16 Apr 2010

Pelajar Ponteng Dan Lakukan Maksiat Di Dungun

Tindakan beberapa pelajar sekolah menengah yang menjadikan rumah seorang warga emas di Kampung Baru, Kuala Abang, di sini, sebagai port aktiviti tidak bermoral bersama rakan sebaya membawa padah, apabila lokasi persembunyian mereka diserbu penduduk, pagi semalam.

Lebih mendukacitakan, dua daripada remaja perempuan terbabit ketika dicekup dikatakan berpakaian lengkap dengan uniform sekolah, sementara tiga yang lain memakai seluar dan baju T.

Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran penduduk yang membuat serbuan ke lokasi terbabit, beberapa remaja lelaki yang turut berada bersama lima pelajar perempuan itu bertempiaran melarikan diri ke dalam semak berhampiran.

Selepas disoal siasat beberapa penduduk kampung, dua remaja Tingkatan Empat di sekolah menengah berdekatan turut mengakui keluar dari sekolah tanpa keizinan guru dan berkunjung ke port terbabit untuk berseronok bersama tiga lagi rakannya yang ponteng.

Difahamkan, rakan lelakinya yang turut berada di situ juga tidak ke sekolah, sementara beberapa yang lain dikatakan sudah diberhentikan sekolah berikutan masalah disiplin.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Kua­la Abang, Mohd Nasir Hashim berkata, pihaknya telah lama membuat intipan di kawasan terbabit selepas mengesyaki aktiviti tidak bermoral di sebuah rumah agak terpencil itu setelah melihat kehadiran sekumpulan remaja.

Menurutnya, atas rasa prihatin, pihaknya bersama beberapa penduduk lain termasuk Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah berdekatan nekad mengepung lokasi itu sehingga berjaya menahan beberapa remaja terbabit.

“Selepas mengadakan risikan, kami sepakat menyerbu lokasi berkenaan dan akhirnya lima remaja perempuan bersama seorang remaja lelaki berjaya dicekup.
“Apabila ditanya, mereka mengaku ponteng sekolah dan datang ke situ untuk mengelak perbuatan tidak bermoral terbongkar,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Dungun, Zakariah Ali yang turut bergegas ke lokasi berkenaan sebaik dimaklumkan mengenai perkara itu berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelajar terbabit.

“Kita minta pihak sekolah berkenaan menyediakan laporan terperinci mengenai latar belakang disiplin pelajar yang ditangkap.

“Jika sebelum ini pelajar terbabit sudah mempunyai rekod disiplin dan sering melakukan kesalahan sama, mungkin dia akan berdepan tindakan tegas termasuk buang sekolah,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada salah seorang pelajar berkenaan yang enggan namanya disiarkan berkata, jika tidak dimaklumkan penduduk mengenai kejadian itu, dia tidak tahu aktiviti serong yang menjadi amalan anak perem­puannya.

“Saya beri dia wang untuk belanja ke sekolah. Tak sangka pula dia sanggup memperbodohkan saya dengan melakukan aktiviti tidak bermoral yang menjatuhkan maruah kami sekeluarga,” katanya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

maksiat dan buang anak berlaku kerana UMNO masih perintah malaysia