26 Feb 2010

Siasat ugut Salahuddin, Sivarasa, satu tindakan keterlaluan – Anwar

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa polis mengguna taktik mengugut (intimidation) dan bertindak keterlaluan apabila menyoal siasat dua pemimpin dari Pakatan Rakyat.

"Saya percaya tindakan polis ini didalangi oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) untuk terus memberi tekanan kepada pemimpin -pemimpin Pakatan Rakyat," kata Anwar ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah perdana yang dihadiri lebih 10,000 penyokong di sini semalam.

Dua pemimpin PR, Naib Presiden KEADILAN, Sivarasa Rasiah dan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub semalam telah disoal siasat dan diugut di bawah Akta Hasutan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan dalam suatu perhimpunan aman di Pulau Pinang pada 7 Februari lalu.

Menurut Anwar, tindakan menganggu dan mengugut pemimpin-pemimpin PR merupakan satu bentuk penyalahgunaan jentera dan aparatus kerajaan, sering berlaku dan sangat keterlaluan dalam tindakan.

"Pada hal, puluhan dan ratusan laporan terhadap para pemimpin Umno-BN yang terpalit dengan rasuah, ucapan berbaur perkauman, dibiarkan begitu sahaja dan tiada tindakan pun daripada piihak polis," ujar Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen.

Menyentuh mengenai ketokohan kedua-dua pemimpin itu, Anwar melahirkan keyakinannya terhadap kewibawaan mereka memberikan ceramah walaupun diberi tekanan oleh pihak polis.

"Saya yakin dengan kewibawaan masing-masing sebagai tokoh untuk memberi memberi ceramah. Saya pernah dengar ucapan, ceramah malah di parlimen mereka cukup bertanggungjawab dengan apa yang mereka katakan," kata Anwar.

Laporan mengenai dakwaan mereka mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan telah dibuat oleh pegawai polis Seberang Jaya, Inspektor Irwandi Khirrudin Mohd Rijal pada 8 Februari lalu.

Sivarasa dan Salahuddin disoal siasat selama sejam semalam oleh dua pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah SeberangbJaya, ASP S. Subramaniam dan Inspektor Fahmi Abu Samah. -Fazilah Sahir



Tiada ulasan: