6 Apr 2010

Badrul Muhayat Mengaku Tak Bersalah Cederakan Isteri

Pelakon filem dan drama, Badrul Muhayat Ahmad Jailani, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini terhadap dua pertuduhan mencederakan isterinya dua minggu lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Badrul Muhayat, 42, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Julia Daud, 29, dengan menumbuknya di muka dan menendang di perut di rumahnya di Lot 313E, Jalan 49B, Bukit E, Kampung Cheras Baru, Hulu Langat pada 7 pagi, 24 Mac lepas.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Julia dengan memukulnya menggunakan batang penyapu di punggung dan kaki pada waktu dan di tempat yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun dan denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Wan Karimah Wan Abdul Ghani membenarkan Badrul Muhayat diikat jamin RM2,500 bagi dua pertuduhan itu dan menetapkan 13 Mei untuk sebutan semula kes bagi membolehkan pelakon berkenaan melantik peguam bela.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa ASP Dr A.Vasu memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM3,000 ke atas Badrul Muhayat bagi dua pertuduhan itu kerana ia berpatutan dengan kesalahan yang dilakukan.

Badrul Muhayat kemudiannya merayu kepada mahkamah agar mengurangkan wang jaminan kepada RM500 atas alasan dia kurang mendapat tawaran kerja ekoran laporan media berhubung kes itu. — Bernama

Tiada ulasan: