17 Ogo 2010

Kerana Polis Tidak Hentikan Kezaliman, Rakyat Tak Akan Beri Mereka Peluang Lagi

Perhimpunan Bersih: Mangsa keganasan FRU saman RM2juta

KUALA LUMPUR: Mangsa keganasan unit simpanan persekutuan (FRU) polis semasa perhimpunan Bersih 2007 hari ini memfailkan writ saman terhadap polis dan kerajaan Malaysia sebanyak RM2juta di Mahkamah Tinggi disini.

Aleyasak Hamid@Hassan, 34, menamakan Ketua Polis Kuala Lumpur (pada ketika itu) DCP Zul Hasnan Najib Baharudin sebagai defendan pertama, Ketua Polis Daerah Dang Wangi (pada ketika itu) Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman sebagai defendan kedua, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan (defendan ketiga), dan kerajaan Malaysia (defendan keempat).

Plaintif yang menyertai perhimpunan Bersih sebagai orang awam itu mengalami kecederaan patah kaki kiri akibat diserang, dipijak, disepak, dan ditolak oleh FRU berkali-kali dengan kuat serta dimaki tanpa sebab yang munasabah ketika cuba beredar semasa berhimpun di Jalan Tun Perak, disini.

Akibat kecederaan itu, beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM1juta, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan sebanyak RM1juta, ganti rugi khas, dan faedah atas jumlah gantirugi sebanyak 8% dari tarikh writ saman difailkan hingga penghakiman.

Beliau juga menuntut faedah sebayak 8% setahun atas jumlah penghakiman dari tarikh penghakiman hingga tarikh penyelesaian, kos, relief selanjutnya dan yang lain sebagaimana yang difikirkan wajar.

Saman itu difailkan oleh Tetuan Daim&Gamany di pejabat pendaftar disini pada pukul 3.15 petang tadi.

Aleyasak diwakili peguam Fadiah Nadwa Fikri dan Murnie Hidayah Anuar.

Aleyasak, peniaga dan bapa kepada dua anak dan ketika kejadian menyertai perhimpunan Bersih yang menuntut agar sistem pilihanraya negara dirombak untuk menjadi lebih telus dan adil.

Semasa anggota FRU cuba menyuraikan orang awam, keadaan menjadi kecoh dan plaintif cuba beredar dan mengelak daripada dirempuh oleh FRU yang meluru ke arah orang awam.

Namun beliau terjatuh akibat rempuhan dan beliau kemudiannya dipijak dan disepak berkali-kali dibahagian lutut dan rusuk kanan dengan kuat serta dimaki dengan kata-kata kesat oleh FRU.

"Saya merayu agar tidak dipukul, namun tidak diendahkan. Mereka angkat saya dengan kasar ke trak, walaupun kaki dah patah polis tanpa simpati membiarkan saya sahaja kesakitan dalam trak yang dipenuhi tahanan penyokong sebelum dibawa ke IPKKL dan HKL untuk dirawat," katanya ketika ditemui pemberita.

Disebabkan kecederaan itu, beliau terpaksa menjalani beberapa pembedahan dan rawatan susulan sehingga kini sehingga menyukarkannya membuat aktiviti seharian secara normal.

"Sekarang saya tidak boleh lari, tak boleh buat kerja berat, dan bergerak aktif.

"Oleh itu saya mengemukakan saman ini untuk menuntut keadilan kerana atas kekejaman polis terhadap saya kerana saya ingat polis selama ini melindungi rakyat.

"Saya bukan masuk dalam kumpulan itu malah tidak memakai baju kuning, saya hanya orang awam yang memerhatikan sahaja.

"Saya tak sangka dilayan sebegini oleh polis. Saya ingatkan Malyasia sebagai negara demokrasi ada hak untuk berhimpun secara aman tanpa mengganggu ketenteraman orang awam yang lain," katanya. -FMT


PAS hantar 2 memo keganasan Polis kepada Suhakam

Peserta Felcra PAS Perak dan Johor yang diwakili oleh Pengerusi Biro Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS, Mazlan Aliman hari ini menghantar memoramdum bantahan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) terhadap keganasan dan gangguan polis dalam majlis himpunan warga Felcra.

Wakil peserta Felcra Johor Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, penyampaian memorandum kepada suhakam adalah untuk meminta bantuan bagi mendapat penjelasan dari pihak polis berkaitan tindakan anggotanya menggunakan kekerasan kepada peserta Felcra ketika hadir ceramah di Johor dan Perak.

"Kita hari ini menghantar dua memorandum kepada Suhakam iaitu satu mewakili Felcra Johor dan Satu lagi Mewakili Felcra Perak untuk membawa isu ini kemuka pengadilan mengenai keganasan polis terhadap orang awam.

"Kita harap bantuan suhakam ini akan mendapat penjelasan penuh dari pihak polis yang telah menangkap beberapa ahli jawatankuasa peserta Felcara tanpa menyatakan sebab,"katanya.

Mazlan mewakili Felcra Perak berkata, setiap ceramah yang dilakukan oleh Felcra mendapat permit kelulusan dari pihak polis tetapi dengan sengajanya pihak polis mencerobohi lokasi ceramah dan menghalau orang ramai tanpa sebarang alasan yang munasabah.

"Memorandum ini terkandung segala perincian tentang himpunan yang dijalankan untuk menunjukkan bahawa gangguan polis adalah tidak berasaskan dan keterlaluan melalui gambar-gambar yang dipaparkan sebagai bukti.

"Saya amat berharap agar pihak Suhakam dapat menyiasat dengan telus demi menjamin keadilan kerana peserta Felcra kerana setiap perhimpunan telah mengikut segala prosedur yang ditetapkan sebelum ianya dianjurkan," katanya bersama-sama 50 warga Felcra yang lain untuk menyampaikan memorandum tersebut di ibu pejabat Suhakam hari ini.

Himpunan warga Felcra diadakan pada 31 Julai dan 1 Ogos lepas bertujuan untuk mengumpul isu-isu dan masalah peneroka serta memberi penjelasan dan kesedaran tentang hak-hak peneroka melalui saluran undang-undang.

Pesuruhjaya Suhakam Siva Subramaniam ketika menerima memorandum pula berkata, memorandum itu akan dibawa ke mesyuarat suruhanjaya itu untuk tindakan selanjutnya.

"Kita akan meneliti semula memorandum ini untuk dibincangkan bersama pihak berkaitan dalam mencapai persefahaman diantara peserta Felcra dan juga pihak berkuasa.

"Perkara ini perlu kerjasama dari kedua-dua pihak bagi segera diselesaikan supaya ianya tidak akan berulang kembali,"katanya.

Pada 31 Julai lalu dikawasan Batu Pahat, pihak polis telah menceroboh ceramah Himpunan Warga Felcra Johor dengan menangkap beberapa peserta Felcra menggunakan kekerasan.

Di Perak pula, Himpunan Felcra Bandar Seberang Perak .Changkat Lada turut dicerobohi oleh polis menggunakan kekerasan walaupun himpunan tersebut mendapat permit. -FMT


4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Minta anggota polis yang bertugas masa tu ronot celah kangkang dia sebagai tanda minta maaf dan taubat nasuha.

Geram aku bila dengar cerita macam ni. Tanpa mereka sedari mereka telah menzalimi dan menyakitkan tuan mereka sendiri. Semoga Allah memberi kehinaan kepada mereka-mereka ini.

Matketor berkata...

Siapa siapa lagi yang dizalimi oleh polis boleh membuat tuntutan..jangan tuntut 2-3 ribu tapi 2-3 juta macam brader kita ni..syabas brader..

joe penang berkata...

Mungkin nasib dia seperti Malek Husin yg menang saman kemudian kalah malah diperintah bayar lagi kos kepada yg disamannya?
Tahniah kerana sanggup melawan. Moga Allah bersama kita semua. Pencinta keadilan. Amin

Tanpa Nama berkata...

Pakatan Rakyat wajar menubuhkan satu kumpulan peguam,mengumpulkan semua mangsa keganasan polis,untuk dibuat pendakwaan kemahkamah.Sebaik-baiknya,kumpulkan juga bukti seperti keratan akhbar,gambar dan video untuk dijadikan bukti dimahkanmah.Setiap mangsa buat tuntutan tidak kurang dari RM2 juta seorang.Ayuh! tunggu apa lagi?