23 Sep 2010

Shamsul: Saya Tidak Melarikan Diri

Ketua AMK PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan beliau tidak pernah dimaklumkan untuk memberi kenyataan bagi membantu siasatan polis dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Justeru itu, kata peguam itu, adalah sangat tidak adil dan tersasar dari lunas undang-undang jika polis mendakwa gagal menghubungi beliau.

"Sedangkan tidak ada sebarang percubaan menurut kaedah undang-undang untuk menghubungi saya dilakukan," katanya mengulas kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang mendakwa gagal menghubungi Shamsul untuk mendapat kenyataan berhubung kes pembunuhan jutawan komestik itu.

Menjelaskan lagi perkara itu, Shamsul yang juga pengerusi PKR Melaka berkata, beliau mengetahui mengenai waran yang akan dikeluarkan tetapi berikutan jadual yang padat menggagalkan beliau memberi keterangan.

"Saya sekarang tidak berada di Selangor kerana sedang menghadiri perbicaraan bukan melarikan diri.

"Macam mana pula dikatakan saya tidak ingin memberi kerjasama sedangkan saya mempunyai tugasan pekerjaan yang perlu diselesaikan," katanya.

Menurut Shamsul, beliau tidak menuduh tetapi bertanya apakah wujud sebarang bentuk salahguna kuasa dan penyelewengan di pejabat polis daerah Banting gagal bertindak dalam beberapa kes terdahulu yang melibatkan suspek yang telah diklasifikasikan
sebagai kes orang hilang.

Shamsul menambah, beliau telah mengarahkan peguam, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff bertindak bagi pihak saya di dalam isu ini dan berurusan dengan pihak polis.
Sementara itu, beliau akan mengadakan sidang media berhubung kes Sosilawati di depan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, petang esok. -FMT


Respon Balas Kenyataan Ketua Polis Selangor Mengenai Kes Pembunuhan Datuk Soosilawati Lawiya

Saya memandang serius akan dakwaan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang mendakwa saya gagal dihubungi bersabit kenyataan saya mengenai spekulasi kes pembunuhan Sosilawati Lawiya. Ini sehingga membawa kepada kemungkinan waran tangkap dikeluarkan kepada saya berikutan kegagalan saya, kononnya, untuk bekerjasama dengan pihak polis.

Suka saya menegaskan beberapa perkara untuk diambil maklum oleh pihak polis khususnya Datuk Khalid sendiri.

Pertama, saya tidak pernah membuat sebarang tuduhan, sebaliknya saya melontarkan pertanyaan apakah mungkin wujud sebarang bentuk salahguna kuasa dan penyelewengan di peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Banting yang gagal bertindak untuk beberapa kes bunuh terdahulu yang melibatkan suspek, yang telah diklasifikasikan sebagai kes orang hilang. Kes-kes ini, hanya dibuka semula selepas kes pembunuhan Datuk Sosilawati meletus yang nyata mendapat perhatian luar biasa daripada media.

Kedua, ingin saya tegaskan, sehingga hari ini saya tidak pernah dimaklumkan menurut kaedah-kaedah dan amalan undang-undang seperti yang diperincikan di dalam Kanun Acara Jenayah di dalam hal yang bersabit dengan prosedur memberikan sebarang kenyataan untuk membantu siasatan polis. Justeru adalah sangat tidak adil dan tersasar dari lunas undang-undang jika polis mendakwa saya gagal dihubungi sedangkan tidak ada sebarang percubaan menurut kaedah undang-undang untuk menghubungi saya dilakukan.

Saya menggesa pihak polis khususnya Datuk Khalid bersikap profesional dalam hal ini. Sekiranya saya mahu dipanggil, sewajarnya prosedur yang betul dipatuhi, bukannya siasatan melalui media (investigation through media). Sebagai rakyat Malaysia, apatah lagi sebagai pengamal undang-undang saya tertakluk kepada undang-undang, bukannya hebahan media seseorang pegawai kanan polis.

Saya juga akan menghantar sesalinan respons rasmi saya ke laman sosial Facebook Datuk Khalid memandangkan “kaedah Facebook” ini merupakan kegemaran beliau !

Saya telah mengarahkan peguam saya, YB Mohd Yusmadi Mohd Yusoff yang juga merupakan Ahli Parlimen Balik Pulau untuk bertindak bagi pihak saya di dalam isu ini dan berurusan dengan pihak Polis. Beliau boleh dihubungi di talian : +60123093469 atau emel: yusmadi.yusoff@gmail.com.

Saya akan memperincikan pendirian dan kenyataan saya kepada umum bersabit kes ini pada esok, Jumaat 23 September 2010 bertempat di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya pada jam 3.00 petang.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia


Tiada ulasan: