2 Apr 2010

Kartika mula jalani khidmat sosial ganti sebatan

Bekas model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno hari ini berkata dia sudah bersedia untuk menjalani hukuman kerja-kerja khidmat sosial yang dikenakan sebagai gantian kepada enam sebatan.

Dengan menitiskan air mata ibu kepada dua anak ini berkata dia bersemangat untuk menghadapi perkembangan baru ini.

“Saya sedia menerima hukuman ini dengan hati terbuka dan ikhlas.

“Saya tabah untuk menghadapi apa jua arahan sepanjang menjalankan hukuman khidmat masyarakat ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pagi ini.

Kartika melaporkan diri di Jabatan Agama Islam Pahang kira-kira pukul 9.09 pagi ini bagi menjalani hukuman khidmat masyarakat.

Dia kini dalam perjalanan ke Rumah Anak-anak Tengku Ampuan Fatimah untuk menjalani hukuman kerja-kerja khidmat masyarakat.

Kira-kira 20 minit selepas “serah diri” Kartika dibawa ke Rumah Anak-anak Tengku Ampuan Fatimah untuk menjalani hukuman kerja-kerja khidmat masyarakat.

Kartika diiringi oleh bapanya Shukarno Abdul Mutalib, bapa saudaranya Amlir Ayat, kakak Ratna Sari Dewi serta peguamnya.

Van warna putih membawanya terus ke pusat kanak-kanak itu. Wartawan tidak dibenarkan memasuki kawasan jabatan itu.

Hukuman enam sebatan yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan ke atas Kartika telah diganti kepada khidmat masyarakat selama tiga minggu atas titah Sultan Pahang.

Keputusan mengenai hukuman gantian itu dimaklumkan melalui sepucuk surat rasmi daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang diterima kelmarin.

Semalam Kartika berkata beliau bersedia melakukan hukuman gantian itu walaupun agak terkejut dengan perkembangan berkenaan.

Dua anaknya akan tinggal bersama ibu bapanya di Kampung Jawang, Sungai Siput sepanjang dia menjalani kerja khidmat masyarakat itu nanti.

Kartika dijatuhi hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 pada Julai tahun lalu selepas didapati bersalah minum arak di khalayak ramai di sebuah resort di Cherating, Pahang.

Pada 24 Ogos, 2009, dia sepatutnya dibawa ke Penjara Kajang selama seminggu bagi menjalani hukuman sebatan yang dijatuhkan itu sebelum ia dibatalkan pada saat-saat akhir.

Dalam pada itu, ayah Kartika yang ditemui sebaik sahaja meninggalkan rumah perlindungan kanak-kanak tersebut pukul 11.48 pagi berkata, kemudahan yang disediakan begitu lengkap dan selesa.

“Kartika akan ditempatkan di sebuah rumah tetamu dan saya lihat keadaan disini amat selesa. Di rumah ini mempunyai dua bilik, sebuah bilik air, dapur serta kemudahan asas yang lain.

“Jadi saya harap sepanjang menjalani hukuman khidmat masyarakat di sini dia akan lebih tenang dan bersabar dengan dugaan ini,” katanya.

Tambah beliau, kawalan yang dikenakan ke atas anaknya tidak terlalu ketat dan ia bagus untuk dirinya dan juga keluarga.

“Syarat-syarat yang dikenakan kepada dia tidak terlalu ketat dan ia memberi ruang kepada keluarga untuk melawatnya.

“Dia boleh sekiranya hendak tinggal di luar tetapi kami sekeluarga tidak berapa setuju kerana bimbang sekiranya ada pihak lain yang cuba mengambil kesempatan ke atasnya.

“Jadi demi keselamatan adalah lebih baik dia berada di dalam rumah perlindungan ini. Sekiranya dia boleh keluar selepas waktu bekerja iaitu pada puku 5 petang,” katanya.

Kata beliau, apa serta bagaimana bentuk kerja-kerja khidmat masyarakat yang akan dikenakan tidak diketahui lagi.

“Saya tidak tahu bagaimana kerja-kerja yang akan dia lakukan sepanjang berada di sini kerana semasa proses perbincangan saya tidak berada di sana.

“Cuma yang ada ketika itu hanya Kartika, peguamnya dan juga pegawai dari Jaip serta pihak pengurusan rumah tersebut,” katanya lagi. -MI

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

campurtangan UMNO tak jadi sebat?

Rahman As-Syam berkata...

Tak pa..Didunia depa lepas..nanti diakhirat mana nak lari..haram tetap haram..