19 Jan 2010

Muktamad: Mahkamah Perintah Bayar Peneroka Felda RM11 Juta

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu membayar RM11 juta sebagai ganti rugi kepada 354 peneroka Felda berhubung bayaran bagi buah kelapa sawit selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Felda hari ini.

Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Datuk Gopal Sri Ram sebulat suara menolak permohonan Felda untuk kebenaran mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang mengarahkan Felda membayar ganti rugi terhadap semua peneroka.

Zaki berkata tidak wujud persoalan undang-undang yang memerlukan mahkamah tertinggi itu membuat keputusan.

Mahkamah turut memerintahkan Felda membayar kos RM30,000.

Felda mengemukakan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan agensi itu membayar saman berjumlah RM7.8 juta termasuk faedah kepada peneroka selepas peguam Felda gagal hadir di mahkamah untuk perbicaraan kes itu.

Amaun berkenaan telah meningkat kepada RM11 juta dengan faedah terkumpul dan setiap peneroka dijangka menerima pampasan RM30,000.

Peneroka Felda Kemahang 3 di Tanah Merah, Kelantan mengemukakan saman itu terhadap Felda pada 2002 dengan setiap seorang menuntut antara RM20,000 hingga RM30,000 sebagai ganti rugi umum selepas mendakwa agensi itu telah menurunkan mutu buah kelapa sawit mereka dari 1996 hingga 2002 mengakibatkan mereka rugi.

Mereka menamakan Felda sebagai defendan pertama, Pengurus Rancangan Felda Kemahang 3, Tanah Merah, Ibrahim Ismail defendan kedua (Ibrahim telah meninggal dunia) dan Felda Palm Industries Sdn Bhd selaku defendan ketiga.

Di dalam writ saman itu, mereka mendakwa berlaku penipuan dalam urusan jual beli hasil atau buah sawit yang dijual.

Semasa prosiding hari ini kira-kira 200 peneroka hadir dan memenuhi perkarangan mahkamah Istana Keadilan.

Semua peneroka diwakili sekumpulan peguam diketuai Yusfarizal Yusof manakala Felda diwakili peguam Datuk Cecil Abraham dan Sunil Abraham

Berita Setahun Lalu


Peneroka Felda Diugut Diusir Jika Dedah Konspirasi - Peguam Bela

PUTRAJAYA, 8 Jan 2009(Bernama) -- Mahkamah Rayuan di sini hari ini diberitahu seramai 354 peneroka Kemahang Tiga, Tanah Merah, Kelantan, telah diugut akan diusir dari tanah penempatan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) jika mereka cuba mendedahkan konspirasi penipuan urus niaga jualan kelapa sawit.

Peguam Yusfarizal Yusof memberitahu mahkamah, agensi itu bukan sahaja enggan mengambil tindakan terhadap laporan peneroka berhubung penipuan itu, malah mereka diancam akan dikenakan tindakan disiplin dan diugut diusir keluar dari rancangan skim kelompok Felda jika membuat sebarang tindakan yang boleh merosakkan nama agensi terbabit.

Beliau yang mewakili 354 peneroka itu berhujah demikian ketika membacakan nota keterangan peneroka Felda Othman Hamat, ketika dia dipanggil sebagai saksi plaintif dalam perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi Kota Baharu awal tahun lalu.

"Kami (peneroka) telah berjumpa dengan Naib Pengerusi dan Pengerusi Biro Ladang (tentang penipuan dan konspirasi) tapi tiada apa-apa tindakan diambil oleh pengurusan Felda. Oleh itu satu laporan polis dibuat pada 13 Okt 2001. Selanjutnya kami membuat memorandum kepada Pengerusi Felda dan menghantar secara serahan tangan ke pejabat Felda di Jalan Gurney, Kuala Lumpur. Kami diugut untuk diusir dari rancangan jika ambil apa-apa tindakan yang merosakkan nama FELDA.

"Tidak tahan dengan penipuan itu, kami lantik Tetuan Wan Rohimi dan Asmadi dan pada 22 Sept 2002 tindakan difailkan di mahkamah. Defendan enggan berunding dan bertindak lebih ganas dengan mengancam peneroka akan diambil tindakan disiplin," kata Yusfarizal ketika memetik nota keterangan tersebut.

Dalam saman yang difailkan itu, Felda dinamakan sebagai defendan pertama; Pengurus Rancangan Felda Kemahang 3, Tanah Merah, Ibrahim Ismail sebagai defendan kedua dan syarikat pengilang minyak kelapa sawit Felda Palm Industries Sdn Bhd defendan ketiga.

Seterusnya Yusfarizal memberitahu pada 1 Nov 2002, satu perjumpaan telah diadakan di Pusat Kegiatan Ummah Felda, Kemahang yang dihadiri Pengerusi Felda Kemahang Tiga dan Datuk Mustapa Mohamed, ketika itu Ahli Parlimen kawasan Jeli, serta peneroka-peneroka yang kemudian menerima satu lagi ugutan dibuang dari rancangan skim kelompok FELDA jika masih meneruskan kes itu di mahkamah.

Yusfarizal berkata demikian ketika membalas hujahan peguam Datuk Cecil Abraham, mewakili defendan, yang merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Baharu yang menolak permohonan Felda untuk mengenepikan penghakiman dan perintah mahkamah itu supaya membayar RM7.8 juta sebagai ganti rugi kepada peneroka terbabit.

Pada 13 Jan 2008, Mahkamah Tinggi memerintahkan Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd membayar ganti rugi RM7.8 juta kepada peneroka terlibat kerana menipu dalam urus niaga penjualan hasil kelapa sawit.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin memerintahkan kedua-dua defendan itu membayar ganti rugi am sebanyak RM7.1 juta dan ganti rugi teladan sebanyak 10 peratus daripada jumlah itu iaitu RM710,000 serta kos, berkuat kuasa serta-merta.

Mahkamah membuat keputusan itu pada hari pertama perbicaraan tuntutan saman peneroka Felda Kemahang Tiga itu yang mendakwa kedua-dua defendan menipu membabitkan urusniaga penjualan hasil kelapa sawit bermula tahun 1997 sehingga tahun 2002.

Tiga saksi dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang berlangsung tanpa kehadiran peguam pihak defendan.

Dalam penghakimannya, mahkamah mendapati berdasarkan keterangan-keterangan semasa perbicaraan, memang wujud bukti konspirasi antara pengurus Felda dan kilang berkenaan untuk menipu gred harga kelapa sawit.

Mahkamah juga berpuas hati bahawa kadar gred harga kelapa sawit yang diberikan oleh pihak berkenaan kepada peneroka, tidak munasabah.

Ekoran keputusan itu, defendan memfailkan permohonan untuk mengenepikan keputusan tersebut, tetapi ditolak Mahkamah Tinggi, dan kini mereka merayu terhadap keputusan itu ke Mahkamah Rayuan.

Cecil hari ini berhujah mahkamah patut menimbangkan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi kerana keputusan yang dibuat tanpa kehadiran peguam defendan boleh membawa ketidakadilan dalam penghakiman sebenar kes ini.

Beliau juga mempersoalkan penemuan fakta yang dibuat oleh hakim bicara tentang wujudnya konspirasi antara Felda dan defendan kedua atas alasan defendan kedua, Ibrahim Ismail, orang yang sebenarnya melakukan penipuan harga dan gred kelapa sawit itu, telah meninggal dunia.

Yusfarizal dalam hujahan balasnya berkata adalah tidak adil sekiranya kes itu diulang bicara ke Mahkamah Tinggi kerana kesemua peneroka telah menunggu selama enam tahun untuk mendapatkan keadilan, dan dalam tempoh itu seramai 53 peneroka telah pun meninggal dunia sebelum sempat menerima wang ganti rugi.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk James Foong menangguhkan keputusan rayuan itu ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian untuk membolehkan mahkamah mengkaji semua hujahan dan dokumen yang dikemukakan dalam prosiding hari ini.

Seramai kira-kira 400 peneroka hadir di mahkamah hari ini, kesemua mereka diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud, Asmadi Abu Bakar, Yusfarizal dan Muhd Azmi Talib.


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bini Najib boleh bayar dengan duit yang khabarnya dihadiahkan oleh ehem... ehem tu.