14 Jan 2010

Tukar Kerajaan Untuk Pulihkan Ekonomi

Ramai pemimpin Pakatan Rakyat berpendapat keyakinan pelabur terhadap pengurusan kewangan negara di bawah Barisan Nasional (BN) akan terus merosot selagi gabungan itu kekal berkuasa dengan dasar-dasar perkauman dan amalan rasuah serta penyelewengan kuasa terus membelenggui kepimpinannya.

UBS Investment Reseach, sebuah unit di bawah kumpulan perbankan antarabangsa berpusat di Switzerland berkata tahap rezab antarabangsa negara merudum terus sebanyak 25 peratus pada 2009.

Dalam pada itu pelaburan asing langsung Malaysia terus dilanda kemerosotan bersih sejak 1997.

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng (gambar) berkata keadaan itu berpunca daripada tindakan Umno-BN mempolitikkan seluruh institusi negara seperti Polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya dan badan kehakiman.

"Saya amat sedih melihat keadaan ekonomi Malaysia kini. Negara komunis seperti China pun berjaya membangunkan ekonominya dengan pesat dengan dasar terbuka tetapi malangnya BN telah mempolitikkan keseluruhan ekonomi negara," kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu.

Malah Jui Meng menambah keadaan ekonomi negara diburukkan lagi apabila modal domestik juga turut dibawa ke luar negara.

"Kita sebenarnya mengalami "double whammy" (kejatuhan berganda) dan keadaan ini akan terus berlaku selagi BN tidak ditumbangkan dan digantikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang telus, terbuka dan bertanggungjawab.

"Hanya dengan cara ini keyakinan pelabur dan rakyat akan kembali pulih," katanya.
Naib Presiden DAP, Tunku Aziz Ibrahim (gambar) turut menyokong pendapat Jui Meng sambil menambah cara BN menangani isu kalimah Allah sehingga menyebabkan beberapa gereja dibakar dan dirosakkan akan terus menghantui persepsi negatif golongan pelabur dan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia.

"BN telah memalukan Malaysia. Kerajaan gagal menangani persepsi serta pengaliran maklumat yang betul mengenai sesuatu isu sehingga kini rakyat tidak lagi mempercayai apa yang dikatakan oleh kerajaan," kata bekas presiden Transparency International Malaysia itu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berpendapat keyakinan pelabur tidak akan pulih di bawah kerajaan BN.

"Laporan ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak mempunyai dana yang mencukupi dan tidak mahu bersikap telus kepada rakyat berhubung kedudukan sebenar ekonomi negara.

Oleh sebab itu BN membuat pelbagai dasar baru yang membebankan rakyat kerana mereka amat tertekan," kata Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu.

Antaranya termasuk menaikkan harga gula dan roti putih, mengenakan cukai ke atas kad kredit, memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), serta kemungkinan menaikkan kadar tol dan tarif elektrik.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin pula berkata laporan UBS itu menguatkan hujah Pakatan Rakyat bahawa satu suruhanjaya perlu diwujudkan untuk menyiasat dakwaan penulis Barry Wain.

Wain dalam bukunya "Malaysian Maverick – Mahathir Mohamad in Turbulent Times" mendakwa negara mengalami kerugian atau ketirisan sebanyak RM100 bilion sepanjang pentadbiran mantan perdana menteri itu dan RM270 bilion semasa Abdullah Ahmad Badawi menerajui negara.

"Apakah wang sebanyak itu diambil daripada rezab negara sehingga ianya hampir kosong?
Tentunya kekhuatiran Pakatan Rakyat mengenai defisit belanjawan yang semakin melebar kini mempunyai asas yang amat kukuh," kata Shamsul Iskandar. -Dzukarnain Taib


RM32 bilion lesap: Buktikan Ku Li tidak benar
Oleh Ahmad Qayyum

TAIPING: Kerajaan Barisan Nasional (BN) digesa membuktikan dakwaan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa Malaysia mengalami kerugian sebanyak RM32 bilion dalam urusan matawang asing dalam tempuh enam bulan lepas adalah tidak
benar.

Menurut Ahli Parlimen DAP – Taiping, Nga Kor Ming, (gambar) dalam wawancara bersama akhbar New Straits Times, Singapura, Tengku Razaleigh mendedahkan bahawa Bank Negara telah mengalami kerugian parah sebanyak RM32 bilion ekoran dari aktiviti spekulasi
matawang asing.

“Seandainya dakwaan tersebut benar, jumlah kerugian adalah lebih kurang sama dengan belanjawan 100 tahun Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan impaknya kepada pembangunan ekonomi negara amat besar,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Wisma DAP Perak, di sini pagi tadi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis berkata, “atas kemungkaran dan kegiatan rasuah yang serius, kini Malaysia terpaksa menanggung ledakan hutang negara mencecah RM363 billion.

“Ini bermakna setiap warganegara terpaksa menanggung hutang sebanyak RM13,446 seorang,” terang beliau.

Menurutnya, sehingga tahun 2009 negara mengalami defisit belanjawan 13 tahun berturut-turut dan jumlah defisit RM51.1 bilion adalah jumlah paling besar sejak tahun 1984.

Katanya, sekiranya dakwaan Tengku Razaleigh kepada media luar negara tidak dijelaskan, ia akan menjatuhkan imej negara dan menakutkan pelabur-pelabur asing, yang kini jumlahnya semakin merosot.

“Berdasarkan laporan The Financial Times yang bertapak di London dan kajian Bank UBS dari Switzerland menunjukkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mengalami penarikan pelaburan asing langsung yang paling serius di antara semua negara di benua Asia pada tahun 2009.”

“Dakwaan Tengku Razaleigh adalah satu lagi tamparan hebat kepada pentadbiran kerajaan BN dan merupakan petanda keruntuhan kuasa pemerintahan yang kian lemah,” tegasnya lagi.


Ulasan GB

Tahap rezab antarabangsa negara merudum terus sebanyak 25 peratus pada 2009 perlu dilihat sebagai satu masalah serius. Pengaliran dana keluar dari Malaysia nampaknya tidak terkawal.

Baru-baru ini Petronas mengumumkan penajaan pasukan Mercedes GP2 dan mengenepikan pasukan Lotus1 kereta Malaysia di atas alasan perniagaan. Mengutamakan keuntungan semata-mata tanpa ada tanggungjawab sosial dan kenegaraan. Bererti juga pengaliran keluar wang negara secar besar-besaran.

Tidak cukup dengan perembatan royalti minyak Terengganu dan Kelantan untuk pulihkan UMNO yang hampir pupus, Petronas, gergasi minyak negara bakal lingkup.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tukar kerajaan pusat untuk keadilan,ketelusan dan kemakmuran rakyat

Tanpa Nama berkata...

kepentingan pemimpin UMNO dan BN diutamakan berbanding rakyat hidup melarat