18 Sep 2010

Keputusan DNA 4 Hari Lagi, Reman Suspek Dilanjutkan.

Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tulang dipercayai milik Datuk Sosilawati dan tiga individu lain akan diketahui dalam tempoh empat hari lagi Harian Metro dipetik.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin berkata, keputusan berkenaan diperoleh dalam tempoh berkenaan memandangkan sampel DNA itu baru dihantar kelmarin.

“Sampel berkenaan baru dihantar ke Unit Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan pakar memberitahu keputusan hanya diperoleh dalam tempoh empat hari lagi.

“Saya tidak boleh memastikan bila keputusan itu boleh diperoleh, namun ia mengambil masa selama empat hari,” katanya.

Katanya, semua sampel DNA itu sudah diperoleh dan kini diuji pihak hospital bagi menentukan sama ada ia milik mangsa atau sebaliknya.

Sebelum ini, akhbar tersebut difahamkan sekiranya tulang yang ditemui tidak terbakar prosesnya mungkin mengambil masa singkat, namun jika sebaliknya ia mengambil masa lama.

Persampelan tulang juga agak sukar dilakukan berbanding sampel lain seperti darah dan rambut kerana ia perlu dihancurkan terlebih dulu bagi mendapatkan debu.

Polis juga sudah mengambil contoh darah dan rambut semua ahli keluarga mangsa bagi dipadankan dengan sampel DNA yang diambil daripada tulang yang ditemui di tempat kejadian di Ladang Gadong dan sungai berhampiran bagi memastikan sama ada tulang yang ditemui itu tulang mangsa.

Sementara itu, akhbar berkenaan turut melaporkan tahanan reman lima suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati dan tiga individu lain akan disambung sehingga 23 September ini dan polis juga dalam proses memohon untuk menyambung reman tiga lagi suspek lain.

Sebelum ini, tempoh reman mereka berakhir esok (hari ini) dan disambung enam hari lagi bagi membantu siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin berkata siasatan kes ini akan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Katanya, masyarakat perlu faham proses pendakwaan kes itu adalah dalam bidang kuasa Peguam Negara dan menjatuhkan hukuman sama ada suspek bersalah atau tidak adalah kuasa mahkamah, bukannya polis.

Tiada ulasan: