5 Okt 2010

Gobala Akan Kerjasama Dengan Yang Kalah : Mereka Juga Ahli PKR

Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan yang berjaya mendapat 397 undi berbanding Shamsul Anuar Abdullah 219 undi dan V Sandrasekharan 157 undi dalam pemilihan jawatan Ketua PKR Cabang Padang Serai akan memastikan PKR cabang berkenaan aktif pada masa akan datang.

Selain itu, beliau turut berjanji akan bekerjasama dengan semua calon yang kalah untuk memastikan PKR terus mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat di Padang Serai.

Beliau mengatakan kemenangan yang diperolehnya berpunca dari sokongan padu yang diberikan oleh ahli dan mahu beliau terus menerajui parti itu.

“Saya sangat berterima kasih kepada semua yang telah mengundi saya. Selepas ini saya akan berehat dua tiga hari sebelum berjumpa dengan semua ahli PKR Cabang Padang Serai.

"Saya juga akan memberikan kerjasama dengan calon yang kalah kerana mereka juga merupakan ahli PKR. Sebenarnya kalah atau menang bukan perkara penting kerana ia hanya pemilihan dalam parti," katanya.

Gobalakrishnan berkata, apa yang lebih penting pihaknya harus bekerja keras untuk memenangkan calon Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 supaya impian untuk menawan Putrajaya akan menjadi kenyataan.

Menjawab perihal bantahan yang dibuat terhadap keputusan pemilihan PKR Cabang Padang Serai beliau berkata, PKR mengamalkan konsep demokrasi di mana siapa sahaja yang terdiri daripada ahli PKR boleh membuat bantahan terhadap sebarang permasalahan.

Menurutnya, pemilihan berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang membimbangkan sejak ia bermula jam 10 pagi hingga 4 petang.

Beliau berkata, setiap bantahan yang dibuat akan dihalusi oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Tentang bantahan dibuat oleh calon yang bertanding pada pendapat saya, mereka mempunyai hak selagi mereka ahli PKR. Semua permasalahan yang timbul akan dinilai semula oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat dan keputusan akan ditentukan pihak berkenaan.

"Apa yang penting, sepanjang pemilihan dijalankan tidak berlaku sebarang insiden tidak diingini. Ini menunjukkan PKR mempunyai permuafakatan yang erat antara ahli," katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau berterima kasih kepada semua kerana telah menjalankan tugas serta tanggungjawab yang diberikan untuk memastikan pemilihan kali ini berjalan dengan baik. -SH

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kalah menang adat pertandingan, pemimpin terbaik berkhidmat untuk rakyat kerana allah