31 Dis 2010

Muslimah Amerika Kian Menyerlah

Muslimah Amerika kian menyerlah, menurut laporan sejumlah media negara kuasa besar itu.

Antara mereka ialah Cik Soumaya Khalifa. Selepas peristiwa serangan pengganas ke atas Amerika pada 11 September 2001, beliau telah terlebih dulu menubuhkan Biro Pembicara Islam di Atlanta.

Beliau mendapat tahu bahawa Bakers Club memerlukan seorang penceramah. Meskipun beliau kurang arif mengenai kumpulan ini, beliau menggagahi diri jua.

Rupa-rupanya kumpulan yang dimaksudkan ialah Bickerers Club (kelab bertengkar) iaitu para anggotanya suka berdebat. Islam adalah topik mereka dan tempat mereka ialah sebuah kedai.

Cik Soumaya tertawa mendapat pelawaan dan telah menampilkan ceramah yang amat menarik.

Lahir di Mesir dan dibesarkan di Texas, beliau berjilbab. Beliau memang khuatir penampilan dan gagasannya sukar diterima. Ternyata, kelab itu mengubah kebencian menjadi simpati.

Beliau merupakan sekian banyak Muslimah yang terpelajar dan berjuang mengatasi salah faham masyarakat terhadap Islam di Amerika.

Cik Najah Bazzy, seorang jururawat kelahiran Amerika dan pendiri beberapa lembaga amal di Michigan, berkata: 'Saya keturunan Arab, tapi sangat menyukai Amerika, dan ya, saya memang Islam.'

Muslimah Amerika cuba memecahkan tanggapan serong atau stereotaip bahawa mereka tertindas dan mundur.

Pencarian mereka untuk memecahkan stereotaip, ulas harian The Washington Times. Muslimah Amerika, hujah media Amerika, lebih terpelajar daripada saudara mereka di Eropah Barat. Menurut tinjauan Gallup pada Mac 2009, Muslimah Amerika lebih merdeka.

'Muslim yang datang ke Amerika Utara sering mencari versi egalitarian Islam,' kata Dr Ebrahim Moosa, seorang profesor Pengajian Islam di Universiti Duke. 'Itu kekuatan Muslimah Amerika berbanding di Eropah Barat.'

Cik Soumaya berijazah universiti dalam bidang kimia dan sumber daya manusia. Namun, hidupnya sering berdepan dengan cercaan.

Beliau cuba bersikap tenang. Lamakelamaan, kepintarannya diakui dan dianggap antara pembicara berwibawa.

Muslimah terkenal Amerika ialah Cik Ingrid Mattson. Dengan busana indah dan jilbab warna-warni, beliau berdiri antara ulama yang berkumpul di Washington pada September untuk cuba meredakan kemarahan atas gagasan pembangunan pusat Islam tidak jauh dari bekas tapak menara kembar Pusat Dagangan Dunia, New York, yang ranap oleh serangan 9/11.

Cik Mattson, 47 tahun, yang mengajar di Seminari Hartford di Connecticut, menjadi wanita pertama memimpin Persatuan Islam Amerika Utara (ISNA), badan Muslim terbesar di benua tersebut.

Cik Tayyibah Taylor berasal dari Caribbean dan tiba di Atlanta serta kemudian memeluk Islam. Beliau menubuhkan majalah Azizah mengenai gaya hidup Muslimah. Edarannya kini 45,000 naskhah.

'Saya tidak melihat Islam sebagai mengambil kebebasanku sebagai seorang wanita,' kata Cik Taylor, mualaf yang khusus terbang ke Jeddah dan tinggal selama beberapa tahun di sana demi belajar Al-Quran. 'Sebaliknya, Islam benar-benar membuka dunia bagiku.'

Terdapat sekitar tujuh juta Muslim di Amerika Syarikat. Di Atlanta saja, terdapat 80,000 Muslim yang mula berakar pada 1950-an, ketika sekelompok kecil aktivis Nation of Islam yang kebanyakannya dianggotai lelaki kulit hitam, bertemu di gedung kotor untuk merancang dakwah. Kini 40 masjid berdiri di kota ini dengan Muslimahnya yang kian berperanan. -- NYT.

Tiada ulasan: