19 Jan 2010

Bilakah Berakhirnya Isu Khalimah Allah?

Kenyataan terbaru kerajaan bukan sahaja gagal menyelesaikan polemik kalimah Allah, bahkan menambahkan lagi kekalutan isu ini.

Terkini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Abdul Aziz mengumumkan bahawa masyarakat bukan Islam boleh terus menggunakan kalimah Allah di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.

Menteri Undang-Undang ini menjelaskan ini kerana tiada enakmen khusus yang menghalang penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam di negeri-negeri tersebut.

Timbalan Presiden Umno Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berlainan bagaimanapun berkata kerajaan tidak akan menarik balik rayuan menghalang penggunaan kalimah Allah.

Mengulas perkembangan ini, Ketua Parti Keadilan Rakyat Rembau, Badrul Hisham Shaharin tidak terkejut dengan kecelaruan Umno-BN mendepani masalah ini.

Beliau menjelaskan kelemahan pemerintah ini jelas menunjukkan bahawa politik, dan bukannya prinsip mahupun agama, yang melatari polemik ini.

“dalam isu Allah ini saya melihat bahawa ia boleh dibincangkan tapi kembalikan perbincangan itu kepada orang yang alim, mereka yang menguasai isu dan rakyat perlu diberikan panduan dalam isu ini”

Badrul yakin bahawa kejadian ini adalah salah satu strategi Umno untuk meraih sokongan masyarakat Melayu-Islam menjelang pilihanraya akan datang.

Badrul turut mengesyaki tujuan Menteri Undang-Undang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat Kristian di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan berkaitan dengan mengaut kembali keyakinan masyarakat bukan Islam yang terhakis dengan polemik ini.

“adakah Islam di Sabah dan Islam Sarawak berbeza, adakah Allah di Sabah dan Sarawak berbeza, Sabah Sarawak bukan Malaysia, bukan dibawah pemerintahan yang sama”

Umno, dalam pilihanraya umum 12 lalu, tumpas di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kedah, Perak, Kelantan dan Selangor, dan hanya berjaya membentuk kerajaan dengan ehsan rakyat Sabah dan Sarawak.

Badrul menambah taktik konfrontasi ini pernah digunakan pada tahun 1987, sewaktu Umno kehilangan sokongan Melayu, dan MCA kehilangan sokongan masyarakat Cina.

“ini semua lawak jenaka yang tak serius, yang menghuru-hara kan keadaan” katanya mengakhiri perbualan. -TVS



Tiada ulasan: