16 Nov 2010

Ekspo Cheng Ho: Pavillion Dijangka Jadi Tarikan Pengunjung



Pavilion jadi tarikan ramai


KOTA BHARU – Tinggal lima hari lagi Ekspo Cheng Ho bakal dibuka kepada orang ramai khusus untuk memberi peluang melihat lebih dekat lagi keistimewaan dan keunikan negara China.

Pengarah program, Zulkefli Mamat berkata, antara yang menjadi daya tarikan utama kspo yang akan berlangsung dari 21 hingga 26 November ini ialah China Pavillion.

Katanya, ia akan memberi peluang pengunjung mendapatkan teknik rawatan alternatif diabetes daripada Universiti Chendu.

“Tidak ketinggalan Universiti Perubatan Ninxia turut mempamerkan dan menunjukkan kaedah perubatan Islam dalam tradisi China.

“Kita juga akan membawa fesyen Muslimah dalam pelbagai rekaan yang dihasilkan daripada syarikat atau kilang di China," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Zulkefli berkata, antara kelainan yang ada ialah teknologi seperti rumah jimat tenaga yang akan dipasang di kawasan ekspo tersebut.

Menurutnya, turut sama menjadi tarikan ramai ialah sejarah Laksamana Cheng Ho yang dibawa terus dari Muzium Cheng Ho dari Melaka.

"Bahan pameran tersebut meliputi sejarah, bentuk kapal, barangan yang dibawa ekspedisi Cheng Ho, teknologi yang digunakan dan kemajuan yang dibawa Cheng Ho di tempat yang disinggahi sepanjang pelayarannya.

“Terdapat juga International Pavillion dari negara-negara Asia Tengah seperti Krygyzistan, Kazakhstan, Tajikistan dan negara Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean),” katanya.

Beliau berkata, antara tarikan penting yang lain adalah tulisan al-Quran terpanjang iaitu sepanjang 209 meter dan ditulis seorang Muslim, Yusuf dari Shanghai.

Zulkefli berkata, proses membuat kaligrafi berdasarkan al-Quran itu mengambil masa dua tahun menggunakan 80 pekerja.

Antara pertunjukan turut diadakan ialah akrobatik China, Adili yang berjalan atas tali yang direntangkan di Stadium Sultan Muhammad IV.

Tiada ulasan: