7 Nov 2010

Mangsa Berselawat dan Berdoa Ketika Terapung 16 Jam Di Lautan

Semua 16 mangsa bot karam di Pulau Tenggol ditemui selamat

Gambar: Sebahagian daripada 16 mangsa bot karam yang terselamat ketika tiba di Pengkalan Marin di sini hari ini.

KEMAMAN: Kesemua 16 mangsa yang dikhuatiri hilang dalam kejadian bot karam di Pulau Tenggol dekat sini, petang semalam ditemui selamat dalam keadaan terapung kira-kira 12 batu nautika dari pulau berkenaan menghala ke Kuantan pagi tadi.

Ketua Pasukan Gerakan Marin Wilayah Timur, Asisten Komisioner Mohd Salleh Mat Jani, berkata kesemua mangsa iaitu sembilan lelaki dewasa, enam wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, ditemui dalam keadaan keletihan kira-kira jam 10 pagi tadi oleh pasukan gerakan marin yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat.

Kesemua mangsa kini dalam perjalanan pulang ke jeti Pangkalan Marin Wilayah Timur Teluk Kalong di sini untuk diberikan bantuan dan rawatan.

Mereka dilaporkan hilang di sekitar perairan Pulau Tenggol petang semalam, setelah 18 jam berada dalam keadaan terapung di lautan akibat bot yang dinaiki bocor.

Petang semalam, bot jenis D-Guardian Katamaran membawa pelancong dari kumpulan berbeza termasuk penyelam bertauliah dari Kuala Lumpur dan Selangor termasuk dua doktor, seorang jurulatih selam karam.


Selawat, doa berserah kepada tuhan supaya ditemui: Mangsa bot karam

Sepanjang 16 jam hanyut di lautan, kesemua penumpang bot yang karam di perairan Terengganu berhampiran Pulau Tenggol hanya mampu berdoa dan berselawat selain berserah kepada tuhan supaya mereka ditemui dalam keadaan selamat.

Pemandu bot, Zulfadly Yahya, 29, berkata dalam keadaan hujan dan kegelapan malam itu, mereka nyaris dilanggar beberapa kapal yang dipercayai tidak nampak mereka terapung di lautan.

"Sebaik menyedari bot akan karam, saya menyuruh mereka yang telah lengkap dengan jaket keselamatan terjun untuk mengelakkan kejadian yang lebih buruk.

"Selepas itu kami cuba berenang semula ke pulau tetapi gagal akibat ombak yang agak kuat. Apa yang boleh kami lakukan ialah pastikan kami tidak berpecah dan berada dalam keadaan berkumpulan untuk memudahkan pihak berkenaan mengesan kami," katanya ketika ditemui sejurus tiba di Pangkalan Marin Wilayah Tiga di Kemaman di sini, hari ni.

Menceritakan kembali kejadian yang berlaku semalam, Zulfadly yang sudah 11 tahun bekerja sebagai pemandu bot, berkata dalam kejadian pada jam 6.45 petang itu bot jenis D-Guardian Katamaran itu mengalami kerosakan enjin selepas mengambil pelancong dari Pulau Tenggol.

"Saya cuba membawa bot berpatah balik, tetapi gagal sebab ombak agak kuat menyebabkan bot itu karam tetapi saya sempat hubungi majikan saya bagi memaklumkan kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, sepanjang terapung di lautan dengan keadaan malam yang gelap dan hujan, ada di kalangan mereka yang disengat obor-obor, malah ada yang menangis terutama pelancong wanita.

Namun, mereka tidak putus asa dan sentiasa berselawat serta berdoa selain memberikan kata-kata semangat antara satu sama lain dan meminum air hujan bagi menghilang dahaga.

Azhar Ahmad, 40-an dari Kuala Lumpur pula berkata pengalaman sebagai penyelam profesional banyak membantu menyelamatkan keadaan walaupun ketika itu beliau terfikir kematian telah hampir dengan dirinya.

"Kami datang dari Kuala Lumpur seramai 10 orang, kebanyakannya penyelam bertauliah dan keadaan ini membantu kami agar tidak panik, namun apa yang kami risaukan ada di antara penumpang lain adalah kanak-kanak dan seorang wanita mengandung," katanya yang mempunyai dua tahun pengalaman menyelam.

Mazli Abd Malik, 33, dari Ampang berkata pada mulanya beliau risau jika mereka tidak ditemui oleh pasukan penyelamat.

"Sepanjang 16 jam kami terapung di laut dalam keadaan gelap, banyak kapal yang lalu, tetapi semuanya tidak nampak kami," katanya yang bekerja sebagai juruperunding.

Seorang lagi mangsa, Loo Kit Chong berkata semasa saat-saat cemas sebelum bot itu karam, mereka cuba membuang air dari dalam bot setelah dimaklumkan bot yang mereka naiki mengalami kerosakan.

"Namun tidak sempat sampai daratan bot itu tenggelam, menyebabkan kami terpaksa terjun. Semasa hanyut, kami beberapa kali nampak daratan dan cuba berenang, namun gagal sebab ombak kuat.

"Jadi kami ambil keputusan untuk membiarkan diri kami hanyut sahaja untuk menjimatkan tenaga sebelum ditemui oleh pasukan penyelamat," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said melawat kesemua mangsa yang kini dirawat di Hospital Daerah Kemaman.

"Mungkin disebabkan mereka dari Kuala Lumpur dan Selangor jadi tidak faham dengan keadaan cuaca di Terengganu iaitu pulau-pulau di negeri ini tidak sesuai dikunjungi pada musim tengkujuh kerana ombak besar dan angin kencang.

"Jadi saya menasihati mereka yang ingin datang ke pulau-pulau di Terengganu supaya menunda hasrat mereka sehingga musim tengkujuh berakhir," katanya.

Tiga mangsa yang dilaporkan kritikal sebelum ini iaitu seorang kanak-kanak Mohd Danial Aiman Mohd Zulkifli, 4, ibunya yang mengandung empat bulan Noraini Sosilawati, 33, dan Mohd Azharini Mohd Amin kini berada dalam keadaan stabil. - BERNAMA

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tolong check samada jurumudi bot ada lesen ke tidak ..ambil tindakan jua pada tuan bot kepunyaan resort tersebut.jangan nak untung je keselamatan perlu di ambil kira PALING maksima dlm hal berkaitan laut nie.dah byk kes bot langgar pelanong putus badan dan mati lemas ankara driver lentok.

Tanpa Nama berkata...

Kalau hilang timbul di pantai Vietnam pun tak hairan. Semaju Pulau Redang dengan bot besarnya, pertengahan bulan 10 dah tak terima pelangan. Angin monsoon kan dah tiba, Kedah pun dah banjir... bawak pula anak kecil ke pulau dalam bulan tengkujuh...bijak. Kalau ada lagi resort nak publisiti percuma macam ini...tahun depan ada pulak cerita.