5 Okt 2010

Bekas Konstabel Polis Dihukum Gantung Sampai Mati Bunuh Anak Bekas S/U UMNO

SHAH ALAM: Seorang bekas konstabel yang dituduh membunuh anak lelaki bekas Setiausaha Umno bahagian Klang, Shohimi Shafie dan pengasuhnya, tujuh tahun lalu, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu terhadap Mohd Nahar Abu Bakar, 34, dari Taman Desa Rhu, Negeri Sembilan, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan.

Dia yang ditangkap pada 16 Oktober 2009, selepas enam tahun diburu polis didakwa membunuh Muhammad Nurosama, 2, dan pengasuh kanak-kanak itu, Siti Rohana Baharom, 34, di Flet Cempaka, Bandar Baru Klang, pada jam 1 tengah hari, 30 Disember 2003.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, bekas anggota polis berkenaan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Amir Khusyari Mohd Tanusi.

Sepanjang perbicaraan sejak 26 Mei lalu, pihak pendakwa memanggil 17 saksi manakala peguam bela menampilkan saksi tunggal iaitu tertuduh.

Berita sebelumnya:


Keputusan Kes Bunuh Anak Bekas Setiausaha UMNO Klang 5 Oktober

SHAH ALAM: Nasib seorang bekas konstabel polis yang didakwa atas pertuduhan membunuh anak ketiga bekas setiausaha Umno Bahagian Klang, Shohimi Shafie dan juga pengasuh kanak-kanak tersebut akan diketahui pada 5 Oktober depan.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Mohd Yazid Mustafa menetapkan tarikh itu pada Khamis, selepas pihak-pihak yang terlibat dalam perbicaraan ke atas Mohd Nahar Abu Bakar, 34, selesai mengemukakan hujahan di akhir pembelaan.

Perbicaraan melibat keterangan 17 saksi pendakwaan dan Mohd Nahar yang memberi keterangan secara bersumpah semasa membela diri, tidak mengemukakan saksi lain untuk menyokongnya.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail manakala peguam Amir Khusyairi Mohd Tanusi mewakili Mohd Nahar, yang dibuang kerja pada 21 Mei 1999 kerana kesalahan dadah dan pecah rumah serta telah dihukum penjara selama enam bulan pada 2000.

Tertuduh yang pernah berkhdimat di Balai Polis Kampung Baru, Manjung, Perak, didakwa membunuh Muhammad Nurosama Shohimi, dua tahun setengah dan Siti Rohana Baharom, 34, pada pukul 1 petang, 30 Disember 2003.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah Siti Rohana, di alamat B-5-19, Flat Cempaka, Bandar Baru Klang, Klang, dekat sini.

Tertuduh yang tamat pelajaran sekolah menengah telah melarikan diri dan hanya ditangkap enam tahun kemudian semasa ditahan kerana cukai jalan keretanya tamat tempoh.

Dia didakwa untuk kali pertama di Mahkamah Majistret Klang pada 20 Oktober 2009.

Tertuduh mengenali Siti Rohana menerusi teman wanitanya, Normah Jantan, seorang pelayan kelab malam yang merupakan sepupu kepada mangsa.

Siti Rohana juga memelihara anak Normah, Siti Aishah yang tidak pernah mengetahui siapa ibu kandungnya sebelum kejadian.

Berdasarkan keterangan Siti Aishah, dia yang semasa itu berumur sembilan tahun melihat tertuduh bertengkar dengan Siti Rohana kerana mangsa enggan memberikan wang yang diminta.

Tertuduh kemudiannya bertindak menikam dada Siti Rohana manakala Muhammad Nurosama ditikam dua kali di bahagian belakang semasa sedang menonton televisyen.

Semasa mayat ditemui, Siti Rohana masih mengenggam wang RM21 ditangannya.


Keterangan Normah pula mengatakan, dia yang menunggu tertuduh di dalam kereta di bawah flat, melihat tertuduh mengambil pisau dari tempat letak barang kereta.

Tertuduh kemudiannya naik semula ke flat dan turun dalam keadaan baju yang berlumuran darah sebelum terus memecut.

Pembelaan tertuduh pula mengatakan dia datang ke flat itu untuk menghisap dadah bersama kawannya, ‘Wan gemuk’ dan tidak pernah melakukan jenayah seperti dipertuduhkan. -mstar


1 ulasan:

kliks berkata...

Memang patut! Malangnye 2x nyawa melayang disebabkan najis dadah. Tak boleh dibayangkan, budak umur 2 tahun tgh tengok tv, gembira, terhibur, tiba2 kene tikam kat belakang badan. Kalau terus mati xpe, kalau dibiar terseksa selama 5 minit pun dah kire menderita. Takde peri-kemanusiaan langsung.