empat anaknya Nurnabihah, 7, Noor Muhamad Firdaus Musa, 6, Nur Nabilah, 4 dan Noor Muhamad Faiq, 4 bulan, manakala Dr K Bheena Vyshali sebagai defendan pertama, HUSM dan Universiti Sains Malaysia, masing-masing defendan kedua dan ketiga.

Dalam pernyataan tuntutan, Musa mendakwa pada 17 Ogos lalu, isterinya, Aummil Khairi Abdul Razak, 44, dimasukkan ke wad bersalin hospital defendan kedua dan melahirkan seorang bayi lelaki iaitu plaintif kelima secara pembedahan yang dilakukan defendan pertama, di bawah seliaan dan pemerhatian penuh defendan kedua dan ketiga.

Bagaimanapun, susulan pembedahan itu, defendan pertama dan kedua secara cuai menjalankan tanggungjawabnya sehingga menyebabkan kematian isteri plaintif pertama, berpunca daripada kegagalan mengeluarkan kain kapas tertinggal dalam rahim.

Berikutan itu, isteri plaintif pertama mengalami jangkitan kuman selain kegagalan fungsi organ dalaman selepas melahirkan bayi kira-kira jam 7.03 malam, 17 Ogos lalu di hospital defendan kedua.


Bagaimanapun, selepas pembedahan, isteri plaintif pertama kemudiannya mula merasai sakit dalam perutnya selama beberapa hari secara berterusan.

Plaintif pertama dan isteri kemudiannya didatangi beberapa doktor termasuk doktor pakar pada 22 Ogos lalu memaklumkan satu pembedahan harus dilakukan terhadap Aummil Khairi selepas mengesyaki doktor yang melakukan pembedahan tertinggal kain kapas dalam rahim.

Menerusi x-ray, disahkan terdapat kain kapas dalam rahim yang mana ia dimaklumkan sendiri defendan kedua melalui doktor/pegawai/agennya kepada plaintif pertama dan arwah isterinya.

Plaintif pertama turut dimaklumkan kakitangan/agen/pekerja defendan kedua bahawa terdapat beberapa usus terkoyak dan terlekat di dinding perut rahim yang mana ia terpaksa diikat, dijahit dan ditebuk untuk dibuat saluran terus ke bag plastik atau buangan.

Susulan pembedahan itu, isteri plaintif pertama koma sehingga meninggal kira-kira jam 8 pagi pada 21 September lalu akibat jangkitan kuman dan kegagalan fungsi organ dalaman serius.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi kecuaian dalam merawat isteri plaintif pertama semasa dan selepas proses bersalin yang membawa kepada kematian.

Akibat kecuaian defendan, plaintif menanggung kesedihan, terkejut, kehilangan orang tersayang dan mengalami kesusahan yang amat sangat sehingga sekarang. -BH

Tiada ulasan: