16 Nov 2010

Seorang Wanita Islam Dan Seorang Bapa Dgn Anak Kecil Antara Yang Ditahan Di Kedai Ekor

Beberapa umat Islam termasuk seorang wanita berusia 30-an hanya tersenyum kelat dan berpura-pura tidak mendengar apabila ditanya mengenai hukum berjudi ketika ditahan membeli nombor ekor di sebuah premis di pekan ini.

Lebih memalukan, seorang bapa berusia 40-an tergamak membawa anak lelakinya yang masih kecil masuk ke premis berkenaan untuk membeli nombor ekor tanpa memikirkan kesan terhadap pemikiran kanak-kanak itu mengenai perbuatan haram yang dilakukannya itu.

Lelaki terbabit hanya tersengih apabila dimarahi penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), manakala anaknya yang berusia empat tahun terpinga-pinga melihat bapanya diarahkan duduk mencangkung beramai-ramai dalam premis berkenaan.

Dalam operasi membanteras perjudian di kalangan umat Islam itu, JHEINS menahan 18 ‘tahi judi tegar’ termasuk seorang wanita di tujuh premis perjudian berasingan sekitar pekan Bahau di sini, dalam operasi empat jam diketuai Ketua Operasi Bahagian Penguat Kuasa JHEINS, Ahmad Zaki Hamzah.

Terdahulu, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an yang baru membeli nombor ekor cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran JHEINS yang turut disertai anggota Cawangan Tatatertib Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan serta Majlis Keselamatan Negara.

Dia cuba melepaskan diri dengan berlari ke arah motosikalnya yang diletak berhampiran premis berkenaan, tetapi tindakan pantas penguat kuasa mengejarnya menggagalkan usahanya walaupun berlaku sedikit pergelutan.

Penyelaras Operasi JHEINS, Mohd Zol Sidek berkata, pihaknya menahan 18 individu beragama Islam iaitu 17 lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 50-an yang ketika itu leka membeli nombor ekor di premis perjudian berasingan.

"Selain cubaan seorang daripada mereka untuk meloloskan diri, seorang lelaki berusia 60-an iaitu penjaga sebuah premis perjudian turut berdegil enggan menunjukkan lesen perniagaannya ketika diminta anggota penguat kuasa.

"Perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku dan setiap pemilik premis seharusnya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa yang sedang menjalankan tugas," katanya.

Beliau berkata, semua kaki judi berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol untuk tindakan selanjutnya.

"Kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 79 Enakmen Jenayah Syariah 2003 dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda sebanyak RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ditemui meminta pihak berkuasa membuat pemantauan lebih ketat terhadap umat Islam yang terbabit dalam kegiatan sedemikian.

Zuriyani Mat Zain, 28, berkata imej agama tercemar apabila orang Islam tanpa segan silu masuk dan membeli nombor ekor di premis perjudian yang selalunya berada di tempat terbuka.

"Jika diperhatikan, mereka bukan saja tidak ada perasaan malu memasuki premis perjudian, malah kelihatan yakin seolah-olah tidak bimbang ditangkap pihak berkuasa.

"Ini menunjukkan kurangnya pemantauan dan tindakan pihak berkuasa kerana sehingga kini perasaan takut ditangkap tidak wujud dalam diri mereka," katanya.

Sementara itu, Azmawati Aidi, 26, berkata orang Islam perlu lebih prihatin dan menyalurkan aduan kepada pihak berkuasa apabila melihat rakan seagama mengunjungi premis perjudian.

"Mungkin pihak berkuasa tidak dapat memantau sepanjang masa, menyebabkan kita perlu bertanggungjawab membuat aduan supaya tindakan dapat diambil bagi menghalang kegiatan haram itu terus berleluasa," katanya.-bh

6 ulasan:

hanyzan30 berkata...

Bismillah,
Assalamualaikum...
Inilah kesana daripada pemerintahan yang ada dan tidak mahu menjadikan ISLAM itu panduan hidup,hinggakan rakyatnya tidak segan silu melakukan dosa.TUNGGUlah azab ALLAH yang AMAT PEDIH...!

Tanpa Nama berkata...

1. Judi ini ada setannya. Penagih judi tidak akan dapat berhenti begitu sahaja. Sama macam penagih dadah. Tangkap la berapa puluh kali pun tetap judi juga.

2. 90% pelanggan kedai judi adalah orang melayu. Ini dinyatakan sendiri oleh kadi daerah keluang Ust Khalil dalam ceramah beliau.

3. Tahniah kepada pihak yang meluluskan lesen judi dan yang melantik mereka. Kamu semua telah menempah tiket ke neraka.

marn berkata...

Bro, orang islam di Msia ni kena push gomen untuk ambik tindakan undang-undang tegas ke atas penjual nombor ekor dan segala bentuk mak-nenek judi kepada orang Islam. Bleh letak bawah tajuk "menghina agama rasmi kebangsaan".

Tanpa Nama berkata...

Nak buat macam mana??? Bapak JUDI dah pegang kuasa di Malaysia nie...dengan menerima nasihat dari Mem besar???

zuraimi berkata...

sian budak tu...
aku yg ada anak ni bila bayangkan kedaan dimarah oleh org dlm kedai judi...depan anak yg tak berdosa...

sian budak tu....

ish manusia ...manusia...

Tanpa Nama berkata...

Menagkap orang yang berjudi walau pun mereka orang Islam,tidak menyelesaikan masaalah kerana masaalahnya ialah keujuddan kedai judi itu.Orang Islam yang berjudi ditangkap,bagai mana halnya dengan pemimpin Islam yang meluluskan lesen judi?Gulungan inilah "hantu judi" dan wajar ditangkap.Bagaimana dengan soal,agama resmi Malaysia(ikut Perlembagaan) ialah agama Islam?Bagaimana "kerajaan" boleh meluluskan lesen judi?Tidakkah kerajaan itu melanggar Perlembagaan? Fikirlah dalam-dalam.