25 Feb 2010

Nalla Sudah Kering Isu, Serang Peribadi Wan Azizah

KKecaman Datuk S. Nallakaruppan terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menunjukkan Barisan Nasional ketandusan isu politik hingga tergamak menyerang peribadi lawan. (Gambar: Nalla dan Ezam)

Serangan peribadi yang digembar-gemburkan Utusan Malaysia, sebuah media kawalan Umno-BN tidak lebih dari usaha menjatuhkan maruah sesama manusia, khususnya insan tabah seperti Azizah.

Exco Selangor, Dr. Xavier Jayakumar melabel Nalla sebagai alat permainan Umno-BN bagi menjatuhkan maruah keluarga Anwar dan Pakatan Rakyat dengan melontarkan kenyataan tidak berasas.

“Nallakarupan salah seorang dalam permaian ini tujuan mereka ialah untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar, Pakatan Rakyat dan PKR dengan cara melontarkan maklumat seperti itu walaupun tidak ada asasnya,”katanya.

Xavier menganggap tindakan Nalla bukanlah watak sebenar wira rakyat kerana gagal membangkitkan isu rakyat sebaliknya hanya lantang menyerang keperibadian orang.

“Saya hendak orang-orang ini yang katakan dia wira rakyat bawa isulah. Kenapa Nallakarupan tidak bawa isu, ada banyak isu untuk disuarakan kita boleh debat dengan isu penting bukan isu remeh temeh seperti ini. Ini bukan isu politik, kita perjuangkan isu rakyat, mahu bawa perubahan dalam negeri, saya cabar dia untuk berdebat tentang isu ini bukannya yang remeh temeh, kalau dia tidak tahu diamlah,”katanya.

Nalla mendakwa ketabahan Azizah berkaitan kes perbicaraan konspirasi kedua sebagai sandiwara presiden PKR itu bagi menjaga reputasi suami sebagai Ketua Pembangkang.

Memetik laporan Utusan, Nalla mahu mencadangkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk menganugerahkan Azizah ‘Pelakon Wanita Terbaik 2010’.

Sementara itu Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago pula menyifatkan kenyataan Nalla itu adalah startegi Umno-BN untuk melakukan pemusnahan karektor Anwar sebagai pemimpin berkaliber dengan menghina keluarga beliau.

“Ini merupakan beberapa strategi untuk memperkecil, memperbodohkan dan juga untuk memalukan Datuk Seri Anwar dan keluarga. Jadi, bila ia menjadi tajuk utama di muka depan Utusan ia memperkukuhkan lagi pendapat kami bahawa ini adalah satu strategi Barisan Nasional dan Umno untuk memalukan, menghina Datuk Seri Anwar khususnya di kalangan orang-orang Melayu,”katanya.

Xavier turut membidas tindakan Utusan yang tidak lagi mengamal etika kewartawanan sebaliknya menjadi perkakas Umno-BN untuk menjatuhkan pejuang rakyat.

“Mereka gunakan surat khabar sebagai satu media untuk menghentam tidak kira sama ada ia betul dari segi moral ataupun mengikut etika kewartawanan. Betul atau tidak betul, sekarang tidak dikira, sekarang ada arahan dari atasan untuk bawa isu remeh temeh yang tiada kaitan dengan politik negara untuk jatuhkan maruah dan nama orang-orang berkenaan, itu tujuan mereka. Memang tidak ada standard langsung kalau kita ikut akhbar yang ada sekarang,”katanya. -tvs


Nallakaruppan anggap Wan Azizah 'pelakon' hebat

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selayaknya diberi anugerah 'Pelakon Wanita Terbaik 2010' atas kehebatan 'lakonannya' ketika berhadapan dengan rakyat.

Datuk S. Nallakaruppan yang secara sinis mencadangkan pengurniaan itu, bersedia mengemukakannya kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim untuk dipertimbangkan.

Beliau yang juga bekas rakan karib Anwar berkata, anugerah itu kelak akan mampu menaikkan lagi reputasi Wan Azizah bagi membolehkannya menerima tawaran lumayan dari Hollywood.

"Saya amat yakin kelak Wan Azizah mampu meraih 'Anugerah Academy' di Hollywood," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nallakarupan mengulas kenyataan Wan Azizah dalam sebuah akhbar Australia semalam yang menyifatkan perbicaraan kes liwat suaminya merupakan sebahagian daripada usaha untuk menamatkan karier politik Ketua Pembangkang itu.

Dakwa beliau, Wan Azizah seorang wanita yang hebat kerana boleh melalui kes dakwaan berkaitan moral suaminya.

Malah dakwa beliau lagi, Presiden PKR itu juga berada pada satu tahap melebihi wanita lain di Malaysia kerana boleh melakukan apa sahaja demi menjaga kepentingan kerjaya suaminya.

"Wan Azizah kena tahu bahawa bukan semua isteri seperti beliau yang boleh menerima keadaan sedemikian. Ramai kalangan wanita di Malaysia tidak boleh terima dengan senang hati.

"Mereka juga tidak akan berpura-pura hanya sebab kepentingan kerjaya suami mereka. Hanya Wan Azizah sahaja yang sanggup buat semua ini," katanya.

Nallakaruppan percaya kesanggupan Wan Azizah itu berpunca daripada keyakinannya untuk mencapai cita-citanya satu hari kelak.

"Saya kasihan dengan mereka yang masih percaya dengan lakonan dan sandiwara Wan Azizah," katanya.

Mengenai perbicaraan Anwar, Nallakarupan berkata, bekas sahabat karibnya itu sepatutnya menjadi seorang lelaki budiman dengan berhadapan segala pertuduhan yang dikemukakan.

"Mangsa membuat laporan dan pendakwaan kata ada bukti. Kalau lelaki yang gentleman, dia bukan saja akan hadapi perbicaraan tetapi berharap ia dijalankan secepat mungkin kerana itu penting bagi membersihkan namanya,'' ujarnya. -UM




Tiada ulasan: