3 Dis 2010

Iran Terkejut Lambang Zionis Di Atas Bumbung Iran Air

Lambang Zionis di atas bangunan di Iran

GAMBAR enjin carian Google menunjukkan lambang rezim Zionis (dalam bulatan), Bintang David terdapat di atas bumbung bangunan syarikat penerbangan Iran Air di Teheran.

TEHERAN - Pemerintah Iran marah selepas imej satelit enjin carian Goggle Earth mendapati terdapat lambang rejim Zionis, Bintang David di atas bumbung ibu pejabat syarikat penerbangan Iran Air, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Pegawai-pegawai Iran telah mengarahkan supaya simbol itu dibuang selepas timbul desas-desus bahawa lambang berkenaan itu sudah ada sebelum Revolusi Islam berlaku pada 1979 di negara berkenaan.

Bintang itu jelas kelihatan berada di bahagian tengah bangunan Iran Air tetapi kesahihannya masih dipertikaikan.

Media Iran mendakwa bangunan tersebut telah dibina oleh para jurutera Israel semasa negara itu diperintah oleh Shah Mohamed Reza Pahlavi.

Semasa pemerintahan Shah, hubungan antara kedua-dua buah negara itu amat rapat.

Ketika itu, terdapat penerbangan antara Lapangan Terbang Mehrabad di Teheran, Iran ke Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv, Israel.

Israel turut menjual senjata kepada pemerintah Iran ketika itu bagi mendapatkan tukaran minyak.

Namun Iran kini memutuskan hubungan dengan Israel.

Satu laman web Iran menyatakan: "Sangat menghairankan, walaupun sudah 32 tahun Revolusi Islam berlaku, bintang Zionis ini masih belum dibuang dari bangunan itu."

Pada Ogos lalu, kewujudan lambang yang sama menimbulkan kemarahan apabila ia ditemui di bahagian atas sebuah bangunan di Tapak Revolusi di Teheran. - Agensi



Tiada ulasan: