17 Jan 2010

Puad Zakarshi Diselar Kerana Tak Semak Fakta

Majlis Dekan-dekan Pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) hari ini menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi yang meminta IPTA tidak menawarkan kursus pendidikan untuk guru sekolah rendah adalah sesuatu yang tidak tepat.

Pengerusi majlis itu Prof Abdul Rashid Mohamed dalam satu kenyataan berkata, kursus untuk guru sekolah rendah itu sebenarnya dianjurkan oleh IPTA atas dasar yang dibentuk oleh Kementerian Pelajaran sendiri untuk pengsiswazahan semua guru.

Katanya, program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan untuk guru sekolah rendah dan prasekolah ditawarkan oleh IPTA atas arahan Kabinet pada tahun 2003 dan program ijazah itu telah berakhir pada sesi akademik 2006/2007.

"Program ini telah diberhentikan berdasarkan persetujuan antara Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi dan semua IPTA yang menawarkan program tersebut dijangka mengeluarkan kumpulan terakhir graduan berkenaan sekitar 1,000 orang pada tahun ini," kata beliau.

Semalam Dr Mohd Puad dipetik sebagai berkata IPTA tidak sewajarnya menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sekolah Rendah) memandangkan ia telah ditawarkan oleh Institusi Pendidikan Guru (IPG).

Beliau berkata, penawaran program berkenaan di IPTA menjadi salah satu punca masih ada guru lepasan ijazah yang menganggur tidak mempunyai tempat di sekolah-sekolah rendah.

Abdul Rashid berkata, sememangnya sejak dahulu lagi dasar melahirkan tenaga guru ialah Maktab Perguruan melatih guru bukan siswazah untuk sekolah rendah dan IPTA melatih guru siswazah untuk sekolah menengah.

Katanya, apabila dasar pengsiswazahan semua guru dimulakan, Kabinet telah menetapkan bahawa IPGM (Institut Pendidikan Guru Malaysia) melatih guru siswazah sekolah rendah manakala IPTA pula terus melatih guru siswazah sekolah menengah.


Beliau berkata, IPTA sentiasa bertindak mengikut keperluan kritikal negara dan berusaha melahirkan graduan-graduan dalam bidang-bidang keperluan termasuk dalam bidang ilmu pendidikan.

"Sebagai Pengerusi Majlis Dekan Pendidikan IPTA, saya sangat-sangat berharap semua pihak menyemak dahulu fakta sebelum mengeluarkan kenyataan kerana ia akan memberi tanggapan negatif terhadap kerajaan dan seterusnya mengelirukan rakyat," katanya. -BERNAMA

Berita Kedua

Budaya "Cah Keting" Sudah Lama Wujud Dalam PAS - Mohd Puad

BATU PAHAT: Anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi berkata budaya "cah keting" atau cantas-mencantas bukan perkara baru dalam PAS tetapi sebenarnya telah lama wujud di dalam parti itu.

Katanya budaya itu sudah lama wujud dalam PAS tetapi parti itu berselindung di sebalik parti Islam yang dipimpin oleh ulama.

Mohd Puad, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, berkata PAS cuba melindungi masalah dalamannya dengan 'menyerang' kerajaan pusat, Barisan Nasional (BN) dan Umno menerusi pelbagai dakwaan dan tuduhan tidak berasas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas pengakuan terbuka Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam tentang kewujudan budaya "cah keting" sehingga memburukkan lagi kepincangan dalam parti itu.

"Rakyat boleh menilai sendiri parti PAS yang kini dilanda pelbagai bentuk kepincangan serta kebolehannya mentadbir dengan berkesan negeri-negeri yang dikuasainya oleh pakatan pembangkang," katanya selepas melancarkan program Juara Rakyat Kawasan Parlimen Batu Pahat di Senggarang, di sini hari ini.

Mohd Puad, yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, mendakwa kepincangan dalam PAS semakin serius dan wujud perbalahan pendapat serta pertelingkahan terbuka di kalangan anggota serta pemimpin parti itu mengenai beberapa isu. - BERNAMA

Ulasan GB

Tuduhan Puad Zakarshi mengenai budaya "cah keting" yang wujud di dalam PAS sebagai responnya kepada kenyataan Mursyidul Am PAS juga menunjukkan Timbalan Menteri itu tidak menyemak fakta.

Apa yang dinyatakan oleh TG Nik Aziz adalah kebimbangan Tuan Guru terhadap budaya itu yang "baru" wujud di dalam parti.


Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini secara terbuka mengakui wujud budaya 'cah keting' atau cantas mencantas dalam Pas sehingga menimbulkan kepincangan dalam parti tersebut.

Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas itu tidak menjelaskan secara mendalam sejauh mana seriusnya perkara itu sehingga menyebabkan beliau membaca doa khusus memohon perlindungan Allah supaya menjauhkan parti itu daripada amalan 'cah keting' semalam.

''Kepincangan tidak hari ini sahaja, sejak anak nabi Adam lagi apabila Qabil bunuh adiknya sendiri, Habil dan sampai sekarang, manusia memuja nafsu dan memuja Allah.

''Susah hendak mencari manusia yang hanya memuja nafsu atau memuja Allah semata-mata selagi ada perjuangan dan pergelutan di antara nafsu baik dan nafsu jahat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan dan Zakat Kepada Pesakit Kusta anjuran Persatuan Kusta Kelantan di sini hari ini.

Semalam, selepas kuliah mingguannya, Nik Abdul Aziz membacakan doa memohon agar Allah melindunginya dan rakyat daripada orang yang mengamalkan sikap 'cah keting'.


Budaya cah keting itu adalah budaya impot. Budaya UMNO yang dibawa masuk ke dalam PAS. Budaya yang diperkenalkan oleh mereka yang hatinya nak bersama-sama UMNO. Di dalam UMNO, budaya cah keting lagi lama berlaku, malah semenjak pengasas UMNO sendiri, Datuk Onn Jaafar disingkirkan dari UMNO.

Dan Allah tetap selamatkan PAS dari mereka yang membawa masuk budaya non-harakah, non-Islamik ini dari menular di dalam parti.

Justeru itu tuduhan Puad yang menyatakan budaya cah keting dah lama wujud dalam PAS adalah terpesong jauh dari fakta sebenar.

Tiada ulasan: