27 Jan 2010

PAS & PKR Perlu Lebih Pantas Jika Benar Nak Tumbangkan Najib

JK Disiplin PAS & PKR : Siapa Lembab, Siapa Pantas?

Jawatankuasa Disiplin PAS bolehlah dikatakan telah gagal menyelesaikan kemelut antara Hassan dan Khalid di Selangor. Jawatankuasa itu telah beberapa kali menangguhkan keputusan akan siapakah yang benar dan siapa yang salah. Ahli dan pengundi PAS telah lebih sebulan menunggu dan memerhati akan keberkesanan dan kewibawaan jawatankuasa ini. Jawatankuasa ini telah menetapkan 29 Januari 2010 sebagai tarikh keputusan. Mungkin ditangguhkan lagi ke minggu hadapan... Jikalau ditangguh lagi, jawatankuasa ini seharusnya diberi nama baru iaitu Jawatankuasa Disiplin PAS Minggu Hadapan.

Penangguhan yang telah melewati tempoh satu bulan seolah-olah memberitahu kita bahawa Jawatankuasa Disiplin PAS sedang berdilema untuk memutuskan tindakan keras kepada salah seorang antara Hassan dan Khalid. Kami penyokong PR mahukan keputusan yang tegas dan telus. Kami tidak mahu keputusannya hanya dilayangkan ‘kad kuning’ sahaja. Kami mahu salah seorang diberikan ‘kad merah’.

Setelah Jawatankuasa Disiplin PAS gagal melaksanakan fungsinya dalam tempoh sebulan, rakannya iaitu Jawatankuasa Disiplin PKR pula akan diuji. Difahamkan bahawa Biro Politik PKR yang bermesyuarat hari ini akan menghantar laporan tentang salah laku Zul Kulim kepada Jawatankuasa Disiplin PKR dalam tempoh satu bulan. Persoalannya, kenapa tempoh menyiapkan laporan mengambil masa sebulan lamanya? Apakah menjadi satu kesalahan menghantar laporan salah laku dalam tempoh seminngu? Dan apakah serius kesalahan Jawatankuasa Disiplin, sekiranya mereka membuat keputusan dalam tempoh satu minggu?

Pemimpin-pemimpin politik PR harus bergerak pantas. Disamping petah menghujah isu dan menyanggah idea lapok UMNO, mereka mesti mampu bertindak segera menyelesaikan masalah dalaman. Jikalau isu Hassan-Khalid dan Zul Kulim gagal ditangani dalam tempoh yang singkat, apakah kami boleh mengharapkan PR menunaikan janjinya seperti yang terkandung dalam manifesto? Tentu jawapannya sukar...

Ketepikan Hassan Ali dalam pimpinan PAS pusat. Kirim segera Zul Kulim kepada UMNO dengan menggunakan Perkhidmatan Pos Laju. Jikalau PR lambat bertindak, bermakna UMNO berjaya menambahkan kekuatannya. Tetapi jika PR cepat bertindak, sokongan dan semangat kami untuk bekerja demi kemenangan PR akan segera pulih.


Biarlah PR hilang beberapa YB yang mendatangkan masalah kepada PR daripada meratap kemudian hari akan kemerosotan undi dalam pilihanraya. Ingat pepatah silam, ‘patah tumbuh hilang berganti’. Satu Hassan pergi, sepuluh Khalid akan datang. Sekiranya satu Khalid yang pergi, tinggallah satu Hassan tanpa waris. Untuk Zul Kulim, datangmu tidak diundang, pergimu tidak dihalang. Tawamu tidak lagi disambut tetapi dihamput. Oleh itu segeralah keluar PR sebelum kamu dihalau.. -jantantuya


Pantas Tanpa Korbankan Kualiti - PM

Apek kepantasan dalam membuat keputusan dan pelaksanaan ditekankan untuk tahun 2010 kerana ia menjadi kayu ukur negara yang berdaya saing dan berada di saf hadapan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, aspek itu amat penting supaya kedudukan negara tidak tercorot dan menurun, sekali gus dapat mengekalkan, tanpa mengorbankan kualiti dan ketepatan, malah mempertingkatkan keyakinan orang pada Malaysia.

“Untuk tahun ini 2010, saya nak tekankan soal kepantasan, kepantasan membuat keputusan, kepantasan melaksanakan tanpa mengorbankan kualiti. “Maknanya, kita jangan korbankan ketepatan, tapi kita mesti buat sesuatu dengan pantas, sebab itu menjadi salah satu kayu ukur negara yang mempunyai daya saing, yang boleh kita katakan berada di saf hadapan. “Sebab semua ini akan dinilai. Kalau Malaysia corot atau dah menurun kedudukan kita, jadi keyakinan orang pada kita akan terjejas. “Jadi, itu sebab saya nak tekankan soal kepantasan, terutama kepantasan untuk kita sampaikan, memenuhi jangkaan rakyat,” katanya, pada program Soal Jawab bersama Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima yang juga Pengarah Eksekutif Editorial The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Ahmad A Talib melalui TV3, malam tadi.

Najib berkata, bawah kepemimpinannya bukan keluaran (output) diutamakan seperti difikirkan banyak pihak selama ini tetapi hasil dan kesan (outcome), yang termaktub dalam pendekatan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama Negara (NKPI).

Beliau melahirkan rasa kagum terhadap beberapa perubahan dan pencapaian, seperti dalam pengeluaran pasport antarabangsa dan penubuhan Klinik 1Malaysia.

“Saya juga ingin menyebut, ada beberapa perubahan, yang saya rasa kagum, umpamanya pasport antarabangsa, boleh dikeluarkan, dulu dalam masa seminggu, lepas itu satu hari, sekarang ini dalam masa dua jam, satu jam pun boleh dapat pasport antarabangsa. Itu satu kejayaan yang dulu kita tak terfikir boleh buat, “Bila kita sebut konsep Klinik 1Malaysia dalam ucapan belanjawan saya 23 Oktober (2009), bila masuk minggu pertama tahun ini 44 Klinik 1Malaysia sudah pun beroperasi.

“Maknanya boleh, bila kita fokus dan kita ada motivasi. Dan kalau kepemimpinan negara kata kita patut buat, disambut oleh pegawai dan kita pula bagi rangsangan pada mereka, tak ada sebab mengapa kita tak boleh menunjukkan pencapaian yang luar biasa,” katanya. Katanya, beliau mahu melihat setiap cabang perkhidmatan melakukan perubahan yang berlipat ganda, iaitu lonjakan berganda. Dalam beberapa urusan seperti pendaftaran perniagaan dan pertukaran hak milik hartanah katanya, beliau mahu prosesnya dipercepatkan lagi.

“Untuk mendaftar perniagaan, saya diberitahu makan masa 11 hari. Saya kata kenapa 11 hari, saya nak dalam masa tiga hari.

“Begitu juga kalau kita nak daftar pertukaran hartanah umpamanya, kenapa makan masa yang lama. Saya nak lebih pantas lagi. “Jadi, ini semua kita akan lihat satu persatu dalam aspek pentadbiran kerajaan berasaskan kepada pencapaian diutamakan dan juga untuk kepentingan rakyat, yang saya katakan rakyat didahulukan dan saya nak keputusan yang pantas.

“Ini semua kita akan semak satu persatu, dengan kepimpinan pentadbiran awam, Ketua Setiausaha Negara dan pegawai tertinggi kerajaan, mereka bersemangat dan menyokong usaha pembaharuan.

“Kadang-kadang kita rasakan bahawa kita cukup baik. Sebenarnya kita tidak mencabar diri kita bahawasanya mungkin ada ruang yang boleh kita lakukan yang selama ini kita tak terfikir.

“Jadi, saya nak melihat dan saya nak benchmark (tanda aras) dengan negara yang paling tinggi prestasi mereka. Saya tak nak benchmark di liga, di pertengahan liga, saya nak berada tahap antara tertinggi,” katanya.

Dengan landskap dunia yang sudah berubah, katanya, Malaysia berada di tengah tengah lautan yang sangat hebat persaingannya dan memerlukan sesuatu yang luar biasa. -hmetro


Ulasan GB

GB cukup lemas dengan pemimpin-pemimpin PR yang lembab. Dulu marahkan Pak Lah UMNO kaki tido, lemah, lembab, lembam etc. Sekarang kamu-kamu dalam PAS dan PKR apa ke halnya? Ada lagi alasan? Nak tegakkan benang basah jugak lagi.

Pasal kelembapan pemimpin inilah terutama PAS sang Aduka Taruna jadi terganggu psikologi, jadi sewel dalam ertikata mudah, tak tenang jiwa. Nak langgar hadi. Akhirnya terguna bahasa kasar terbawa-bawa untuk maki sesiapa saja. Sampai kena reman, sampai kena pakai baju lokap. Itu pun ada yang dalam jemaah yang tak puashati nak hentak dia lagi. Bukan nak tolong atau nak doakan supaya budak tu selamat dan dikurniakan hidayah. Tak tahu ke Aduka jadi telah mangsa kepada sistem pendidikan vernakular yang telah memisahkan akhlak dari pelajaran? Tak tahu ke Aduka selama ini ada sumbangan juga kepada perjuangan PR? Mulut dan tulisannya tersurat begitu, yang tersirat kamu tak perdalaminya kah?

Nak menang ke nak kalah dalam PRU? Ada pulak yang terlampau pandai menjawab, kalah menang tangan Tuhan, kita ikut ajer pemimpin tu, lemah camana pun. Sedangkan Tuhan berfirman di hadith qudsi:

"Allah menyukai seseorang itu, apabila melaksanakan sesuatu tugas, dilakukan dengan bersungguh-sungguh"

Baca betul-betul hadith tu, lakukan kerja dengan bersungguh-sungguh, bukan lembab, bukan tangguh-tangguh kerana "procrastination is a thief of time". Demi masa... manusia itu di dalam kerugian... Allah sampai bersumpah dengan masa.

Pepatah menyatakan "masa tu emas", ertinya terlalu berharga. Apasal perlu berdondang sayang atau menari lemah gemalai nak buat keputusan? Siapa nak tengok muka kamu yang kamu perasan handsome sangat tu?

Pepatah Arab pula menyatakan "masa itu pedang", kalau lambat, pedang itu memenggal leher kamu.



2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bagaiman nak perintah malaysia kalau macam mahkamah BN juga suka tangguh.

Jebon berkata...

Dalam hal ketegasan ni saya puji Dr M. Dia tegas dalam membuat keputusan walaupun ada yang tuduh dia diktator. Dalam pengurusan sesuatu badan terutamanya sebesar PAS & PKR kita perlu ada sikap diktator di dalam sesuatu krisis yang berat sehingga boleh menjatuhkan jamaah.

Terpulang samada nak terima atau tidak pendapat ni. Tapi kalau semuanya nak disuap saya rasa ketokohan seseorang pemimpin tu tak layak untuk memimpin. Dia hanya layak untuk jadi pengikut atau rakyat biasa.

Serupa juga dengan pemimpin di rumah, ada kalanya kita perlu ada sikap diktator terhadap anak dann isteri kita apabila membuat keputusan berat untuk memimpin keluarga ke arah yang lebih sempurna.

Fikir-fikirkanlah...