3 Dis 2010

Seorang Wanita Singapura Didakwa Menipu Pengasas RHB, RM7 juta

Ahli Perniagaan Didakwa Tipu Tokoh Korporat

Gambar: WARGA Singapura, Sharida Abdul Majid, 46, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas pertuduhan menipu pengasas RHB Bank, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, dengan menggunakan dokumen palsu, membabitkan kerugian RM7 juta. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Seorang ahli perniagaan dari Singapura dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini Jumaat, atas tuduhan menipu tokoh korporat, Tan Sri Abdul Rashid Hussain yang melibatkan kerugian RM7 juta.

Sharida Abdul Majid, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut dan memohon dirinya dibicarakan.

Dia didakwa menipu Abdul Rashid, 64, dengan mendakwa dirinya telah mendapat ‘gift contract’ bernilai B$8 juta (kira-kira RM19.2 juta) dan menawarkan mangsa untuk menyertai pelaksanaan kontrak tersebut.

Perbuatan tertuduh didakwa telah mendorong mangsa untuk menyerahkan RM7 juta dalam bentuk tiga keping cek Standard Chartered Bank sebagai penyertaannya di dalam kontrak tersebut, yang mana beliau tidak akan melakukannya jika tidak diperdayakan.

Tertuduh yang diwakili oleh bekas suaminya, peguam Mohd Azfar Abdullah didakwa melakukan kesalahan itu antara September 2009 dan 13 November 2009 di tingkat 9, Bangunan B, Peremba Square, Saujana Resort di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 dan denda, jika sabit kesalahan.

Mangsa yang merupakan pengasas sebuah bank di negara ini membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada 4 Mei lalu.

Tertuduh yang bertubuh kecil molek itu ditangkap pada Khamis.

Selain itu, Sharida juga menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu menggunakan dokumen palsu, iaitu dua keping bil tunai Syarikat High Motivations Sdn Bhd bertarikh 28 September 2009 sebagai tulen.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 2 Oktober dan 26 Oktober 2009 di tempat yang sama.

Pendakwaan bagi kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 471 kanun sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 467 kanun yang sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurshuhaida Zainal Azahar menawarkan jaminan RM1 juta dengan dua penjamin warga tempatan terhadap tertuduh.

“Kami juga memohon syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

“Jaminan yang ditawarkan adalah berpatutan memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan tertuduh sebagai warga asing mempunyai kebarangkalian untuk melarikan diri,” tambah Nurshuhaida.

Turut mengendalikan pendakwaan ialah Timbalan Pendakwa Raya Nuur Fakhizaa Abu Bakar.

Bagaimanapun, Mohd Azfar memohon jumlah itu dikurangkan atas prinsip jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.

“Tertuduh telah tinggal di Malaysia selama 30 tahun dan kami berkahwin untuk 23 tahun. Kami mempunyai empat orang anak, dan yang paling kecil berusia 5 dan 11 tahun.

“Tertuduh adalah seorang ibu tunggal dan anak-anak kami sangat memerlukan kehadirannya,” katanya.

Mohd Azfar juga memberitahu, beliau tidak akan mewakili tertuduh pada perbicaraan kes, sebaliknya tertuduh akan diwakili peguam daripada Tetuan Selvamookiah & Co.

Turut dimaklumkan adalah tertuduh telah memberikan kerjasama kepada pihak polis.

Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob menetapkan jaminan tertuduh pada jumlah RM500,000 dengan dua warga tempatan sebagai penjamin dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 7 Januari depan sebagai sebutan semula kes.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

dah kena lah tu...penipu menipu penipu...

she

Tanpa Nama berkata...

memang penipu perempuan ni..sy sndiri dah kena dngn dia.
start keje 1jul2015 smpai kesudah xbayar gaji.nak buka airlines konon.
puuii..1 family dia penipu..jaga2 sape yg berurusan dngn pmpuan xsedar diri ni.