1 Nov 2010

Besut Dilanda Banjir Kilat

Beberapa kampung di Besut dilanda banjir kilat

Gambar: Beberapa murid di Sekolah Kebangsaan Gong Bayor menggunakan bangku panjang dan batu-bata untuk meniti daripada takungan air banjir kilat yang melanda sekolah mereka ekoran hujan lebat yang turun secara menyeluruh di Pantai Timur termasuk Besut sejak semalam.

Antara sekolah yang dgenangi air sedalam antara 0.2 hingga 0.3 meter ialah SK Pasir Akar di Hulu Besut, SK Tanah Merah dan SK Bukit Puteri di Jerteh.


BESUT - Beberapa buah kampung terutamanya yang terletak di kawasan rendah serta beberapa buah sekolah di Hulu Besut dan Jerteh di sini dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat yang melanda sejak semalam.

Banjir juga menyebabkan jalan antara Jerteh ke Bukit Payong di Hulu Besut terputus apabila jalan di Gertak Jerbong di Kampung Pasir Akar ditenggelami air antara 0.3 hingga 1 meter pagi tadi dan tidak boleh dilalui kenderaan kecuali kenderaan berat.

Bilik Gerakan Banjir, Ibu Pejabat Polis di Kampung Raja yang dihubungi memberitahu, seramai 40 penduduk dari 10 keluarga di Kampung Dalam Umar di Tok Renek terpaksa dipindah ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Anak Ikan, Tok Dor malam tadi apabila rumah mereka dinaiki air.

Mereka bagaimanpun telah pulang semula tengah hari tadi setelah paras air di kawasan rumah mereka surut.

Tinjauan Bernama ke beberapa kawasan mendapati beberapa buah sekolah turut digenangi air pagi tadi ekoran limpahan air parit.

Antara sekolah yang digenangi air sedalam antara 0.2 hingga 0.3 meter ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Akar di Hulu Besut, SK Tanah Merah dan SK Bukit Puteri di Jerteh, SK Gong Bayor di kawasan Raja dan SK Kampung Nangka di Kuala Besut.

Sementara itu paras air Sungai Besut di tiga lokasi penyukat banjir di Ampangan Jajar, Sungai Jerteh dan di Kampung Raja dilaporkan masih berada di paras biasa.-BERNAMA


Paras air Sungai Golok kini di paras bahaya

KOTA BAHARU - Paras air Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Rantau Panjang kini dilaporkan berada di paras bahaya ekoran hujan lebat yang turun sejak dua hari lalu.

Menurut Pegawai Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan Shaari Harun, paras air di Jenob pada 11 pagi tadi berada pada paras 23.80 meter berbanding para bahaya 23.50 meter, dengan air dilaporkan semakin naik.

Di Rantau Panjang, bacaannya ialah 8.75 meter yang menghampiri paras bahaya 9 meter, katanya.

"Sehubungan itu penduduk diminta bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir kerana air Sungai Golok mungkin melimpah pada bila-bila masa sahaja," katanya kepada Bernama.

Shaari berkata, paras air sungai utama lain masih di paras biasa namun airnya semakin meningkat secara perlahan-lahan berikutan hujan masih turun.

Katanya ekoran hujan lebat, beberapa kawasan rendah seperti Pasir Tumboh, Penambang, Kubang Bemban, Berek 12 dan Pasir Hor mengalami banjir kilat sedalam 0.5 meter.

Namun tiada penduduk yang diarahkan berpindah setakat ini.

Shaari berkata, pihaknya telah mula membuka Bilik Gerakan Banjir mulai awal pagi tadi bagi memantau keadaan.

Katanya hujan yang sesekali lebat dijangka terus melanda Kelantan sehingga esok.-BERNAMA

Tiada ulasan: