10 Nov 2010

24 Ketua Cabang PKR Tuntut Pemilihan Ditangguhkan

Sebuah badan - Gabungan Cabang PKR - mendakwa sekurang-kurangnya 24 ketua cabang telah membuat tuntutan terbuka kepada jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) parti itu supaya menangguhkan pemilihan yang sedang berlangsung.

Menurutnya, cabang berkenaan juga menuntut supaya siasatan segera dijalankan ke atas dakwaan yang dibuat seorang calon timbalan presiden Mustaffa Kamil Ayub.

Dalam kenyataannya hari ini, gabungan itu menyenaraikan 24 ketua cabang tersebut - Putrajaya, Teluk Intan, Temerloh, Petaling Jaya Utara, Sembrong, Kuala Pilah, Paya Besar, Bagan Datoh, Bentong, Keningau, Tanjung Malim, Ipoh Barat, Tampin, Rompin, Pensiangan, Sungai Siput, Maran, Tambun, Jerantut, Bagan Serai, Tapah, Kuala Kangsar, Kota Kinabalu dan Seremban.

Ketika dihubungi, ketua cabang Putrajaya Onn Abu Bakar berkata, siasatan juga perlu dibuat ke atas aduan yang disampaikan invidu lain sebelum ini.

"Adalah tidak wajar jika terdapat mana-mana pihak khususnya ahli JPP dan juga petugas pemilihan dilihat berpihak kepada calon-calon tertentu dan terlibat memanipulasi serta menipu undi.

"Fenomena tersebut telah dikesan berlaku di dalam beberapa insiden sebelum ini yang mana turut diadukan oleh Mustaffa Kamil dan juga ahli yang lain kepada JPP dan juga kepada sekretariat parti," katanya.

Onn berkata beliau mendapat sokongan daripada 24 cabang berkenaan, termasuk Teluk Intan, Petaling Jaya Utara dan cabangnya sendiri sejak semalam."Kalau semua sekali anggaran 80 cabang semuanya yang sokong kita (untuk tangguhkan pemilihan).

"Ini bukan soal sokong siapa-siapa, kita hanya mahu tambah baik proses pemilihan ini," katanya lagi.

Ditanya sekiranya beliau akan meneruskan usaha untuk meraih sokongan cabang lain untuk mencapai objektif itu, beliau berkata "cukuplah setakat ini."

Jelasnya, usahanya setakat ini telah membuahkan hasil apabila mendapat sokongan berkenaan memandangkan ia dibuat secara spontan.

Ulasan GB

Orang oleh hentam GB kerana kritik JPP dan pimpinan PKR, tetapi kebenarannya, akar umbi PKR sendiri yang menuntut supaya Pemilihan ditangguhkan supaya diselesaikan segala isu yang menyebabkan pemilihan parti jadi pincang.

PKR tiada pilihan lain, tangguhkan pemilihan, siasat dan hentikan semua manipulasi dan konspirasi, ambil tindakan semua pihak yang terlibat dengan manipulasi termasuk calonnya.

Sekalipun Zaid telah tarik diri dan Mustaffa belum dapat menyaingi calon favorit pimpinan, Azmin Ali, ternyata, sokongan terhadap Zaid dan Mustaffa ternyata masih tinggi di peringkat akar umbi.


Tiada ulasan: