18 Nov 2010

Bergaduh Pilih Imam Solat Aidul-Adha, 18 Cedera

18 cedera gaduh pilih imam solat Aidiladha

QUETTA: Tembak menembak dalam sebuah masjid di barat laut Pakistan mencederakan sekurang-kurangnya 18 orang dalam satu pertengkaran mengenai siapa yang sepatutnya mengimamkan solat Aidiladha.

Pengikut dua pemimpin agama bersaing mengeluarkan senjata dan mula melepaskan tembakan pagi semalam selepas bertengkar mengenai siapa yang sepatutnya memulakan dulu solat di sebuah masjid kecil di daerah pedalaman Khuzdar di wilayah Baluchistan, kata pegawai polis, Javed Ahmed.

Daerah terbabit terletak kira-kira 900 km ke barat laut Islamabad. Kebanyakan etnik Pashtun membawa senjata api setiap hari dalam kehidupan sehari mereka.

Berjuta penduduk Pakistan lain meraikan Aidiladha semalam dalam suasana aman menyertai penduduk Islam seluruh dunia meraikan hari kebesaran umat Islam selama tiga hari yang juga dikenali sebagai Hari Raya Korban.

Pakistan menyambut hari raya sehari selepas kebanyakan negara meraikannya sejak semalam berikutan pihak berkuasa negara itu mengikut pengiraan anak bulan.

Sambutan sunyi di beberapa kawasan di Pakistan berikutan banjir buruk yang menjejaskan 20 juta penduduk manakala 7 juta yang lain masih lagi kehilangan tempat tinggal.

Kebanyakan masjid turut meningkatkan keselamatan semalam untuk mengawal kemungkinan serangan Taliban dan kumpulan pelampau Islam lain.

Awal bulan ini sekurang-kurangnya 70 penduduk mati apabila seorang pengebom bunuh diri menyerang sebuah masjid yang selalu dikunjungi golongan anti-Taliban dan sebutir bom tangan meletup di barat laut negara itu. – AP

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

jangan pilih imam atau pemimpin negara atau parti yang fasiq

Tanpa Nama berkata...

inilah islam !!!!!!