16 Apr 2010

Tan Wei Shu Keluar PKR, Semua Tarik Nafas Lega Di Kedah

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Kedah, Ahmad Kassim menarik nafas lega sebaik sahaja Ahli Dewan Undangan Negeri Bakar Arang, Tan Wei Shu mengumumkan keluar parti dan mengisytiharkan sebagai ADUN Bebas semalam.

Ini kerana pengumuman tersebut merupakan detik yang ditunggu-tunggu seluruh kepimpinan kerajaan negeri Kedah termasuk KEADILAN memandangkan jawatan yang dipegang beliau baik sebagai Exco sebelum ini mahupun ADUN tidak memberi kebaikan kepada rakyat apatah lagi sumbangan untuk parti.

"Rekod dia sangat mengecewakan kita (kerajaan negeri dan parti) semasa menjadi Exco dan ADUN. Selama ini kita terpaksa menyembunyi dan menahan pekung beliau di mana segala kelemahan yang dia ada kita cuba perbetulkan, nasihatkan dia namun sampai sekarang dia tak tahu buat kerja. Dia tak pernah ada pengalaman dan kemahiran untuk melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya dia lakukan.

"Alhamdulillah kita mengalu-alukan dia mengundurkan diri kerana kita tak mahu ada pemimpin sebegini yang masih kekal di dalam parti kita. Malah, tindakan beliau sama sekali tidak menjejaskan mana-mana pihak terutamanya dalam kerajaan negeri mahupun parti. Meskipun ketiadaan beliau, parti KEADILAN masih tetap kukuh dan stabil," kata Ahmad yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah.

Ahmad juga berkata, tindakan Tan memang sudah diduga malah barisan Exco kerajaan negeri dan juga parti sudah bersedia berhadapan dengan hakikat tersebut lebih-lebih lagi keputusan itu dibuat ketika demam pilihan raya Hulu Selangor semakin rancak.

"Sejak dulu lagi kita telah menghidu tindakan beliau tetapi kita terpaksa mendiamkan diri. Malah, sebelum ini dia juga pernah berjanji kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak keluar parti. Dan seperti lazim, kesempatan terbaik yang diambil beliau adalah ketika musim pilihan raya diadakan. Inilah masa dia untuk 'demand' sebab yang tersirat di sebaliknya, dia seumpama 'dibeli' oleh Barisan Nasional," jelas beliau lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul ketika dihubungi Suara Keadilan menyifatkan dakwaan Wei Shu telah dibeli oleh barisan pemimpin Barisan Nasional ada kebenarannya ekoran hubungan baik beliau bersama beberapa pemimpin parti itu sebelum ini.

"Saya tahu yang dia didekati oleh orang-orang BN dah banyak bulan. Antaranya termasuk Mohd Radzi, ADUN Lunas dan mereka sentiasa bersama. Alasan yang digunakan yang kononnya dia bergaduh dengan saya adalah sekadar alasan. Dia tak puas hati sebab saya tak tolong dia daripada tidak digugurkan sebagai ahli Exco.

"Saya tak ada kuasa untuk menyambung semula kedudukan beliau sebagai Exco melainkan di bawah kuasa Menteri Besar.

Itu adalah keputusan politik yang dibuat beliau, bukan saya. Perlu diingat saya yang mencadangkan dia supaya dipilih sebagai Exco tetapi hasilnya dia pula yang berjinak-jinak dengan BN.

"Silakan! Keputusan beliau meninggalkan KEADILAN amat dialu-alukan kerana sudah terlalu banyak aduan yang kita terima berhubung beliau sebab dia tak buat kerja.

"Saya juga menegaskan bahawa tindakan beliau tidak sedikitpun menjejaskan peluang kita (KEADILAN) di Hulu Selangor kerana rakyat tidak lagi bodoh sebab setiap kali pilihan raya ada sahaja yang bertindak keluar parti dan rakyat boleh menilai sendiri," tegas Johari lagi.

Wei Shu, 54, digugurkan daripada jawatan Exco Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Sumber Tenaga Manusia, Pengangkutan 10 Mac lalu dan tempat beliau digantikan oleh ADUN Sidam, Tan Chow Kang.

Beliau merupakan wakil rakyat KEADILAN kedua yang mengisytiharkan keluar parti. Sebelum ini ADUN Lunas, Mohd Radzi Salleh berbuat demikian pada 23 Ogos 2009. -SK

3 ulasan:

FaridShah berkata...

Dah tahu lemah, takdak pengalaman dan kemahiran ambik buat calon buat apa?? dah lari keluar, hangpa kutuk kaw2 punya.. cermin diri sikit. Pilih la calon yg berwibawa dan benar2 berkelayakan.

Kedah patut bubar DUN, adakan pilihanraya semula. Bagi rakyat terutama pengundi buat pilihan, 2 tahun PR tadbir jadi ukuran.

Letak calon2 yg lebih baik, biaq puak2 katak ni kempunan nak jadi YB lagi..
3 DUN selesai masalah!

Tanpa Nama berkata...

Hamba setuju bubar DUN Kedah. Harap UMNO/BN di Perak nun bubar DUN Perak macam anjin nyalak busut. Eloklah PR melalui kerajaan Kedah (berterajukan wakil PAS) tunjuk contoh. Buat re-election untuk ganti ADUN-ADUN yang telah mengkatakkan diri mereka itu. Ya, hamba stuju, kata P.Ramle.

Tanpa Nama berkata...

bukan setakat kedah, semua Negeri dan parlimen patut juga bubar, tengok pengaruh najib