19 Dis 2010

Isu Ke PRK Tenang: Kerajaan UMNO BN Pasti Naikkan Harga Barang Lagi

Harga barang keperluan terutama minyak dan gula bakal mengalami kenaikan harga lagi jika BN menang di Tenang, demikian tulis seorang pensyarah tempatan melalui email kepada GB.

Ini kerana, menurutnya, sudah jelas tanda-tanda bahawa wujudnya perancangan untuk menaikkan harga tersebut secara diam-diam oleh kerajaan UMNO BN sekalipun mereka cuba untuk menyembunyikannya daripada dihidu oleh rakyat.

Isu kenaikan harga barang ekoran kenaikan harga petrol RON95 yang mengalami kenaikan lima sen seliter manakala gula pula 20 sen sekilogram (kg) sejak awal bulan ini — kenaikan kali kedua harga produk itu sejak Julai lalu, di bawah dasar pelarasan subsidi diperkenalkan pentadbiran Najib, juga perlu mendominasi kempen Pakatan Rakyat di PRK Tenang nanti.

Janji kerajaan UMNO BN ternyata palsu, janji yang tidak boleh dipercayai kerana belum pun sebulan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelumnya menyatakan "Harga minyak RON 95 dijangka tidak akan dinaikkan pada tahun ini", tambahnya.

Tetapi pada malam itu, 3 Disember 2010, 1Malaysia dikejutkan dengan keputusan kerajaan untuk menaikkan harga minyak RON95 daripada RM1.85 kepada RM1.90 seliter dengan diiringi kenaikan harga diesel, gula dan LPG.

Ketua Muslimat PAS, Puan Nuridah Salleh pula menyatakan janji-janji pemimpin kerajaan BN ternyata tidak boleh dipegang kerana mereka hanya sekadar tahu berjanji tetapi tidak pula jujur dan tahu menunaikannya sejak dulu.

"Pada hal, 2 November 2010 yang lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenaikan RON97 ditentukan oleh syarikat pengeluar minyak. Kerajaan tidak bertanggungjawab terhadap kenaikan harga minyak petrol RON97 kerana harga bahan mentah itu dikawal sepenuhnya oleh pasaran terbuka,” katanya seperti dilaporkan Harakahdaily sebelum ini.

Pembohongan kerajaan UMNO BN kepada rakyat.


"Bagaimanapun kerajaan memberi jaminan harga minyak RON 95 tidak akan naik dalam tempoh terdekat. Rakyat juga tidak perlu risau kerana kerajaan juga tidak ada perancangan untuk menaikkan harga minyak RON95 dalam tempoh terdekat," kata Ismail Sabri seperti yang dilaporkan media tempatan.

Ternyata, janji Menteri berkenaan adalah palsu.

Sementara itu, Konges Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pula telah menyifatkan kerajaan memilih cara “tembak curi” untuk mengumumkan pelarasan subsidi yang membawa kepada kenaikan harga bahan api dan gula.

Sehubungan itu badan induk pekerja itu berkata, langkah kerajaan yang diumumkan awal bulan ini amat dikesali kerana keputusan diambil tanpa mengadakan perbincangan dengan kesatuan sekerja, badan pertubuhan bukan kerajaan termasuk badan pengguna.

“Kerajaan memilih malam Jumaat 3 Dis untuk menaikkan harga bahan bakar petroleum dan harga gula.

“Ini untuk memastikan bahawa berita kenaikan harga bahan-bahan keperluan asas ini tidak serta-merta akan disambut oleh para wakil rakyat di Parlimen.


“Kali ini kerajaan telah memilih cara ‘tembak curi’ tanpa banyak perbincangan dan memberi maklumat awal,” kata Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud dalam satu kenyataannya.

Katanya, sebelum ini pegumuman kenaikan harga bahan bakar petrol dibuat ketika sidang Parlimen ditangguh.

Amat jelas tarikh dan masa dipilih sebagai taktik pengolahan berita untuk memastikan berita ini akan tenggelam dan diharapkan orang ramai akan lalai dan tidak marah.

“Setelah diumumkan kenaikan harga ini para menteri yang bertanggungjawab dan menteri yang lain terus ‘padam’ tidak memberikan apa-apa pandangan.

“Seolah-olah adanya arahan agar berita kenaikan harga barangan ini tidak dibincangkan secara meluas,”
kata Syed Shahir.

Beliau mendakwa satu pekara yang amat jelas ialah bagaimana berita kenaikan bahan asas ini diolah untuk memperdaya pandangan orang ramai.

Katanya lagi, perkataan seperti keseragaman harga, penyelarasan harga, penarikan subsidi, rasionalisasi harga telah digunakan.

“Perkataan ‘naik harga’ terus tidak muncul dalam akhbar dan media.

Oleh itu sewajarnya, menurut ramai aktivis masyarakat, UMNO BN ditolak di dalam pilihanraya kecil Tenang nanti sbagai protes rakyat terhadap mereka yang bertindak menzalimi rakyat.

Untuk sebaran sempena PRK Tenang

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

setiap kali BN menang Pilihanraya kecil ada saja naik harga dari tambang bas, gula, minyak....