Sementara Timbalan Setiausaha MCA Selangor Ching Eu Boon mengecam Pakatan Rakyat, khususnya DAP mempergunakan isu mendiang Teoh Beng Hock sebagai alat untuk menyerang Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil, Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan MCA, Chiew Lian Keng pula menyelar tindakan polis menangkap empat orang anggota pertubuhan "Malaysians for Beng Hock".
Dalam kenyataan pada hari ini, Ching Eu Boon mengecam sekeras-kerasnya bahawa PR cuba mengaut undi dengan mencungkil kebencian masyarakat Cina terhadap MCA melalui isu Teoh Beng Hock. Malah, Ching Eu Boon menyangkal "Malaysians for Beng Hock" sebagai pertubuhan bebas, sebaliknya mendakwa bahawa ia ditubuhkan atas sokongan pemimpin PR.
"Apa yang paling menghina, Pakatan Rakyat memperalatkan keluarga mendiang Teoh Beng Hock untuk mengaut undi," kata Ching Eu Boon.
Pada hemat Ching Eu Boon, kerajaan telah menubuhkan inkues untuk menyiasat punca kematian mendiang Teoh Beng Hock, malah Perdana Menteri Najib Razak telah berjumpa, menyampaikan takziah malah memberi jaminan bahawa punca kematian Teoh Beng Hock akan disiasat.
Pemuda Wilayah MCA membidas polis
Namun demikian, perspekif Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan MCA, Chiew Lian Keng agak berbeza dalam isu ini, menyasarkan kritikannya terhadap polis yang menahan empat orang anggota "Malaysians for Beng Hock", kononnya melanggar Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Chiew Lian Keng menambah, "Penangkapan secara tergesa-gesa, tanpa asas undang-undang yang mencukupi ini hanya untuk mempamerkan kuasa polis semata-mata, malah telah mendedahkan polis yang 'buta undang-undang'. Fenomena yang muncul dalam pilihan raya kecil ini akan meninggalkan persepsi bahawa polis bersifat bias dalam isu ini, dan ia semestinya telah menjejaskan imej kerajaan BN."
Sehari kemudian, empat orang daripada anggota Malaysians for Beng Hock, termasuk adik Teoh Beng Hock, iaitu Teoh Lee Lan ditangkap dan ditahan polis untuk soal siasat lebih daripada enam jam.
Mendiang Teoh Beng Hock adalah bekas Setiausaha Politik kepada EXCO Kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah. Teoh Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009, setelah dibawa soal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari sebelumnya. Punca kematian Teoh Beng Hock masih belum menemui jawapan selepas lebih setahun beliau meninggal dunia.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan