26 Feb 2010

Blogger Tulang Besi Dipanggil Oleh Mustafa Ali

Blogger yang seringkali mengkritik tindakan pemimpin PAS menyokong idea kerajaan perpaduan Umno-BN berkata, setiausaha agung parti sudah memberi “lampu hijau” ke atas aduan rasmi dibuat membabitkan tiga pemimpin kanannya, mendakwa wujud salah laku menjejaskan nama komponen Pakatan Rakyat itu.

Pengendali blog malaysianwaves.com, Abdul Rahman Talib yang turut dikenali sebagai “Tulang Besi” memberitahu The Malaysian Insider, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali telah menyatakan kesediaan untuk menemui beliau sambil menyifatkannya sebagai “langkah positif.”

“Saya menerima panggilan daripada pejabat setiausaha agung beberapa hari lalu mengatakan bahawa Datuk Mustafa mahu menemui saya berhubung aduan yang dibuat (awal bulan ini)... saya melihat kesediaan beliau sebagai satu langkah baik,” kata beliau ketika dihubung di Jakarta.

Langkah itu disambut baik beliau kerana setiausaha agung yang mempunyai kata putus sama ada sesuatu aduan mempunyai merit untuk disiasat ataupun sebaliknya pernah mengetepikan beberapa aduan sebelum ini termasuk yang dikemukakan oleh Exco Pemuda PAS Abdullah Abdul Karim.

Beliau selain mempertikaikan keputusan jawatankuasa disiplin parti itu menggantung Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad enam bulan sedangkan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali hanya diberi amaran juga mendakwa aduannya pernah ditolak Mustafa.

Tindakan itu mencetuskan rasa tidak senang di kalangan segelintir pemimpin dan ahli PAS.

Abdul Rahman yang berada di Indonesia kerana urusan perniagaan memberitahu beliau akan terbang ke Kuala Lumpur hujung minggu depan jika masalah pasportnya selesai segera.

Difahamkan ini kali pertama sejak pertengahan tahun lalu pengadu yang membuat aduan ditemui setiausaha agung untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

“Mungkin Datuk Mustafa ingin mendapatkan maklumat lanjut dan mungkin hendak tanya beberapa soalan,” kata beliau sambil menambah sepatutnya “ini merupakan kaedahnya jika aduan rasmi dibuat.”

“Biasanya pendakwa raya akan menemui orang yang membuat aduan... akhirnya setiausaha agung (PAS) mengambil langkah yang betul,” katanya.

Dalam aduannya pada 12 Feb lalu, Abdul Rahman turut menyenaraikan supaya keseluruhan anggota Majlis Syura PAS yang menyokong usaha meneruskan dialog kerajaan perpaduan selepas pilihan raya umum ke-12 disiasat jawatankuasa disiplin parti.

Tiga pemimpin yang dimaksudkan terdiri daripada Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din dan Hasan yang bulan lalu dikenakan tindakan amaran oleh jawatankuasa disiplin.


Idea dialog kerajaan perpaduan membabitkan PAS-Umno mendapat sokongan berbelah bahagi dalam parti itu.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan mereka yang menyokongnya menentang usaha sedemikian.

Nasharudin dan Hasan merupakan antara pemimpin dirujuk Nik Aziz agar ditukar dengan diadakan pemilihan khas menerusi Muktamar Agung Khas.

Muktamar khas tidak diadakan sebaliknya Hasan dirujuk kepada jawatankuasa disiplin di mana keputusan diumumkan 29 Jan lalu.

Isu idea kerajaan perpaduan turut mendapat perhatian Muktamar Agung PAS 2008 dan 2009.

Beberapa pihak dalam dan di luar PAS selain Nasharudin turut menyokong idea berkenaan ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi mereka berkali-kali telah menafikannya.

Akhir tahun lalu Abdul Rahman mencetuskan kejutan dengan mendedahkan rakaman yang didakwa pengakuan dan kenyataan menyokong idea kerajaan perpaduan.

Dalam blognya, Abdul Rahman minggu lalu berkata beliau akan melantik peguam jika tiada perkembangan daripada sekretariat PAS berhubung aduan yang dibuat.

Bagi membantu langkahnya itu dia memohon sumbangan daripada orang ramai dan setakat ini lebih RM10,000 telah dikumpulkan. -MI

Ulasan GB

Blogger Abdul Rahman Talib telah berjaya mengumpulkan lebih RM10,000 untuk tabung guaman bagi mempastikan aduan-aduannya diberikan perhatian oleh parti.

Mungkin Setiausaha Agung terkejut dengan perkembangan tersebut lantas kini bersedia meenemui Abd Rahman.

Kita berharap ia satu permulaan baru dan perubahan sikap PAS terhadap blogger yang dikatakan sering mengkritik parti. Ia juga diharap dapat membuka "saluran yang tersumbat" seperti yang diungkapkan oleh TPJ Pahang, Dr. Hamzah Jaffar sebelum ini.

Kita tidak mengharapkan pertemuan itu menjadi masa dan ruang untuk pihak parti menekan dan menindas bolgger terbabit, atau untuk menjustifikasikan "ketiadaan merit" terhadap aduan-aduan yang dilaporkan seperti mana yang dinyatakan oleh Datuk Mustafa sebelum ini.

Kita petikkan kisah Saidina Umar r.a. dengan Said bin Aamir seperti yang dinukilkan oleh Dr.Hamzah di dalam blognya:


Hayatilah kisah Saidina Umar r.a dalam menangani aduan penduduk Himsh yang mana Said bin ‘Aamir telah dilantik oleh Umar r.a sebagai gabenor mereka. Suatu hari Saidina Umar telah pergi ke Himsh untuk bertemu dengan penduduk di sana. Khabarnya penduduk di sana mempunyai beberapa aduan mengenai gabenor mereka.

Sebaik saja tiba di sana, Saidina Umar r.a mengumpulkan orang ramai lalu bertanya “Apakah aduan kamu terhadap Said bin ‘Aamir. Lalu mereka menyatakan ada empat semuanya Ya Umar :

1. Said bin ‘Aamir tidak mahu menerima kunjungan kami di waktu malam untuk mendengar aduan atau menyelesaikan masalah kami.

2. Said bin ‘Aamir sering datang lewat ke pejabat.

3. Dalam sebulan mesti ada satu hari di mana Said bin ‘Aamir tidak datang ke pejabat.

4. Dalam majlis, tak semena-mena, Said bin ‘Aamir akan menghilangkan diri.

Lalu Saidina Umar r.a memandang kepada Said bin ‘Aamir dengan penuh ‘husnu dzon / sangka baik’, dengan harapan agar setiap aduan itu dapat dijawab dengan baik oleh gabenor lantikannya itu. Lantas Said bin ‘Aamir menjawab, Wahai Umar, saya rasa tak wajar saya menceritakan masalah peribadiku namun kerana adanya aduan maka aku terpaksa menjelaskannya.

1. Wahai Umar, saya tidak menerima kunjungan tetamu pada waktu malam kerana saya telah jadikan waktu malam untuk Allah sedangkan waktu siang hari untuk manusia/rakyat jelata.

2. Wahai Umar, saya sering datang lewat ke pejabat kerana saya tidak mempunyai orang gaji maka saya sendirilah yang menguli tepung gandum sehingga ia mengembang lalu dibakar untuk diberi makan kepada keluarga aku. Setelah siap menyediakannya barulah aku keluar ke pejabat yang kebiasaannya telah hampir waktu tengahari.

3. Wahai Umar, saya hanya mempunyai sehelai sahaja baju untuk dipakai. Dalam sebulan ada satu hari saya membasuh pakaianku itu. Saya tunggu pakaian itu kering barulah saya pergi ke pejabat.

4. Wahai Umar, sewaktu saya masih kafir, saya pernah menyaksikan seorang sahabat Nabi saw bernama Khubaib bin ‘Adiy,yang menerima siksaan dari Orang Kafir Quraisy yang telah mencederakan tubuhnya di hadapanku namun aku tidak menolongnya. Apabila aku teringat akan peristiwa itu, tak semena-mena aku rasa terkilan dan terasa berdosa. Sebab itulah aku keluar dari majlis.

Kisah ini mempunyai banyak pengajarannya. Antaranya ialah :

1. Aksi Saidina Umar r.a yang berusaha membuat lawatan ke Himsh menggambarkan sikap ambil berat pemimpin terhadap setiap aduan atau masalah yang ditimbulkan lalu menyelesaikannya dengan pantas agar api fitnah tidak terus menyala.

2. Aksi sedemikian juga menggambarkan bahawa Saidina Umar r.a berusaha untuk mendengar sendiri aduan rakyat tanpa mengutus wakil sebagai ‘orang tengah’. Kerana kadang-kadang orang tengah banyak menyembunyikan fakta dan realiti sebenar yang boleh menjejaskan kepentingan peribadi atau pihak-pihak tertentu daripada sampai ke pengetahuan ketua.

3. Apabila ada aduan yang berupa dakwaan maka Saidina Umar r.a menunjukkan keadilannya dengan memberi peluang kepada Said bin ‘Aamir untuk menjawab segala dakwaan/aduan dari rakyatnya secara terbuka. Manakala dakwaan dan jawapan itu pula dibuat di hadapan rakyat jelata agar rakyat sendiri dapat menilai penjelasan yang sebenar dari kedua-dua belah pihak.


5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Alamak.. tak habis2 cerita pasal stopa ali pemimpin dah putus haid tu. Boringlah!!!

malikstaffa berkata...

saya ingin nasihatkan TB pergi menemui Mustafa dengan diiringi oleh seorang peguam.

Al-maklum Mustafa Ali itu kita faham apa jenis orangnya.

Tanpa Nama berkata...

Sebenarnya JK Disiplin yang ditubuhkan itu sudah tidak mempunyai alasan untuk membakul sampahkan aduan yang dibuat oleh Abdul Rahman Talib @ Tulang Besi.

Kita sama-sama tunggu dan lihat perkembangannya.

Cuma yang peliknya mengapa Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali yang menyatakan kesediaan untuk menemui TB sambil menyifatkannya sebagai “langkah positif...?”

Siapa sebenarnya yang berkuasa dalam JK Disiplin yang ditubuhkan tempohari..?

sb dehlawi berkata...

Tahniah tulang besi...kami dibelakang kamu.

Blogger UG@Untuk Ganu@Utama Gaji seperti ALI ZAIDAN & BATUAPI & TKO tak ulas apa2 ke?

Makkal Sakhti berkata...

memang banyak penyelewengan konsep wala' dalam PAS.
Jom pakat-pakat pi tgk:

http://makkalsakhti.blogspot.com/2010/02/konsep-wala-dan-penyelewengannya-dalam.html